Ismail Sabri masuk IJN, prosiding pendakwaan ditangguh ke 27 Ogos

Ismail Sabri mengalami masalah kesihatan semalam ketika dirakam keterangan oleh SPRM dan dibawa ke IJN.

Feature Image (6)

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya berlangsung hari ini ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini Suzana Hussin menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh berkenaan selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di IJN.

Amer Hamzah berkata anak guamnya mengalami masalah kesihatan semalam ketika dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dibawa ke IJN.

“Doktor yang merawat mengesahkan anak guam kami mengalami possible arrhythmia (kemungkinan degupan jantung tidak sekata) yang memerlukan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata Ismail Sabri dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure) pada petang ini dan dijangka dimasukkan ke wad selama beberapa hari.

Sehubungan dengan itu, Amer Hamzah berkata pihaknya memohon agar pembacaan pertuduhan, pengambilan pengakuan serta perkara berkaitan termasuk isu jaminan ditangguhkan ke tarikh lain.

“Kami juga memohon agar 27 Ogos ditetapkan sebagai tarikh baharu. Memandangkan anak guam kami masih di bawah jaminan SPRM, tiada isu beliau akan melarikan diri. Mahkamah juga dialu-alukan untuk melawat sekiranya perlu,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan pertuduhan terhadap Ismail Sabri dan izin untuk mendakwa.

Berdasarkan senarai jadual mahkamah, Ahli Parlimen Bera itu sepatutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Jenayah 14 hari ini mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 berhubung pengisytiharan harta.

Farah Ezlin berkata memandangkan Ismail Sabri berada di bawah jaminan SPRM dan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk hadir ke mahkamah hari ini, adalah wajar atas dasar kemanusiaan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.

“Kami bersetuju, sebaik sahaja beliau dibenarkan keluar hospital dan disahkan sihat, pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan boleh dibuat. 27 Ogos adalah tarikh yang sesuai,” katanya.

Pada prosiding itu, Farah Ezlin dibantu Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin dan Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala pihak pembelaan turut dibarisi peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, Ragunath Kesavan, Joshua Tay, Tan Xu Yin, Aswath Ramakrishnan serta Sanjey G. Sangkar.

Sebelum ini, Ismail Sabri, 66, dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuatnya kepada SPRM.

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – BERNAMA