Fahami perbezaan hadis daif, palsu dalam beramal di era digital

Segelintir menganggap bahawa semua hadis daif wajib ditolak secara mutlak kerana mereka menyamakan hadis daif dengan hadis palsu.

Feature Image (1)

PERKEMBANGAN media sosial pada hari ini telah menjadikan penyebaran maklumat agama berlaku dengan sangat pantas dan meluas. Pelbagai hadis dikongsikan setiap hari melalui platform digital seperti TikTok, Facebook, Telegram dan WhatsApp tanpa semakan yang teliti terhadap sumber dan statusnya.

Perkongsian tanpa tapisan ini menyebabkan berlakunya percampuran antara hadis sahih, daif dan juga palsu. Ia juga menimbulkan polemik antara pelbagai pihak dalam masyarakat Islam. Fenomena ini secara tidak langsung membuka ruang kepada berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan hadis daif dan palsu.

Antara isu yang semakin mendapat perhatian ialah kekeliruan masyarakat dalam memahami konsep hadis daif secara tepat. Segelintir menganggap bahawa semua hadis daif wajib ditolak secara mutlak kerana mereka menyamakan hadis daif dengan hadis palsu.

Pada masa sama, terdapat juga kelompok yang menerimanya dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh ulama, dan ada segolongan yang menyebarkan hadis daif tanpa meneliti syarat serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh para ulama.

Sebagai contoh, terdapat polemik dalam masyarakat berkaitan penggunaan hadis daif dalam teks khutbah raya di sebuah negeri, iaitu berkaitan galakan Rasulullah SAW kepada Saidatina Fatimah untuk bangun dan menyaksikan ibadah korban yang dilakukan.

Sabda Nabi SAW: “Wahai Fatimah, berdirilah kamu dan saksikanlah haiwan korbanmu kerana sesungguhnya diampunkan bagi kamu, dengan titisan pertama darahnya, setiap dosa yang telah kamu lakukan.”

Hadis ini telah diriwayatkan oleh ramai ulama dan dinilai dalam kategori daif atau lemah manakala segelintir ulama pula meletakkannya dalam kategori palsu.

Perkara tersebut telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat. Sebahagian pihak mempertahankan penggunaannya atas alasan galakan melakukan kebaikan, manakala sebahagian lain pula menolaknya secara mutlak tanpa memahami perbahasan ulama berkaitan kategori dan tahap kelemahan hadis. Situasi ini menunjukkan bahawa masyarakat masih keliru dalam membezakan antara hadis daif yang ringan dengan hadis yang terlalu lemah atau palsu.

Menurut Syeikh Muḥammad ‘Awwāmah dalam karya Ḥukm al-‘Amal bi al-Ḥadīth al-Ḍa’īf, hadis daif ialah setiap hadis yang tidak memenuhi syarat hadis sahih mahupun hasan. Ia terbahagi kepada pelbagai jenis berdasarkan tingkat kelemahannya, daripada yang ringan (dha‘īf yasīr) hingga kepada riwayat yang sangat lemah seperti matruk dan munkar, malah ada yang sampai ke tahap mawdu‘ atau palsu.

Sebahagian perbezaan pandangan ulama sebenarnya berpunca daripada mereka membincangkan jenis hadis yang berbeza walaupun menggunakan istilah yang sama. Majoriti ulama daripada kalangan muhaddithin dan fuqaha membenarkan penggunaan hadis daif secara terhad dengan tiga syarat.

Pertama, hadis tersebut tidak termasuk dalam bab akidah serta halal dan haram, sebaliknya hanya berkaitan kelebihan amalan serta galakan melakukan kebaikan. Kedua, hadis tersebut mempunyai asas yang disokong oleh dalil yang sahih sehingga tidak menjadi dakwaan tanpa sandaran. Ketiga, pengamal tidak meyakini bahawa hadis tersebut sabit daripada Nabi SAW, sebaliknya mengamalkannya atas dasar berhati-hati dan kemungkinan sahaja.

Namun demikian, terdapat juga sebahagian ulama yang berpandangan bahawa hadis daif tidak boleh digunakan langsung dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Hakikatnya, para ulama hadis sejak dahulu telah membahaskan isu hadis daif secara mendalam dan sistematik. Hadis daif bukan berada pada satu tahap yang sama. Terdapat hadis yang kelemahannya ringan dan boleh diperkuatkan melalui jalur periwayatan lain manakala terdapat juga hadis yang terlalu lemah sehingga tidak boleh dijadikan hujah sama sekali.

Oleh sebab itu, para ulama amat menitikberatkan disiplin ilmu dalam menilai sesuatu riwayat sebelum ia disebarkan kepada masyarakat. Majoriti ulama mengambil pendekatan pertengahan dalam isu ini. Mereka tidak menerima hadis daif secara mutlak dan tidak juga menolaknya secara keseluruhan.

Selain itu, kekeliruan terhadap hadis daif dalam masyarakat juga berpunca daripada kurangnya penguasaan terhadap ilmu hadis, khususnya berkaitan kaedah periwayatan dan kaedah penyampaian hadis secara tepat. Keadaan ini menyebabkan sebahagian masyarakat mudah menerima sesuatu hadis hanya kerana ia tular atau disampaikan oleh individu yang berpengaruh tanpa meneliti status hadis tersebut.

Pada masa sama, perkembangan media sosial turut mempercepatkan penyebaran hadis tanpa tapisan dan semakan ilmiah. Ramai pengguna lebih cenderung mendapatkan maklumat agama daripada video pendek, poster digital dan hantaran media sosial berbanding merujuk kepada ahli ilmu atau kitab hadis yang muktabar. Fenomena ini akhirnya mewujudkan budaya penyebaran maklumat agama yang tidak berasaskan disiplin ilmu yang tepat.

Oleh itu, masyarakat perlu diberikan pendedahan yang lebih jelas berkaitan pembahagian hadis serta garis panduan penggunaannya menurut para ulama. Budaya tabayyun dan semakan sumber juga perlu diperkukuhkan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu yang tular tanpa penelitian.

Dalam masa yang sama, institusi agama, para pendakwah dan pihak berautoriti perlu memainkan peranan penting dalam memastikan penyampaian ilmu hadis dilakukan secara lebih sistematik dan bertanggungjawab.

Jelasnya, isu kekeliruan terhadap hadis daif merupakan cabaran yang semakin ketara dalam masyarakat Islam masa kini. Tanpa kefahaman yang tepat, masyarakat berisiko terjebak sama ada dalam sikap terlalu keras menolak hadis daif secara mutlak ataupun terlalu longgar menerima semua riwayat tanpa penilaian yang betul.

Lebih parah, perbezaan pandangan ini membuka ruang kepada segelintir orang awam untuk menghina dan merendahkan kelompok majoriti ulama yang menerima pengamalan hadis daif dalam konteks galakan melakukan kebaikan. Oleh itu, keseimbangan antara semangat beragama dan disiplin ilmu amat penting bagi memastikan masyarakat memahami ajaran Islam berdasarkan sumber yang sahih dan berautoriti.