Bolehkah rumah merawat pesakit kanser?
Adakah rumah sekadar tempat untuk berehat atau sebenarnya turut memainkan peranan dalam membantu proses penyembuhan?.

APABILA seseorang disahkan menghidap kanser, perhatian kita selalunya tertumpu kepada hospital, doktor pakar, kemoterapi dan ubat-ubatan. Semua itu sememangnya penting. Namun, ada satu perkara yang sering kita terlepas pandang, iaitu rumah tempat pesakit menghabiskan sebahagian besar masa mereka.
Hakikatnya, pesakit kanser tidak berada di hospital setiap hari. Mereka hadir mengikut jadual rawatan, kemudian pulang ke rumah untuk berehat, memulihkan tenaga dan meneruskan kehidupan bersama keluarga. Ini bermakna, sebahagian besar perjalanan pemulihan sebenarnya berlaku di rumah.
Persoalannya, adakah rumah sekadar tempat untuk berehat atau sebenarnya turut memainkan peranan dalam membantu proses penyembuhan?.
Sebagai penyelidik dalam bidang persekitaran dalaman, persoalan ini sangat dekat di hati penulis. Topik ini juga semakin mendapat perhatian di seluruh dunia apabila pembaca cuba membuat carian sendiri dengan menggunakan kata kunci ‘Indoor Environmental Quality’, ‘mental health and well-being’, ‘home’ atau kata kunci yang sewaktu dengannya.
Tidak perlu menggunakan database penyelidikan hanya menggunakan carian Google sudah memadai. Jika anda cuba buat carian dan sudah dapat datanya, ini menunjukkan semakin banyak kajian berkenaan keadaan rumah yang boleh mempengaruhi kesejahteraan fizikal dan mental penghuni bangunan.
Dalam bidang sains bangunan, hubungan ini dikenali sebagai kualiti persekitaran dalaman rumah atau Indoor Environmental Quality (IEQ). Ia merangkumi aspek seperti pencahayaan, pengudaraan, suhu, kelembapan, bunyi dan kebersihan ruang dalaman.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, apakah kaitan semua ini dengan pesakit kanser?. Jawapannya mudah. Pesakit kanser bukan sahaja berhadapan dengan penyakit, malah perlu melalui pelbagai cabaran fizikal dan emosi sepanjang rawatan.
Ada hari mereka terlalu letih untuk bangun daripada katil. Ada yang hilang selera makan, sukar tidur, cepat berasa sedih atau hilang semangat. Ada juga yang akan mengalami sakit-sakit badan sepanjang masa kesan pengambilan ubat setiap hari.
Dalam keadaan seperti ini, persekitaran rumah boleh menjadi sama ada faktor yang menambah tekanan atau menjadi sumber ketenangan. Bayangkan sebuah bilik yang suram, panas, kurang pengudaraan dan bising. Keadaan seperti ini boleh menyebabkan seseorang berasa tidak selesa, sukar berehat dan mudah tertekan.
Sebaliknya, rumah yang mempunyai cahaya matahari yang mencukupi, udara yang segar, suhu yang nyaman serta suasana yang tenang memberikan pengalaman yang jauh berbeza. Walaupun perubahan ini kelihatan kecil, ia membantu tubuh berehat dan minda menjadi lebih tenang.
Di sinilah sains bangunan memainkan peranannya. Selama ini ramai menganggap bidang ini hanya berkaitan dengan pembinaan rumah yang kukuh atau reka bentuk yang menarik. Hakikatnya, sains bangunan juga mengkaji bagaimana keadaan sesuatu bangunan mempengaruhi kesihatan, emosi dan kesejahteraan penghuninya.
Sebagai contoh, rumah yang kurang pengudaraan, lembap, berhabuk atau mempunyai pertumbuhan kulat boleh menjejaskan kualiti udara dalaman.
Rumah yang sentiasa gelap, terlalu panas atau terlalu bising pula boleh menyebabkan penghuni sukar berehat dan mudah berasa letih. Dalam bidang sains bangunan, keadaan seperti ini sering dikaitkan dengan simptom yang berpunca daripada persekitaran bangunan yang kurang sihat atau building-related symptoms, yang merupakan sebahagian daripada isu yang sering dibincangkan di bawah konsep Sick Building Syndrome. Ya, sindrom bangunan sakit.
Simptom seperti sakit kepala, mata pedih, hidung tersumbat, tekak kering, keletihan dan rasa tidak selesa mungkin dialami oleh sesiapa sahaja ketika berada di dalam rumah. Namun kesannya boleh menjadi lebih ketara kepada pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.
Sebaliknya, rumah yang mempunyai pengudaraan yang baik, menerima cahaya matahari yang mencukupi, mempunyai suhu yang selesa serta ruang yang bersih dan teratur mampu mewujudkan suasana yang lebih menyenangkan. Persekitaran seperti ini membantu mengurangkan tekanan terhadap tubuh dan minda, sekali gus meningkatkan keselesaan ketika menjalani rutin harian.
Hubungan ini sebenarnya berlaku secara berperingkat. Apabila persekitaran rumah menjadi lebih selesa, tubuh lebih mudah berehat. Apabila tubuh mendapat rehat yang berkualiti, emosi menjadi lebih stabil dan tekanan dapat dikurangkan.
Kesejahteraan mental atau well-being yang lebih baik seterusnya membantu meningkatkan motivasi pesakit untuk makan dengan lebih baik, melakukan aktiviti ringan mengikut kemampuan, berinteraksi dengan ahli keluarga serta terus hadir menjalani rawatan yang telah dijadualkan.
Inilah mesej utama yang ingin dibawa di dalam penulisan ini. Rumah tidak merawat kanser secara langsung. Namun, rumah boleh mempengaruhi pengalaman pesakit sepanjang menjalani rawatan. Persekitaran yang sihat menyokong kesejahteraan mental, kesejahteraan mental meningkatkan motivasi, dan motivasi yang baik membantu pesakit menghadapi rawatan dengan lebih yakin serta mengekalkan kualiti hidup yang lebih baik.
Atas sebab itu, mewujudkan rumah yang sihat tidak semestinya memerlukan pengubahsuaian yang besar atau kos yang tinggi. Langkah mudah seperti memastikan pengudaraan yang baik, membenarkan cahaya matahari memasuki rumah, menjaga kebersihan ruang, mengurangkan habuk dan kelembapan, mengawal bunyi bising serta mewujudkan suasana yang tenang sudah mampu memberikan perubahan yang bermakna kepada kehidupan pesakit.
Dalam erti kata lain, rumah bukan sekadar menyediakan perlindungan daripada panas dan hujan. Rumah yang mempunyai kualiti persekitaran dalaman yang baik turut menjadi ruang yang menyokong kesihatan fizikal, memelihara kesejahteraan mental dan membina semula motivasi pesakit untuk terus melangkah ke hadapan. Itulah kekuatan sebenar sains bangunan apabila diterjemahkan ke dalam kehidupan seharian.

