UiTM Kampus Rembau santuni pemimpin mahasiswa, perkukuh kepimpinan berteraskan ESG
Mahasiswa secara umumnya merupakan pemimpin sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada pelajar lain.
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau menerusi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan menganjurkan majlis penghargaan bagi meraikan komitmen barisan pemimpin Persatuan D’Bankers Club atau D’Bankers Society, sebuah persatuan pelajar yang diwujudkan khusus untuk mahasiswa program Diploma in Banking Studies.
Program itu diadakan sebagai usaha menghargai sumbangan pemimpin mahasiswa serta membina bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar selaras dengan konsep ESG (Environmental, Social and Governance) yang kini menjadi keutamaan industri.
Majlis berkenaan berlangsung dalam suasana sarapan pagi di Klana Resort Seremban, dengan meraikan pemimpin persatuan yang telah memainkan peranan aktif sepanjang tempoh kepimpinan mereka.
UiTM Kampus Rembau berpandangan bahawa mahasiswa secara umumnya merupakan pemimpin sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada pelajar lain. Namun, tidak semua mahasiswa menyedari hakikat tersebut, justeru program seumpama itu dilihat mampu menghargai serta mengiktiraf bakat kepimpinan dalam kalangan generasi muda.
Bagi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, penganjuran program sedemikian turut memberi nilai tambah kepada mahasiswa apabila memasuki pasaran pekerjaan, selain menepati konsep ESG yang menjadi antara aspek penting dalam penilaian industri pada masa kini.

Melalui program itu, fakulti berusaha memupuk budaya menghargai kecemerlangan dalam diri pemimpin muda supaya mereka benar-benar memahami tuntutan alam pekerjaan, khususnya bakal graduan yang akan menceburi industri perbankan.
Selain itu, pendekatan berteraskan ESG turut menekankan bahawa kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan atau kedudukan dalam sesebuah organisasi, sebaliknya melibatkan tanggungjawab terhadap diri, masyarakat dan organisasi.
Walaupun fokus utama mahasiswa apabila melanjutkan pengajian di universiti lazimnya tertumpu kepada pencapaian akademik, penglibatan dalam persatuan pelajar turut dilihat sebagai platform yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan diri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Hampir semua universiti awam dan swasta mempunyai pelbagai persatuan pelajar, daripada persatuan kecil sehingga organisasi terbesar seperti Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), yang menyediakan ruang kepada mahasiswa mengembangkan potensi kepimpinan serta kemahiran insaniah.
Menurut penasihat persatuan itu, Mustafa Kamal Mat, platform persatuan pelajar perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua mahasiswa UiTM Kampus Rembau bagi menggilap potensi mereka secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata penglibatan aktif dalam persatuan mampu melahirkan graduan yang serba boleh serta lebih bersedia menghadapi cabaran apabila melangkah ke alam pekerjaan.
Sementara itu, seorang lagi penasihat D’Bankers Club, Dr. Muhammad Hafiz Ali, yang juga pakar dalam bidang ESG berkata, konsep tersebut merupakan satu rangka kerja atau piawaian yang digunakan oleh pemain industri dan sektor perniagaan bagi menilai sejauh mana sesebuah organisasi beroperasi secara bertanggungjawab terhadap aspek persekitaran, masyarakat dan etika tadbir urus.

Menurut beliau, program seperti itu turut memberi kesedaran kepada mahasiswa bahawa kehidupan pada masa kini semakin mencabar dengan pelbagai bentuk persaingan, terutama apabila memasuki alam pekerjaan.
Sehubungan itu, UiTM Kampus Rembau menekankan kepentingan mahasiswa sentiasa bijak mencari peluang untuk melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung dalam program universiti melalui penyertaan dalam persatuan pelajar.
Menurut pihak universiti, manfaat daripada penglibatan aktif dalam persatuan akan kembali kepada mahasiswa sendiri kerana pengalaman yang diperoleh dapat membantu mereka berada di landasan yang tepat serta lebih bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
