Menonton filem untuk menyelami, mengetahui dan bukan sekadar hiburan
Ada antara yang menonton kerana minat sesuatu genre, ada juga kerana populariti barisan pelakon.

BEBERAPA pertimbangan perlu ditelusuri dengan fikiran yang terbuka terutamanya pada sudut penghayatan pada sesuatu situasi yang subjektif sifatnya dalam mendefinisikan ekspresi dan imaginasi sesebuah karya filem atau drama.
Kebiasaannya naratif dibentuk berdasarkan realiti kehidupan manusia yang berbeza mengikut zaman dan persoalan yang menyentuh tentang sesuatu perkara yang cuba dikupas serta adunan watak ciptaan yang bersesuaian.
Kemungkinan naratif yang ditawarkan adalah sesuatu yang realitinya biasa berlaku dalam masyarakat namun dengan sentuhan seni kreatif, ia bakal menjelmakan kelainan dari sudut olahan jalan cerita dan tafsiran kesimpulan diakhirnya.
Apabila membincangkan hal berkenaan sebab masyarakat menonton misalnya, kita akan memperolehi jawapan ringkas dengan asas andaian yang pelbagai. Ada antara yang menonton kerana minat sesuatu genre, ada juga kerana populariti barisan pelakon, begitu juga dengan hanya untuk mengisi masa lapang dan tak ketinggalan bagi mengatasi kebosanan pada waktu ketikanya.
Segalanya memungkinkan seseorang individu untuk bertindak mendedahkan diri untuk menonton suatu naratif filem mahupun drama. Apa pun alasan menonton, memang tidak menjadi perbuatan itu sesuatu yang salah. Teruskan sahaja menonton.
Sebenarnya tidak mudah untuk membicarakan tentang antara sebab menonton kerana dibahagian dasarnya adalah pengalaman yang diperolehi selepas tontonan selesai. Segala bentuk pengalaman tontonan yang berpaksikan sesuatu naratif penceritaan telah menyediakan suatu dimensi pemikiran yang berbeza untuk ditelusuri iaitu menyelami dan merungkai keadaan yang berbeza daripada kehidupan sebenar.
Filem bertindak meminjamkan pengalaman dalam mendepani pelbagai realiti kehidupan berpandukan pilihan genre. Terdapat pelbagai genre yang ada seperti seram, aksi, pengembaraan, dokumentari, muzikal, drama, komedi dan pelbagai lagi yang mampu membawa penonton menjelajah ke daerah pemikiran yang berbeza melalui watak yang dijelmakan.
Penonton berkemungkinan dapat menghayati watak dan menyelami emosi serta keindahan jalan cerita yang diakhirnya, penonton berupaya merasai apa yang direncanakan untuk ditempuh. Penghayatan tontonan dari sudut psikologi mampu mempertingkatkan keupayaan berfikir, menyelami dan tindak balas emosi dalam ertikata yang luas dari sudut pemahaman jalan cerita. Maka benarkah keputusan seseorang itu menonton adalah untuk menyelami realiti atau pengalaman yang berbeza dan mengetahui sesuatu perkara tanpa terhad kepada medium hiburan semata?
Dalam realiti kehidupan, setiap individu sudah pasti mempunyai minat yang tersendiri atau pun kecenderungan tertentu. Dalam jangkauan kehidupan, ada masanya terdapat perkara yang tidak mampu untuk kita peroleh walaupun telah diikhtiar sebaik mungkin namun keterbatasan masa dan upaya, bakal atau telah membantutkan sesuatu harapan.
Hal ini tidak tertumpu pada minat dan kecenderungan tertentu malah melibatkan keseluruhan aspek kehidupan yang diidamkan seperti mengejar impian dan cita-cita.
Tak ketinggalan juga terdapat perkara-perkara yang tidak semua individu berpeluang untuk mengecapi dalam kehidupan ini kerana sudah pasti setiap manusia mempunyai jalan cerita kehidupan tersendiri. Hakikatnya, akan ada individu yang terkecuali merasakan sesuatu pengalaman kehidupan maka melalui menonton filem, individu bakal merasai dan menghayati sesuatu pengalaman dari sudut yang berbeza dari kehidupan sebenar yang dilalui.
Dengan menoleh ke belakang, jika seseorang individu mempunyai minat yang mendalam berkenaan kisah sejarah melalui pembacaan ketika zaman persekolahan dan diteruskan ketika dewasa, maka kecenderungan untuk memilih filem atau drama yang berkisarkan mengenai sejarah untuk ditonton adalah tinggi berdasarkan pengalaman pembacaan.
Kebiasaannya kisah sejarah banyak menceritakan tentang ketokohan dan kepahlawanan yang mendasari pelbagai zaman dan pengkisahan. Mesej perjuangan dan semangat cintakan tanah air sudah pasti menjadi tulang belakang sesebuah kisah sejarah yang mendominasikan rumpun budaya bangsa. Melalui pembacaan, seseorang bakal memahami berdasarkan gambaran imaginasi sendiri dan mungkin agak kurang sempurna atau terhad kerana bingkisan cerita yang mewakili zaman yang berbeza.
Namun, dengan menonton filem atau drama, penceritaan melalui audio visual bakal memberikan gambaran yang lebih jelas dengan sokongan teknologi dan gaya kupasan pengarah yang sudah tentu mempunya pasukan penyelidik yang meneliti dan mengimbangi fakta sebenar sebelum penggambaran dilakukan.
Dengan kekemasan pengolahan visual dan sokongan kekuatan dialog serta garapan setting yang menjelmakan suasana, maka penonton berupaya mendapatkan gambaran tentang situasi yang mereka tidak alami menerusi jangkaan ketika membaca sahaja.
Di sisi lain, penonton berpeluang untuk mengatur gaya berfikir, menghuraikan situasi, menyelami kebenaran, mentafsir pemahaman dan menilai corak hubungan antara pembacaan dan hasil gambaran yang dijelmakan dalam filem atau drama.
Gugusan pengalaman menonton ini memberikan pentafsiran dan penilaian yang berbeza dari pemahaman sebelum menonton.
Begitu juga halnya jika individu memilih tema atau genre yang lain seperti genre seram misalnya. Mungkin ada diantara penonton mempunyai pengalaman tersendiri, mahupun sebaliknya. Mungkin juga ada yang mendapat gambaran melalui pembacaan yang berkisarkan kisah seram yang diperoleh dari buku bacaan tertentu.
Tentu sekali ada perasaan ingin tahu dan hendak turut serta merasai serta memahami lingkaran perasaan yang membelenggu jika berhadapan dengan sesuatu situasi seperti mana yang pernah dilalui ataupun bersandarkan pembacaan. Meneroka sesuatu yang asing dalam kehidupan juga merupakan suatu cabaran diri bagi mendapat pengalaman yang berbeza.
Hal ini kerana filem seram kebiasaannya bukan hanya tentang perihal ketakutan sahaja tetapi banyak disisipkan bersama perihal kearifan tempatan dan budaya setempat. Karya seram banyak mengandungi gambaran kehidupan yang lebih autentik dengan tuntutan semasa terutamanya berkenaan representasi kepercayaan masyarakat Melayu.
Dalam filem seram ada digabungkan aspek kepercayaan tradisi masyarakat dan pegangan agama dipaparkan secara jelas dalam menghidupkan jalan cerita. Maka dengan menonton filem, perincian elemen ini dapat dihayati dan difahami maksud disebalik jalan cerita.
Dan begitulah seterusnya jika kita membuat analisa berkenaan aspek menyelami dan mengetahui sesuatu situasi melalui filem dan drama. Penonton berpeluang untuk turut serta mendampingi sudut pandang yang diilhamkan oleh pengarah melalui naratif yang dihasilkan berteraskan genre melalui pengalaman tontonan diluar konteks realiti kehidupan.
Berkaitan dengan hakikat tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa filem dan drama mampu membawakan pengalaman berbeza dari kehidupan sebenar seseorang individu. Filem mampu berkongsi keindahan yang mungkin mampu diaplikasikan sebagai rujukan untuk memperbaiki diri serta panduan positif bagi pembentukan tafsiran kehidupan yang baik dan sempurna.
Dari jalur yang sama, naskah seni bukanlah sesuatu yang sempurna maka penonton harus mengatur kebijaksana sendiri dalam membezakan antara dunia realiti dan naratif cereka yang ditonton. Segala pengalaman yang diperolehi boleh dijadikan ikhtibar untuk mendepani masa hadapan. Dari aspek pemilihan filem atau drama, individu harus tahu apa yang diinginkan.

