Empat ribu peserta dijangka sertai Qiyamullail Mega UPM
Orang awam juga dipelawa untuk memeriahkan program yang turut disertai pelajar, staf UPM serta komuniti berhampiran.

KUALA LUMPUR, 11 April 2025 – Seramai empat ribu peserta dijangka menyertai program Kerohanian Bina Insan Madani 2025 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memupuk nilai-nilai murni dan membina insan MADANI yang cemerlang di Masjid UPM Serdang pada 12 April, 2025.
Orang awam juga dipelawa untuk memeriahkan program tersebut bagi menyertai peserta yang meliputi pelajar dan staf UPM serta komuniti berhampiran.
Antara pengisian program ialah Qiyamullail Mega pada pukul 4 pagi, solat subuh dan tazkirah subuh, majlis perasmian penutup oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Sri Fadillah Yusof.
Forum bertajuk Keperibadian Madani Penyatu Ummah disampaikan oleh Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Ahli Sekretariat Duat Al-Falah JAKIM, Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah.
Para peserta berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar keilmuan Islam untuk menjawab segala kemusykilan agama.
Program ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada peserta platform bersemuka dengan pakar agama berbanding kecenderungan masyarakat yang banyak bergantung pencarian ilmu agama melalui internet.
Program yang dibuat di dua buah kampus UPM iaitu di Serdang dan Bintulu, Sarawak itu dianjurkan oleh Kolej Sri Rajang, UPM Kampus Bintulu, Sarawak dan Kolej 12, UPM Serdang dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).