Mahasiswa UM santuni komuniti pedalaman Sabah menerusi PMC 7.0
Program Mahabbah Care4Ummah 7.0 memberi peluang kepada mahasiswa mendekati masyarakat pedalaman serta memahami realiti kehidupan komuniti setempat dengan lebih dekat.
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 – Seramai 24 mahasiswa Universiti Malaya (UM) menjayakan Program Mahabbah Care4Ummah (PMC) 7.0 di Kota Marudu dan Pitas, Sabah pada 24 hingga 28 April lepas bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dakwah, pendidikan dan kebajikan bersama masyarakat setempat.
Program bertemakan “Bersama Ummah, Menyemai Mahabbah” itu dianjurkan oleh Lajnah Pengurusan Muamalat, Jabatan Pengurusan dan Kewangan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Care4Ummah.
Program tersebut turut mendapat kerjasama beberapa agensi dan organisasi termasuk Hidayah Centre Foundation (HCF), Pertubuhan Kebajikan Al-Fateh Sabah (PKAS), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Pengarah Program PMC 7.0 Muhammad Danial Zulkarnain berkata program itu memberi peluang kepada mahasiswa mendekati masyarakat pedalaman serta memahami realiti kehidupan komuniti setempat dengan lebih dekat.
“Program ini bukan sahaja membolehkan mahasiswa menyumbang kepada masyarakat, malah memberi pengalaman berharga dalam memahami nilai kesederhanaan, keikhlasan dan semangat ukhuwah yang diamalkan oleh penduduk di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara pengisian utama program ialah modul kepimpinan The Next Al-Fateh yang diadakan di Pondok Fii Dzilalil Quran bagi membentuk jati diri dan kepimpinan dalam kalangan pelajar pondok.
Selain itu, pelbagai bengkel ibadah seperti wuduk, solat, azan, Tahsin Al-Fatihah dan pengurusan jenazah turut dilaksanakan di Masjid Al-Firdaus dan Surau An-Nur dengan penyertaan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Bagi mendekatkan golongan kanak-kanak dengan al-Quran, program Little Qari turut dianjurkan melalui pendekatan interaktif dan santai bagi memperkenalkan huruf hijaiyah serta asas bacaan al-Quran.
Program berkenaan turut diserikan dengan aktiviti sukaneka, pertandingan tilawah al-Quran dan pertandingan azan yang melibatkan penduduk kampung serta peserta program.
Dalam aspek kebajikan, sukarelawan PMC 7.0 mengadakan ziarah ke beberapa kampung termasuk Kampung Kuranji, Kampung Tagaroh dan Kampung Tanjung Layak-Layak bagi menyampaikan pek makanan serta bantuan keperluan asas kepada penduduk yang memerlukan.
Menurut Muhammad Danial, aktiviti ziarah tersebut memberi kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan kesyukuran dan semangat saling membantu dalam masyarakat.

“Walaupun hidup dalam serba sederhana, masyarakat di sini menunjukkan layanan yang sangat baik dan memberikan banyak pengajaran kepada kami sepanjang program berlangsung,” katanya.
Sementara itu, satu peristiwa yang disifatkan sebagai detik paling bermakna sepanjang penganjuran program berlaku di Masjid At-Taqwa ketika berlangsungnya Forum Halaqah bertajuk ‘Ketenangan Hidup dalam Islam’ yang menampilkan Dr Asmuliadi Lubis sebagai salah seorang panelis.
Menurut penganjur, seorang wanita tempatan yang singgah ke masjid secara kebetulan selepas tersalah masuk simpang ketika pulang dari kedai dobi telah mengikuti forum berkenaan dan berinteraksi dengan beberapa peserta program.
Wanita itu kemudiannya mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam selepas menghadiri pengisian forum dan majlis penutup program.
Majlis pengislaman wanita tersebut disaksikan oleh Penasihat Program Prof Madya Dr Mohd Abd Wahab Fatoni Mohd Balwi, Dr Asmuliadi, wakil JHEAINS serta peserta PMC 7.0.
Muhammad Danial berkata peristiwa itu menjadi pengalaman yang amat bermakna kepada seluruh jawatankuasa dan peserta program.
“Ia mengingatkan kami bahawa dakwah bukan sekadar melalui kata-kata, tetapi juga melalui akhlak, layanan baik dan kasih sayang yang ditunjukkan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata PMC 7.0 bukan sekadar program khidmat masyarakat, malah menjadi platform pembelajaran yang membantu mahasiswa membina nilai kemanusiaan, kesabaran dan semangat kesukarelawanan dalam mendepani cabaran masyarakat.
