Pengangkutan awam di universiti bukan lagi pilihan tetapi keperluan

Pengangkutan awam melalui TREK Rapid KL dan MY50 memudahkan mobiliti pelajar, menjimatkan perbelanjaan serta menyokong kelestarian persekitaran kampus.

Feature Image (1)

PADA era globalisasi ini, pengangkutan awam bukan lagi sesuatu yang asing dalam kalangan pelajar di Malaysia. Malah, ia telah menjadi salah satu keperluan asas dalam kehidupan harian mereka. Sebagai institusi yang menampung ribuan pelajar daripada pelbagai latar belakang dan lokasi, keperluan terhadap sistem pengangkutan yang efisien semakin mendesak.

Ramai dalam kalangan pelajar tidak memiliki kenderaan sendiri disebabkan faktor ekonomi. Justeru, pengangkutan awam seperti bas universiti, van atau perkhidmatan awam luar menjadi medium penting dalam menjalani rutin harian mereka.

Sistem pengangkutan awam yang baik bukan sahaja mampu mengurangkan beban kewangan kerana kosnya jauh lebih rendah berbanding memiliki dan menyelenggara kenderaan persendirian, malah dapat membantu mengatasi isu kesesakan lalu lintas serta masalah kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan kampus.

Dalam jangka masa panjang, penggunaan pengangkutan awam turut menyumbang kepada kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon dan amalan berkongsi kenderaan. Hal ini membuktikan bahawa pengangkutan awam bukan sekadar memudahkan pergerakan, malah memainkan peranan penting dalam membentuk persekitaran kampus yang lebih lestari dan kondusif.

Sebagai usaha memperkasa mobiliti, pihak Prasarana Malaysia Berhad melalui anak syarikatnya, RAPID KL, telah memperkenalkan satu inisiatif perkhidmatan transit yang dikenali sebagai TREK RAPID. TREK ini merupakan sebahagian daripada perkhidmatan Rapid KL yang berkonsepkan pengangkutan atas permintaan atau Demand Responsive Transit (DRT) dengan menggunakan van sebagai mod pengangkutan.

TREK merupakan program khas yang menawarkan perkhidmatan kepada pelajar serta orang awam di sekitar kawasan Lembah Klang. Dengan adanya TREK, mereka boleh menikmati perkhidmatan pengangkutan yang lebih sistematik, selamat serta fleksibel mengikut keperluan pergerakan harian.

Perkhidmatan ini beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 11.30 malam dan menawarkan tambang yang berpatutan, jadual perjalanan tetap serta laluan khas yang menghubungkan kampus dengan stesen-stesen pengangkutan awam utama seperti LRT dan MRT.

Tambahan pula, perkhidmatan yang disediakan oleh RAPID KL seperti pas bulanan MY50 menjadikan perjalanan harian lebih menjimatkan dan berbaloi, terutama bagi pengguna tegar pengangkutan awam. Dengan bayaran hanya RM50 sebulan, pengguna boleh menikmati perjalanan tanpa had menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan bas Rapid KL. Inisiatif ini sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup serta membantu mengurangkan kesesakan jalan raya.

Kewujudan inisiatif seperti perkhidmatan ini membuktikan bahawa kerjasama antara sektor pendidikan dan pengangkutan awam mampu memberikan impak besar terhadap pembangunan pelajar secara menyeluruh. Justeru, inisiatif seperti TREK ini wajar diperluaskan ke lebih banyak universiti dan kolej di seluruh negara sebagai langkah proaktif ke arah sistem pendidikan yang lebih inklusif, efisien dan mesra pelajar.

Gabungan KTM, LRT dan TREK ini bukan sahaja memudahkan perjalanan, malah memberikan pengguna peluang untuk berehat, membaca atau menyiapkan tugasan kerja sepanjang perjalanan. Rutin ini telah menjadi kebiasaan yang bukan sahaja praktikal, malah turut menyumbang kepada gaya hidup yang lebih tenang dan tersusun di tengah-tengah kesibukan kota.

Justeru, penggunaan pengangkutan awam bukan sahaja lebih praktikal, malah turut membawa kebaikan dari segi kewangan, kesejahteraan mental dan pemeliharaan alam sekitar. Penggunaan pengangkutan awam juga dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memberikan manfaat kepada individu dan masyarakat secara keseluruhannya.

Oleh itu, pengangkutan awam bukan lagi satu kemewahan di universiti, tetapi merupakan satu keperluan asas yang semakin mendesak. Ia bukan sahaja membantu pelajar dalam kehidupan seharian, malah mencerminkan komitmen institusi pendidikan tinggi terhadap kesejahteraan dan keselamatan semua warga kampus.

Kesimpulannya, setiap rakyat Malaysia perlu memberikan sokongan terhadap usaha kerajaan dan pihak berkaitan dalam menambah baik sistem pengangkutan awam negara. Sokongan ini bukan sekadar melalui suara dan pandangan, tetapi juga dengan mengambil inisiatif untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai sebahagian daripada gaya hidup seharian.

Semakin ramai masyarakat memilih untuk menggunakan pengangkutan awam, semakin besar potensi untuk mengurangkan kesesakan jalan raya, menjimatkan penggunaan bahan api, mengurangkan pencemaran udara serta mewujudkan persekitaran yang lebih lestari.

Pada masa yang sama, peningkatan jumlah pengguna juga dapat menggalakkan pihak berwajib untuk terus memperluas laluan, meningkatkan kekerapan perkhidmatan dan memperbaiki kemudahan serta aspek keselamatan.

Perubahan ini memerlukan kerjasama semua pihak kerana sistem pengangkutan awam yang berkualiti bukan sahaja tanggungjawab kerajaan, tetapi merupakan kepentingan bersama seluruh rakyat. Ayuh, kita bersama-sama menyokong dan memanfaatkan pengangkutan awam demi membina Malaysia yang lebih cekap, selamat, sejahtera dan lestari untuk generasi akan datang.