Program Jelajah Siswa UM dekatkan pelajar sekolah dengan kehidupan universiti
program seumpama itu penting dalam membantu pelajar melihat pendidikan tinggi sebagai sesuatu yang lebih dekat dan mampu dicapai.
KUALA LUMPUR, 10 Jun 2026 – Kira-kira 500 pelajar sekolah menengah berpeluang merasai pengalaman sebagai mahasiswa menerusi Projek Jelajah Siswa Universiti Malaya (UM) 2026 yang dianjurkan oleh Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin (KK9), Universiti Malaya.
Program yang dilaksanakan menerusi dua komponen utama iaitu Mega Jelajah Siswa Universiti Malaya dan Jelajah Siswa Peringkat Kebangsaan itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai suasana pembelajaran serta kehidupan di institusi pengajian tinggi.
Pengetua Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, DSP/KS Mohd Hairolnezam Kahmis berkata program seumpama itu penting dalam membantu pelajar melihat pendidikan tinggi sebagai sesuatu yang lebih dekat dan mampu dicapai.
“Ramai pelajar mengenali universiti hanya melalui media sosial atau cerita daripada orang lain. Namun apabila mereka datang sendiri ke kampus, duduk di dewan kuliah, berjalan di perpustakaan dan berinteraksi dengan mahasiswa, pengalaman itu menjadi lebih nyata.
“Pendedahan awal seperti ini dapat membina keyakinan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya dalam kenyataan.

Program itu turut mendapat kerjasama PTTI, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak, Fakulti Sains Universiti Malaya serta beberapa rakan strategik lain.
Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti pelbagai aktiviti akademik termasuk sesi perkongsian teknik menjawab soalan Matematik, Matematik Tambahan, Sains dan Kimia yang dikendalikan tenaga pengajar daripada PTTI.
Selain itu, mereka turut dibawa melawat beberapa lokasi utama di kampus Universiti Malaya seperti Perpustakaan Utama, Dewan Tunku Canselor dan Tasik Varsiti bagi memberi gambaran sebenar mengenai persekitaran pembelajaran di universiti.
Sementara itu, Pengarah Projek Jelajah Siswa sesi 2025/2026, Adlin Hani Mohammad Nurdin berkata pendekatan program dirangka bagi mewujudkan interaksi lebih santai dan terbuka antara pelajar sekolah dengan mahasiswa.
“Kami mahu mereka melihat mahasiswa sebagai individu yang dekat dengan mereka. Ramai fasilitator yang terlibat juga pernah melalui fasa yang sama ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memikirkan hala tuju selepas tamat persekolahan.
“Melalui aktiviti berkumpulan dan sesi jelajah kampus, pelajar lebih selesa untuk bertanya soalan serta berkongsi pandangan mengenai kehidupan di universiti,” katanya.

Beliau berkata interaksi secara langsung antara pelajar sekolah dan mahasiswa sering memberikan impak yang lebih besar berbanding sesi ceramah formal kerana ia membolehkan peserta memperoleh gambaran sebenar mengenai kehidupan kampus.
Dalam pada itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Gombak, Norlia Samin berkata program sedemikian merupakan satu bentuk kolaborasi pendidikan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar.
Menurut beliau, pendedahan awal kepada suasana universiti amat penting khususnya bagi pelajar yang mempunyai akses terhad kepada pengalaman tersebut.
“Kadangkala apa yang pelajar perlukan bukan hanya maklumat mengenai universiti, tetapi keyakinan bahawa mereka juga mempunyai tempat di sana,” katanya.
Program Jelajah Siswa UM dilihat selari dengan usaha memperkukuh penyertaan pelajar dalam bidang STEM selain membantu meningkatkan kesedaran mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
