Apakah identiti sebenar Malaysia?
Kemerdekaan dan Hari Malaysia bukan sekadar sambutan, tetapi peluang menilai identiti Malaysia di mata dunia melalui bahasa, budaya, warisan, alam dan budi pekerti rakyat.
Tanggal 31 Ogos mengingatkan kita tentang harga sebuah kebebasan, manakala 16 September menegaskan erti kebersamaan.

PADA bulan kebangsaan, Jalur Gemilang kembali mewarnai jalan raya, bangunan, sekolah dan kediaman. Lagu patriotik menghidupkan kenangan tentang perjuangan terdahulu. Namun, di tengah-tengah semarak itu, wajar kita bertanya, apakah wajah Malaysia yang terpahat di mata dunia? Adakah kita dikenali hanya melalui slogan “Malaysia Truly Asia” dan Menara Berkembar Petronas, atau melalui bahasa, sejarah, kepelbagaian budaya, keindahan alam dan budi pekerti rakyatnya?
Tanggal 31 Ogos mengingatkan kita tentang harga sebuah kebebasan, manakala 16 September menegaskan erti kebersamaan. Kemerdekaan memberi kita hak untuk menentukan cerita sendiri, Hari Malaysia mengingatkan bahawa cerita itu mesti merangkum seluruh negara dan setiap masyarakat yang membentuknya.
Apakah yang dunia lihat?
Satu kajian netnografi mengenai jenama Malaysia menganalisis lebih dari 1,000 ulasan dan perbualan di media sosial platform utama. Sebanyak 57.2 peratus datang dari Malaysia, manakala 42.8 peratus lagi daripada pengguna luar negara. Kajian kualitatif ini membuka jendela untuk memahami elemen yang paling diingati apabila orang berbicara tentang Malaysia dan kempen “Malaysia Truly Asia”.
Dalam bahasa mudah, identiti ialah tanda yang membuatkan dunia mengenali kita, manakala jiwa ialah sebab mereka mengingati dan merasai keunikan kita. Dapatan menunjukkan wajah negara dibentuk oleh bahasa, seni bina, sastera, muzik, alam, makanan, pendidikan dan agama. Jiwanya pula terserlah melalui ikon, sejarah, cerita rakyat dan sukan.
Bahasa dan rasa yang menyatukan
Bahasa Melayu muncul sebagai lambang penting kebangsaan. Dalam masyarakat yang fasih bertutur pelbagai bahasa, bahasa kebangsaan tetap menjadi simpul yang menyatukan kita. Di dalamnya tersimpan sejarah, pemikiran dan cara hidup bangsa. Memartabatkannya melalui pendidikan, sastera, filem, muzik dan kandungan digital bukan bererti menolak bahasa lain, tetapi meneguhkan keyakinan terhadap akar sendiri.
Makanan turut menjadi bahasa yang mudah difahami semua. Nasi lemak, roti canai, laksa, teh tarik dan juadah penjaja bukan sekadar hidangan, semuanya membawa kisah tentang komuniti dan tradisi. Di meja makan, perbezaan menjadi keakraban. Sebungkus nasi lemak yang biasa bagi kita boleh menjadi kenangan paling istimewa bagi seorang pelancong. Dalam hal ini, meja makan ialah gambaran kecil Malaysia.
Di sinilah ungkapan “Malaysia Truly Asia” menemukan maknanya. Tanpa perlu merentas banyak negara, pengunjung dapat menikmati kepelbagaian cita rasa Asia sambil menyaksikan Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Kaamatan diraikan. Budaya Melayu, Cina, India serta pelbagai etnik Sabah dan Sarawak tidak sekadar hidup berdampingan, sepanjang generasi, semuanya saling berinteraksi dan melahirkan pengalaman yang tersendiri. Kita bukan sekadar mempamerkan Asia – kita menghidupkannya dalam wajah Malaysia, bersama-sama dan dalam suasana damai.
Satu negara, ribuan warna
Dari Langkawi, Tanah Tinggi Cameron dan Kuala Lumpur hingga Taman Kinabalu serta Taman Negara Bako, keindahan Malaysia menerima pujian pengunjung. Pengalaman di Kampung Budaya Sarawak dan Mari Mari Cultural Village, Sabah, pula memperlihatkan kekayaan warisan masyarakat Borneo. Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa Sabah dan Sarawak bukan catatan kaki dalam kisah kebangsaan, tetapi bab utama yang memperindahnya.
Menara Berkembar Petronas melambangkan cita-cita sebuah negara moden. Pada masa yang sama, Bangunan Sultan Abdul Samad, Masjid Negara, A Famosa, Stadthuys, George Town dan Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang menyimpan jejak sejarah. Keistimewaan kita terletak pada keupayaan melangkah ke hadapan tanpa memutuskan hubungan dengan masa lalu.
Warisan yang terus hidup
Siti Nurhaliza dan Yuna membawa suara Malaysia ke pentas antarabangsa. Karya Munshi Abdullah, K.S. Maniam dan Tan Twan Eng pula memperkenalkan pengalaman negara melalui sudut pandang yang berbeza. Kisah Puteri Gunung Ledang, Mahsuri dan Hikayat Merong Mahawangsa mempunyai potensi untuk dilahirkan semula melalui filem, animasi, permainan digital dan kandungan media sosial. Khazanah kita bukan untuk disimpan sebagai nostalgia, tetapi untuk dihidupkan dalam bahasa generasi baharu.
Masjid Negara, Batu Caves dan Kuil Kek Lok Si turut menarik perhatian pelancong, mencerminkan kepelbagaian agama yang mewarnai kehidupan kita. Namun, keharmonian tidak boleh tinggal sebagai slogan. Ia mesti dirasai melalui rasa hormat, keadilan, kesopanan dan kesediaan memahami perbezaan. Ulasan negatif tentang politik perkauman dan perpecahan menjadi peringatan bahawa tingkah laku di dalam negara turut menentukan reputasi kita di luar.
Rakyat ialah wajah sebenar negara
Kempen “Malaysia Truly Asia” mudah diingati kerana merangkum kepelbagaian kita. Namun, jenama negara tidak hidup melalui logo dan iklan semata-mata. Janjinya diuji di kaunter perkhidmatan, gerai makan, hotel, jalan raya dan ruang digital. Jika kita mengiklankan keramahan tetapi melayan pengunjung dengan dingin, slogan kehilangan makna. Jika kita melaungkan keharmonian tetapi menyebarkan kebencian, imej negara turut tercalar.
Pada zaman media sosial, setiap rakyat menjadi duta Malaysia. Cara kita melayan pelancong, menjaga kebersihan, memelihara warisan dan berbicara tentang negara membentuk pandangan dunia. Reputasi Malaysia lahir daripada tindakan harian kita.
Merdeka untuk menulis cerita sendiri
Merdeka bukan sekadar mewarisi sebuah negara yang bebas, merdeka ialah kesediaan memikul tanggungjawab terhadap arah dan maruahnya. Hari Malaysia pula menuntut agar setiap wilayah, kaum, agama dan budaya mendapat tempat yang bermakna dalam cerita bersama. Kita tidak semestinya memerlukan slogan baharu setiap tahun. Yang lebih penting ialah menghidupkan janji sedia ada dengan jujur dan konsisten.
Pada 31 Ogos dan 16 September ini, jangan hanya bertanya sama ada kita mencintai Malaysia. Tanyalah juga: apakah yang telah kita lakukan agar negara ini dicintai dan dihormati dunia? Malaysia bukan sekadar jenama yang dipromosikan. Malaysia ialah cerita yang kita bina, hidupkan dan wariskan bersama.

