Graduan Fisioterapi UiTM jadi buruan industri, 18 majikan sertai Career Day 2026
Platform memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri menerusi penyelidikan, perkongsian kepakaran serta penerokaan peluang kerjaya kepada bakal graduan fisioterapi.
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Kebolehpasaran graduan Program Fisioterapi Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mendapat pengiktirafan apabila sebanyak 18 majikan terkemuka menyertai Physiotherapy Research Colloquium, Alumni Expert & Career Day 2026 anjuran Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam.
Program yang berlangsung selama dua hari itu menjadi platform memperkukuh hubungan antara institusi akademik dan industri menerusi penyelidikan, perkongsian kepakaran serta penerokaan peluang kerjaya kepada bakal graduan fisioterapi.
Kemuncak program ialah penganjuran Career Day 2026 yang menghimpunkan 18 majikan daripada sektor fisioterapi dan penjagaan kesihatan bagi menawarkan peluang kerjaya, membina jaringan profesional serta mengadakan sesi temu duga bersama pelajar.
Majikan yang mengambil bahagian ialah Physiogo Sdn Bhd, Excel Physio, Rehabworks Physiotherapy, Benphysio Group, Nadi Intelek (M) Sdn Bhd, Physio at Work Therapy, Physiocare Malaysia, Spine Solution Physiotherapy Center, Avisena Hospital, Damansara Specialist Hospital 2, Alpro Physio Sdn Bhd, Red Giants Medical Centre, Synapse Physiotherapy, AI Physiotherapy, Iswanah Resource Sdn Bhd, JogoHealth Stroke Centre, iFix Physiotherapy dan IHT Rehab Sdn Bhd.

Penyertaan syarikat dan institusi kesihatan berkenaan mencerminkan keyakinan industri terhadap kualiti graduan Fisioterapi UiTM, selain membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka prospek kerjaya secara langsung bersama bakal majikan.
Program turut dimulakan dengan Research Colloquium yang menyaksikan 62 pelajar tahun akhir membentangkan hasil penyelidikan masing-masing melalui pembentangan poster, sekali gus membudayakan penyelidikan yang inovatif dan berkualiti dalam kalangan mahasiswa.
Turut diadakan ialah Policy Talk bertajuk The Importance of Act 774: Allied Health Profession yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia, Nur Alia Zarmani.
Sesi itu memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 774 dalam memperkukuh amalan fisioterapi yang profesional, beretika dan berdaftar.
Selain itu, Alumni Expert Forum bertajuk Turning Passion into Impactful Practice menampilkan dua alumni cemerlang UiTM, Sharfiza Abdul Aziz dan Muhammad Hidayat Shafie, yang berkongsi pengalaman, cabaran serta perjalanan kerjaya mereka dalam bidang fisioterapi.
Perkongsian berkenaan memberi inspirasi kepada peserta, khususnya bakal graduan untuk membina kerjaya yang cemerlang dan memberi impak positif kepada masyarakat.

Majlis penutup program disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, Prof. Madya Dr. Ahmad Razali Ishak.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan serta menegaskan bahawa kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan industri merupakan pemangkin utama dalam melahirkan graduan yang memenuhi keperluan semasa sektor kesihatan.
