Mahasiswa UM anjur program kesedaran siber bersama pelajar SBJK
Mahasiswa berkongsi pengetahuan asas berkaitan penipuan dalam talian termasuk taktik yang sering digunakan sindiket scam.
KUALA LUMPUR, 7 Jun 2026 – Seramai 21 mahasiswa tahun pertama Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) menganjurkan program kesedaran keselamatan siber bertemakan “No Room for Scamming” bersama kira-kira 150 pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, di sini baru-baru ini.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi pendekatan Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat komuniti bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai isu sosial semasa.
Melalui program itu, para mahasiswa berkongsi pengetahuan asas berkaitan penipuan dalam talian termasuk taktik yang sering digunakan sindiket scam, kaedah mengenal pasti mesej mencurigakan serta langkah yang boleh diambil sekiranya menjadi mangsa penipuan digital.

Sesi interaktif yang berlangsung turut menyaksikan penglibatan aktif pelajar sekolah yang mengemukakan pelbagai soalan berkaitan keselamatan siber dan penggunaan media sosial.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk kewujudan pautan mencurigakan dalam permainan atas talian serta penggunaan identiti palsu oleh penjenayah siber untuk memperdaya mangsa.
Pengarah Program, Lim Ven Cheng berkata program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa memahami dengan lebih dekat cabaran yang dihadapi masyarakat dalam mendepani perkembangan teknologi digital.
“Melalui program bersama komuniti seperti ini, kami bukan sahaja belajar menyampaikan maklumat, tetapi juga memahami bagaimana golongan muda berinteraksi dengan dunia digital pada masa kini,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Program, Dr Sabri Sulaiman berkata pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti penting bagi membantu mahasiswa menghubungkan ilmu yang dipelajari di universiti dengan realiti masyarakat.
“Mahasiswa perlu diberi ruang untuk menggunakan pengetahuan yang diperoleh bagi membantu komuniti secara langsung, selain memahami cabaran sosial yang sebenar,” katanya.

SBJK yang terletak di Chow Kit merupakan institusi pendidikan yang menyediakan akses pembelajaran kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang kehidupan bandar yang mencabar.
Pemilihan tema keselamatan siber dilihat bertepatan dengan keadaan semasa berikutan penggunaan telefon pintar dan media sosial yang semakin meluas dalam kalangan golongan muda.
Selain meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penipuan dalam talian, program itu turut menekankan kepentingan pemikiran kritis, sikap berwaspada dan keberanian mendapatkan bantuan apabila berdepan situasi mencurigakan di alam digital.
Program berkenaan diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan fotografi yang mengeratkan hubungan antara mahasiswa UM dan warga SBJK.
