Simpanan emas tidak terlalu awal untuk dimulakan mahasiswa
Menyimpan emas bukan lagi sekadar hobi tetapi ia sebenarnya merupakan satu strategi pengurusan kewangan yang sangat kritikal.
Oleh: FAWWAZ FADZIL
BILA sebut sahaja tentang simpanan emas, pasti ramai dalam kalangan kita terbayang mak cik-mak cik di kedai emas yang sedang rancak menawar harga gelang tangan. Jarang sekali kita dengar mahasiswa bersembang tentang simpanan aset emas ketika sedang santai menikmati kopi di kafe hipster. Tanggapan masyarakat, khususnya orang muda, selalunya menganggap emas ini hanyalah aset untuk orang yang sudah bekerjaya, berumur atau sekadar perhiasan wanita.
Namun, tahukah anda bahawa realitinya kini sudah berubah? Menyimpan emas bukan lagi sekadar hobi. Ia sebenarnya merupakan satu strategi pengurusan kewangan yang sangat kritikal, lebih-lebih lagi untuk mahasiswa yang baru ingin membina asas kehidupan yang stabil. Persoalannya, kenapa golongan mahasiswa patut kisah tentang emas?
Emas sebagai aset kalis inflasi
Pernahkah anda perasan, harga makanan di kafe universiti makin lama makin mahal? Dulu dengan RM5, kita boleh dapat sepinggan nasi campur yang memuaskan dan air minuman yang manis-manis., Sekarang, RM5 mungkin hanya cukup untuk sebungkus nasi lemak biasa dan air kosong. Inilah realiti ekonomi yang dipanggil inflasi. Secara mudahnya, inflasi bermaksud kuasa beli wang kertas kita makin lama makin susut. Duit RM100 yang kita ada hari ini, tidak akan mampu membeli barang dengan jumlah yang sama pada lima tahun akan datang.
Di sinilah emas memainkan peranan utamanya sebagai aset kalis inflasi. Berbeza dengan wang kertas yang nilainya turun naik bergantung kepada dasar ekonomi negara, emas mempunyai nilai intrinsik yang tersendiri., Nilai emas sentiasa relevan dan kukuh walau seburuk mana pun keadaan ekonomi global.
Sebagai contoh perbandingan yang popular, sejak zaman Nabi Muhammad SAW lebih 1,400 tahun dahulu, nilai 1 Dinar (syiling emas) boleh digunakan untuk membeli seekor kambing. Menariknya, pada hari ini, nilai 1 Dinar tersebut (kini bernilai sekitar RM2,400 hingga RM2,600) masih lagi relevan dan mencukupi untuk membeli seekor kambing. Nilainya tidak pernah susut ditelan zaman. Mahasiswa yang bijak menukar sebahagian wang simpanan kepada emas dari awal pasti tidak akan terkesan teruk apabila harga barang naik mendadak kelak.
Fitrah manusia dan teguran al-Quran
Dari sudut pandang Islam, emas sememangnya mempunyai kedudukan yang istimewa. Menjadi lumrah atau fitrah kita sebagai manusia untuk menyukai perhiasan dan mengumpul harta benda demi jaminan masa depan. Allah SWT telah merekodkan fitrah ini di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran, ayat 14: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak…”,
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa keinginan untuk memiliki dan menyimpan emas adalah sesuatu yang semula jadi. Ia adalah satu bentuk persediaan kewangan yang diiktiraf di dalam Islam.
Namun begitu, Islam adalah agama yang seimbang dan sentiasa menitipkan pesan supaya kita beringat. Menyimpan emas bukan bertujuan untuk dibiarkan beku, disorokkan atau sekadar menjadi kebanggaan yang kosong.
Ada tanggungjawab besar yang wajib dilunaskan apabila simpanan tersebut telah mencapai tahap tertentu (cukup haul dan nisab)., Allah SWT telah memberikan amaran yang tegas menerusi surah At-Taubah, ayat 34: “…Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Sebagai mahasiswa yang cakna, kita harus faham konsep kewangan ini. Kita amat digalakkan menyimpan emas untuk pelindung masa depan, tetapi jangan sesekali mengabaikan kewajipan mengeluarkan zakat apabila sudah tiba masanya., Keseimbangan inilah yang akan menjadikan simpanan kita lebih berkat.
Langkah mula untuk mahasiswa
Pasti ada yang mengeluh, “Saya ini cuma pelajar, wang pinjaman atau biasiswa pun cukup-cukup makan, macam mana nak mula menyimpan emas?”
Jangan bimbang. Pada era digital hari ini, anda tidak perlu membeli emas fizikal yang mahal untuk bermula. Banyak bank dan platform kewangan menawarkan kemudahan akaun simpanan emas yang sah serta patuh syariah., Dengan modal serendah RM100, anda sudah boleh mula mengumpul emas secara berperingkat. Kuncinya di sini adalah disiplin. Cuba ketepikan sedikit wang perbelanjaan bulanan, duit biasiswa atau wang hasil bekerja sambilan. Biar sedikit, asalkan konsisten.
Kesimpulannya, jangan tunggu sehingga anda menjejakkan kaki ke alam pekerjaan untuk mula mengenali emas. Jadikan ia sebagai tabung kecemasan masa depan anda. Harus diingat, emas bukanlah instrumen untuk cepat kaya tetapi ia adalah penyimpan nilai kekayaan yang paling selamat. Ayuh rakan-rakan mahasiswa, sambil kita gigih mengejar segulung ijazah, apa kata kita mula kumpul juga beberapa gram emas? Anda pasti akan berterima kasih kepada diri sendiri kelak.
* Penulis adalah dari Jabatan Fiqh-Usul & Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

