Wawasanex Gesa KKM Buka Akses Awam kepada Daftar Jenama Rokok Berdaftar
KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 – Wawasanex, sebuah firma penyelidikan dasar awam Malaysia, menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya menjadikan daftar jenama rokok yang berdaftar di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 boleh diakses oleh orang ramai.
Gesaan itu dibuat susulan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan rampasan barangan seludup bernilai RM1.30 bilion bagi separuh pertama tahun 2026, meningkat 22 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan rokok seludup mencatatkan jumlah kes tertinggi. Pada masa sama, tinjauan Wawasanex yang dijalankan pada Mei 2026 mendapati rokok seludup masih mudah diperoleh, sekali gus menunjukkan keperluan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai produk rokok yang berdaftar secara sah.
Di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, semua produk tembakau perlu didaftarkan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, yang bertanggungjawab menyelenggara daftar produk yang diluluskan. Ketika ini, KKM telah menyediakan platform semakan awam bagi produk farmaseutikal dan kosmetik berdaftar. Wawasanex berpandangan, pendekatan yang sama boleh diperluaskan kepada produk tembakau bagi membolehkan pengguna dan peruncit membezakan produk yang sah daripada produk haram.
Pengasas Bersama merangkap Pengarah Analitik Kreatif Wawasanex, Dini Nurhani, berkata,
“Permintaan kami adalah mudah, iaitu supaya daftar jenama rokok yang telah berdaftar dibuka supaya boleh diakses oleh orang ramai. Pengguna dan peruncit yang sah memerlukan satu rujukan rasmi untuk mengesahkan sama ada sesuatu produk itu berdaftar atau sebaliknya.”
“Daftar tersebut telah pun diwujudkan. Menyediakannya secara dalam talian tidak memerlukan kos yang tinggi mahupun pindaan undang-undang baharu. Kami telah mengemukakan cadangan ini kepada KKM dan masih belum menerima sebarang maklum balas. Kami percaya cadangan ini wajar diberi pertimbangan,” katanya.
Tinjauan Wawasanex pada Mei 2026 mendapati 99 peratus responden menyatakan rokok seludup mudah atau sangat mudah diperoleh, manakala 68.8 peratus mengenal pasti warga asing sebagai individu yang menjual rokok tersebut. Siasatan terbaru oleh Utusan Malaysia turut mendapati rokok seludup masih mudah dijual di kedai runcit berhampiran kawasan perumahan. Walaupun penguatkuasaan terus dipertingkatkan, pengguna dan peruncit masih tidak mempunyai saluran rasmi untuk menyemak sama ada sesuatu jenama rokok telah didaftarkan secara sah.
“Penguatkuasaan boleh mengeluarkan produk dan penjual haram daripada pasaran, namun pengguna juga memerlukan maklumat yang tepat ketika membuat pembelian. Tanpa kaedah untuk mengesahkan produk yang sah, rokok seludup akan terus beredar bersama produk yang sah,” katanya.
“Apabila 99 peratus responden menyatakan rokok seludup masih mudah diperoleh, ini menunjukkan masih terdapat jurang yang tidak dapat ditangani melalui penguatkuasaan semata-mata. Pengguna memerlukan kaedah yang mudah dan boleh diakses untuk mengenal pasti produk yang berdaftar,” tambah beliau.
Tinjauan Wawasanex turut mendapati 87 peratus responden menyokong tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap pihak yang terlibat dalam perdagangan rokok seludup, manakala 43 peratus menyokong supaya premis yang didapati menjual produk tersebut didedahkan kepada umum.
“Orang ramai mahukan akauntabiliti yang lebih kukuh, namun akauntabiliti juga perlu disokong oleh ketelusan. Malaysia sudah mempunyai kerangka perundangan dan daftar jenama rokok yang berdaftar. Menjadikan maklumat ini boleh diakses oleh orang ramai merupakan langkah praktikal yang mampu melindungi perniagaan yang sah, membantu pengguna membuat pilihan yang tepat dan mengurangkan ruang yang boleh dimanfaatkan oleh pihak yang menjual produk haram,” kata Dini.
