BASF, ERTH jalin kerjasama galak pekerja kitar semula sisa elektronik

PETALING JAYA, 05 Julai 2024 – Kumpulan syarikat BASF menjalin kerjasama dengan Electronic Recycling Through Heroes (ERTH) untuk melancarkan kempen kitar semula sisa elektronik (e-waste) kepada lebih 2,400 pekerja mereka.

ERTH merupakan sebuah organisasi sosial yang mengkhusus kepada mengumpul dan mengitar semula e-waste daripada isi rumah dan industri melalui pekerja bebas gig-ekonomi (gig-economy).

Kempen yang berlangsung 1 Julai hingga 30 November 2024 ini menggalakkan kitar semula e-waste yang betul untuk mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar.

Mereka akan menyediakan tempat pengumpulan di pejabat dan kilang BASF di seluruh negara.

Pekerja juga boleh menghantar e-waste mereka melalui pejabat pos terdekat.

Ini adalah platform yang baik untuk melupuskan barangan digital dan elektrik dengan selamat, daripada peralatan kecil seperti telefon bimbit dan pengering rambut sehinggalah barang yang lebih besar seperti pengisar dan komputer.

Menerusi kempen ini, ganjaran tunai untuk barangan e-waste yang dikitar semula oleh pekerja akan ikumpulkan dan disumbangkan kepada badan amal yang bersesuaian dengan setiap entiti.

Pihak pengurusan setiap entiti juga akan menggandakan jumlah yang terkumpul demi mempertingkatkan impak positif kepada komuniti.

“Di peringkat global, BASF telah mencatatkan kemajuan yang baik dalam mencapai pelepasan menjelang tahun 2050.

“Di samping menyokong matlamat kelestarian syarikat, warga kerja kami boleh memanfaatkan kempen ini dalam merealisasikan komitmen peribadi mereka bagi melindungi alam sekitar.

“Kempen ini juga selaras dengan usaha Jabatan Alam Sekitar untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan e-waste yang lestari,” kata Pengarah Urusan BASF (Malaysia) Sdn. Bhd., dan BASF South East Asia Pte Ltd., Vimala Arumugam.

Sementara itu, Pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry mengalu-alukan perkongsian seperti ini.

“Kami berharap kempen seperti ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai orang di negara ini untuk mengamalkan kitar semula e-waste dan membantu meminimumkan pencemaran alam sekitar dan potensi risiko
kesihatan,” katanya.

Majlis pelancaran turut dihadiri Pengarah Urusan BASF Asia-Pacific Service Centre Sdn. Bhd., Mark Bueltel-Herz dan Pengarah Urusan BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd., Tan Aik Meam.

Kempen ini terbuka kepada semua kakitangan Kumpulan BASF di Malaysia termasuk BASF (Malaysia) Sdn. Bhd., BASF Asia-Pacific Service Centre Sdn. Bhd., BASF Services (Malaysia) Sdn. Bhd., serta BASF PETRONAS Chemicals Sdn. Bhd., Toray BASF PBT Resin Sdn. Bhd., dan BASF See Sen Sdn. Bhd.