Sandoz lantik Christine Chong sebagai Ketua Negara baharu bagi Malaysia, Singapura dan Brunei
Christine membawa lebih sedekad pengalaman kepimpinan dalam industri farmaseutikal merentasi Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan.
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2026 – Sandoz, peneraju global dalam ubat generik dan biosimilar, melantik Christine Chong sebagai Ketua Negara bagi Malaysia, Singapura dan Brunei berkuat kuasa hari ini.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan Christine membawa lebih sedekad pengalaman kepimpinan dalam industri farmaseutikal merentasi Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan.
Menurut kenyataan itu, beliau sebelum ini menerajui pelbagai inisiatif transformasi perniagaan, pertumbuhan portfolio dan pembangunan organisasi, selain memacu pengembangan pasaran, inovasi digital serta penglibatan pekerja.
“Rekod pencapaian beliau merangkumi kecemerlangan komersial, pelancaran produk dan pemulihan perniagaan, menjadikan beliau aset penting kepada pasukan kepimpinan Sandoz,” menurut kenyataan itu.
Christine berkata beliau berbesar hati menyertai Sandoz dan berharap dapat bekerjasama dengan pasukan di Malaysia, Singapura dan Brunei untuk meneruskan misi memperluaskan akses pesakit kepada rawatan kesihatan.
“Bersama-sama, kami akan terus berinovasi, berkembang dan memberi impak bermakna kepada landskap penjagaan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kluster Asia Sandoz, Boon Huey Ee berkata Christine membawa pengalaman mendalam merentasi pelbagai pasaran serta fokus kukuh dalam meningkatkan akses pesakit.
“Di bawah kepimpinan beliau, Sandoz akan terus memperluaskan impaknya dan memenuhi komitmennya kepada pesakit di seluruh rantau ini,” katanya.
Sandoz turut memaklumkan bahawa syarikat itu meraikan ulang tahun ke-140 warisannya pada tahun ini, selain 80 tahun kepimpinan dalam antibiotik dan 20 tahun sebagai perintis biosimilar di peringkat global.
Menurut syarikat itu, Sandoz juga menyambut 55 tahun kehadirannya di Malaysia dan 40 tahun di Singapura.
