Mahkamah Tinggi tolak permohonan Bloomberg Malaysia batal saman fitnah terhadap Bestinet
KUALA LUMPUR, 27 Jun 2026 – Mahkamah Tinggi pada Jumaat menolak permohonan Bloomberg (Malaysia) Sdn Bhd untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Bestinet Sdn Bhd dan pengasasnya, Datuk Seri Aminul Islam Abdul Nor, berhubung laporan yang didakwa mengaitkan syarikat itu dengan eksploitasi pekerja asing.
Hakim Roslan Mat Nor berkata, beberapa isu penting yang dibangkitkan dalam pliding berkaitan artikel bertajuk Everyone Gets A Cut, And Migrant Workers Pay The Price perlu diputuskan melalui perbicaraan penuh kerana melibatkan pertikaian fakta.
Memetik laporan The Edge Malaysia, beliau menjelaskan isu berkenaan tidak sesuai diputuskan secara ringkas hanya berdasarkan afidavit, sebaliknya memerlukan pembuktian melalui prosiding mahkamah.
Antara isu yang perlu ditentukan ialah sama ada Bloomberg (Malaysia) mempunyai penglibatan secara langsung dalam penerbitan artikel berkenaan atau memainkan peranan serta mempunyai kawalan terhadap operasi laman web Bloomberg.
Mahkamah turut memerintahkan Bloomberg (Malaysia) membayar kos sebanyak RM5,000 kepada pihak plaintif.
Pada April lalu, Bloomberg (Malaysia) memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu dengan alasan syarikat berkenaan bukan penerbit artikel yang disiarkan pada Januari lalu dan tidak bertanggungjawab terhadap penerbitannya.
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan peguam Amer Hamzah Arshad, Bloomberg (Malaysia) menegaskan ia hanya beroperasi sebagai entiti tempatan dan tidak menyebabkan artikel tersebut diterbitkan.
Bagaimanapun, peguam bagi Bestinet dan Aminul Islam, Ravi Nekoo dari firma guaman Lui & Bhullar, berhujah bahawa Bloomberg (Malaysia) tidak boleh dianggap sebagai entiti yang benar-benar berasingan daripada syarikat induknya serta mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap penerbitan artikel itu.
Beliau turut menegaskan bahawa dakwaan Bloomberg (Malaysia) sekadar menyediakan perkhidmatan sokongan tempatan tanpa sebarang kawalan terhadap penerbitan artikel berkenaan perlu dibuktikan melalui perbicaraan.
