UiTM Rembau perkukuh kemahiran AI graduan melalui kerjasama industri
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyokong pembangunan bakat AI melalui hubungan rapat dengan industri.
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2026 – Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau terus memperkukuh usaha membangunkan kompetensi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan mahasiswa menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri bagi memastikan graduan kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran pekerjaan masa depan.
Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Negeri Sembilan, Farrah Othman berkata perkembangan pesat teknologi AI yang kini digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor menuntut institusi pengajian tinggi menyediakan graduan dengan kemahiran yang selaras dengan keperluan industri semasa.
“Kita tidak mahu graduan terbina dengan kemahiran yang ketinggalan. Selain menguasai aspek teknikal AI, mereka juga perlu dilengkapi dengan kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah dan pertimbangan etika bagi memastikan penggunaan teknologi ini lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata atas kesedaran itu, fakulti berkenaan giat mewujudkan ekosistem pembelajaran yang menyokong pembangunan bakat AI melalui hubungan rapat dengan industri.

Menurutnya, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerjasama dengan MEREKA, sebuah syarikat perunding inovasi sosial bertaraf antarabangsa yang menyediakan akses kepada komuniti pembelajaran, program latihan berasaskan aplikasi, pakar industri serta rangkaian hab kreatif serantau.
Farrah berkata kerjasama tersebut bertujuan melahirkan graduan, usahawan dan profesional yang lebih bersedia menghadapi perubahan landskap pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi AI.
Beliau turut merujuk laporan terkini Bank Dunia yang menunjukkan golongan graduan muda berdepan cabaran lebih besar dalam pasaran pekerjaan global, sekali gus menuntut institusi pendidikan menyediakan mereka dengan kemahiran yang lebih relevan dan bernilai tinggi.

“AI mampu membantu dalam proses penyelesaian masalah, namun teknologi ini tetap memerlukan input manusia untuk memahami keperluan sebenar pengguna dan konteks sesuatu situasi. Oleh itu, keseimbangan antara penguasaan teknologi dan kebijaksanaan manusia amat penting,” katanya.
Sehubungan itu, FPP UiTM Rembau akan menganjurkan program pembangunan kompetensi AI pada 14 Jun ini bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai penggunaan teknologi tersebut dalam dunia pekerjaan dan keusahawanan.
Program sehari itu turut mendapat sokongan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
