AI dedah anak OKU pembelajaran kepada risiko dunia digital
Perkembangan teknologi AI membuka peluang baharu kepada golongan OKU pembelajaran dalam meningkatkan pengalaman pendidikan dan interaksi digital.
Oleh: DR. MAISARAH HASBULLAH, DR. MOHD ZUFRI MAMAT dan NANY ADIFAH ABDULLAH KAMAL
KEMAJUAN teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah cara manusia belajar, bekerja dan berinteraksi. Namun bagi golongan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, perkembangan teknologi ini membuka satu persoalan penting iaitu adakah AI mampu membantu proses pembelajaran mereka atau sebaliknya menimbulkan risiko baharu dalam dunia digital?
Persoalan ini menjadi tumpuan dalam satu perbincangan kumpulan fokus yang melibatkan pelajar OKU pembelajaran serta penjaga mereka di Semenyih baru-baru ini. Hasil perbincangan menunjukkan bahawa teknologi AI sebenarnya telah pun menjadi sebahagian daripada pengalaman harian mereka, walaupun kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa mereka sedang menggunakan teknologi tersebut.
Bagi kebanyakan peserta, AI bukanlah istilah yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian. Ada yang hanya pernah mendengar perkataan tersebut tanpa benar-benar memahami maksudnya, manakala sebahagian lagi tidak pernah mendengar tentang AI secara formal. Namun apabila diberikan contoh, peserta mula mengaitkan AI dengan perkara yang mereka lihat di telefon pintar, seperti aplikasi yang boleh menghasilkan gambar, video atau kandungan visual yang menarik.
“AI… kecerdasan… kecerdasan buatan,” ujar seorang peserta apabila cuba menerangkan maksud teknologi tersebut dalam perbincangan itu.
Perkara ini menunjukkan bahawa pendedahan kepada teknologi AI sebenarnya sudah berlaku tetapi pemahaman tentang konsepnya masih berada pada tahap asas, khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai cabaran pembelajaran. Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa kebanyakan pengalaman anak-anak ini dengan AI berlaku melalui penggunaan media sosial dan platform digital harian.
Antara aplikasi yang sering disebut ialah TikTok, YouTube dan Instagram yang diakses melalui telefon pintar. Melalui platform tersebut, AI hadir dalam bentuk video pendek, animasi, lagu dan kandungan visual yang menarik perhatian. Selain itu, ada juga peserta yang menggunakan aplikasi reka bentuk seperti Canva untuk menghasilkan poster atau bahan kreatif bagi tugasan sekolah.
Walau bagaimanapun, kebanyakan anak-anak ini lebih banyak berperanan sebagai pengguna kandungan digital berbanding memahami bagaimana teknologi tersebut berfungsi. Walaupun penggunaan AI sering dikaitkan dengan hiburan digital, ibu bapa dan penjaga yang terlibat dalam perbincangan tersebut turut melihat potensi besar teknologi ini dalam menyokong pembelajaran anak-anak.
Kandungan visual yang menarik seperti animasi dan video pendek didapati mampu meningkatkan fokus serta minat anak-anak terhadap sesuatu topik. Dalam beberapa kes, teknologi digital juga membantu aktiviti pembelajaran seperti menghafal surah pendek, mengikuti video pendidikan serta meningkatkan keyakinan diri mereka untuk mencuba perkara baharu.
Seorang penjaga berkongsi pandangan bahawa anaknya menunjukkan minat yang lebih tinggi untuk menonton video pembelajaran berbanding kaedah pengajaran konvensional. Bagi pakar pendidikan khas, keadaan ini menunjukkan bahawa teknologi AI berpotensi menjadi alat sokongan yang berkesan jika digunakan dengan pendekatan yang betul.
Kebimbangan terhadap kandungan digital
Namun di sebalik potensi tersebut, ibu bapa dan penjaga turut menyuarakan kebimbangan serius terhadap risiko penggunaan teknologi tanpa pemantauan. Antara kebimbangan utama ialah kesukaran membezakan kandungan benar dan palsu, pengaruh maklumat yang tidak tepat serta kemungkinan anak-anak mempercayai apa sahaja yang dipaparkan di skrin.
“Kami pun kadang-kadang susah nak bezakan sama ada betul atau tidak,” kata seorang penjaga yang menyertai perbincangan tersebut. Bagi anak-anak yang mempunyai cabaran pembelajaran, kemampuan menilai kesahihan maklumat digital menjadi lebih mencabar.
Selain itu, terdapat juga kebimbangan tentang pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, iklan dalam talian serta ketagihan penggunaan gajet. Hasil perbincangan kumpulan fokus ini menunjukkan bahawa teknologi AI bukan lagi sesuatu yang jauh daripada kehidupan anak-anak OKU pembelajaran. Sebaliknya, ia telah menjadi sebahagian daripada pengalaman digital harian mereka melalui hiburan, media sosial dan aplikasi kreatif.
Namun pakar berpendapat bahawa penggunaan teknologi ini perlu disertai dengan bimbingan, pemantauan dan pendidikan literasi digital yang lebih sistematik. Ibu bapa, guru dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan teknologi AI digunakan secara selamat dan memberi manfaat kepada perkembangan anak-anak.
Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, cabaran sebenar bukan sekadar memperkenalkan AI kepada golongan ini, tetapi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus digital sambil dilindungi daripada risiko yang mungkin timbul.
Dengan pendekatan yang inklusif dan bertanggungjawab, teknologi AI berpotensi menjadi alat yang membuka peluang baharu kepada golongan OKU pembelajaran untuk belajar, berinteraksi dan membina keyakinan diri dalam dunia digital masa kini.
* Kesemua penulis adalah dari Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.

