UM perkasa pelancongan komuniti Kampung Bolok Hulu Sokmek
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan keterlihatan produk pelancongan komuniti selain membantu menjana pendapatan penduduk setempat secara mampan.
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2026 – Universiti Malaya (UM) menerusi Program Integrated Development of Community Transformation (IDCT) 2.0 melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti di Kampung Bolok Hulu Sokmek, Lanchang, Pahang bagi memperkasakan sektor pelancongan desa melalui pendekatan berasaskan budaya, alam semula jadi dan transformasi digital.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan keterlihatan produk pelancongan komuniti selain membantu menjana pendapatan penduduk setempat secara mampan menerusi pemeliharaan warisan budaya dan penggunaan teknologi digital.
Kampung Bolok Hulu Sokmek yang terletak berhampiran beberapa destinasi pelancongan terkenal seperti Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Deerland, Air Terjun Nerin dan Air Terjun Lengit mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan komuniti berasaskan pengalaman budaya dan alam semula jadi.
Komuniti kampung itu masih mengekalkan pelbagai warisan budaya termasuk Tarian Piring, Sewang, persembahan silat serta amalan pemprosesan padi secara tradisional yang menjadi identiti masyarakat setempat.

Selain itu, makanan tradisional seperti bahulu, lempeng dan dodol terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda sebagai sebahagian daripada khazanah budaya kampung.
Antara keunikan gastronomi yang diketengahkan ialah hidangan ikan patin masak lemak yang menggunakan serai dan daun cemomok, atau lebih dikenali sebagai daun kesing, yang memberikan aroma serta rasa tersendiri.
Pelawat juga berpeluang menikmati kuih halwa yang dihasilkan daripada bahan tempatan dan menjadi antara tarikan makanan tradisional yang mencerminkan identiti budaya komuniti berkenaan.
Bagi memperkukuh promosi pelancongan kampung, UM dengan kerjasama komuniti setempat membangunkan sebuah laman sesawang yang menghimpunkan maklumat berkaitan tarikan pelancongan, budaya, makanan tradisional, aktiviti komuniti dan kemudahan penginapan yang terdapat di kampung tersebut.
Platform digital itu berfungsi sebagai pusat sehenti yang membolehkan pelawat mendapatkan maklumat mengenai pakej pelancongan, aktiviti kebudayaan, pengalaman kehidupan desa serta tarikan alam semula jadi yang ditawarkan oleh komuniti setempat.
Selain pembangunan laman sesawang, pelajar UM turut menghasilkan bahan promosi digital, dokumentasi budaya dan kandungan media sosial bagi memperkenalkan keunikan Kampung Bolok Hulu Sokmek kepada khalayak yang lebih luas.
Kemuncak program tersebut ialah penganjuran Mini Showcase Kampung Bolok Hulu Sokmek pada 17 Mei lepas di Homestay Shelly Noa yang dirasmikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli.
Ketua Kampung Bolok Hulu Sokmek, Ruzman Sudin berkata kerjasama dengan UM membuka peluang baharu kepada komuniti untuk mempromosikan kampung mereka kepada masyarakat luar.

“Program seperti ini memberi ruang kepada komuniti untuk mengetengahkan budaya, makanan tradisional dan keunikan kampung kepada pelawat. Kami berharap usaha promosi yang berterusan dapat membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah berkata pembangunan pelancongan komuniti perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan memberi penekanan kepada pemeliharaan budaya, pemerkasaan komuniti dan penggunaan teknologi digital.
Beliau berkata pelancongan komuniti bukan sahaja berperanan sebagai aktiviti ekonomi, malah menjadi mekanisme penting dalam memelihara warisan budaya serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, Kampung Bolok Hulu Sokmek mempunyai potensi untuk berkembang sebagai model pelancongan komuniti mampan yang boleh dicontohi oleh kawasan luar bandar lain di negara ini.
“Melalui pendekatan transformasi digital, komuniti dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka dengan lebih meluas sekali gus meningkatkan daya saing serta membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata kerjasama antara universiti dan komuniti setempat membuktikan bahawa gabungan ilmu, warisan budaya, sumber alam semula jadi serta teknologi digital mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif, berdaya tahan dan mampan.
