Travelog “Unfading Memoirs” promosi kepelbagaian, keunikan Malaysia

KUALA LUMPUR, 12 Julai 2024 – Peneraju saluran hiburan berbahasa Inggeris, AXN Asia milik KC Global Media dengan kerjasama Tourism Malaysia mempromosikan kepelbagaian dan keunikan Malaysia menerusi penerbitan travelog baharu berjudul “Unfading Memoirs”.

Ia boleh ditonton secara dalam talian termasuk di saluran televisyen seluruh Asia bermula 11 Julai 2024.

Menampilkan Justin Bratton (Asia’s Got Talent, Screaming at Stars) dan Selina Lo (Hellraiser 2022, aktres musim baharu Lord of the Rings: The Rings of Power) sebagai hos dengan gandingan penggemar kembara dan makanan terkenal, Erwan Heussaff (Let it Simmer, Survivor Philippines), “Unfading Memoirs” merupakan eksplorasi mengujakan yang memaparkan kekayaan budaya selain landskap menakjubkan negara ini merangkumi senarai impian berteraskan tiga elemen utama iaitu Pengembaraan (Adventure), Budaya (Culture) dan juga Makanan (Food).

Memanifestasikan keindahan pengembaraan, “Unfading Memoirs” terdiri daripada beberapa siri kandungan digital yang mengajak penonton untuk bersama-sama menyertai perjalanan mengujakan di Malaysia sekali gus merasai pengalaman setiap destinasi dengan naratif unik oleh pihak AXN.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden KC Global Media, George Chien berkata: “Malaysia kekal menjadi ‘syurga’ pilihan pelancong dengan kekayaan warisan sejarah dan budaya selain tarikan luar biasa yang terus memacu daya saing dan inovasi – tidak kira sama ada ini kali pertama atau kali ke-10 anda melawat negara ini, pasti ada sesuatu yang baharu untuk dinikmati.

“Pendek kata, Malaysia merupakan sebuah destinasi yang amat berbeza berbanding negara lain. Pelbagai pengalaman hebat yang diraih di Malaysia mencerminkan inti pati kepelbagaian dan keunikan kaum di Asia, sejajar dengan jenamanya ‘Malaysia, Truly Asia’.

“Oleh itu, menjadi satu penghormatan buat kami dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam membawakan “Unfading Memoirs” kepada para penonton.”

Para pencinta aktiviti kembara berpeluang menonton gabungan pelbagai dimensi kandungan pengembaraan dan hiburan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah yang dihasilkan pengguna (UGC) dari perspektif berbeza sekali gus memberikan inspirasi kepada para penonton untuk melancong ke lokasi-lokasi tersebut.

Terokai sendiri pengalaman berjalan di dasar laut dan menaiki kereta api bersejarah Borneo Railway.

Turut dipaparkan ialah pengalaman menyaksikan pemandangan indah menaiki belon udara panas, mengagumi pelbagai hasil karya pelukis muda tempatan dan pertukangan tradisional selain menyoroti warisan seni kulinari Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy berkata: “Kepelbagaian tarikan yang ada di Malaysia, bermula daripada sejarah, budaya dan keindahan alam semula jadi, menawarkan banyak pilihan kepada para pelancong untuk menikmati percutian sempurna di negara ini.

“Ditambah pula dengan keramahan rakyat tempatan serta reputasi Malaysia sebagai syurga makanan, kami berbangga untuk mempersembahkan keunikan Malaysia kepada para penonton melalui kerjasama khusus bersama AXN Asia.”

“Unfading Memoirs” boleh ditonton di laman sosial dan saluran televisyen AXN Asia bermula 11 Julai 2024.

Untuk keterangan lanjut, layari media sosial AXN Asia dan klik www.malaysia.travel/deals bagi mendapatkan tawaran istimewa melancong ke Malaysia.