Kursus MPU perlukan terapan jiwa, bukan peperiksaan

Kejayaan seseorang graduan tidak hanya bergantung kepada penguasaan ilmu dalam bidang pengkhususan semata-mata.

Feature Image (7)

PENDIDIKAN tinggi sering dilihat sebagai medan untuk melahirkan graduan yang memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing. Universiti menjadi tempat pelajar memperkukuh ilmu, membangunkan kemahiran profesional dan mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan.

Namun, kejayaan seseorang graduan tidak hanya bergantung kepada penguasaan ilmu dalam bidang pengkhususan semata-mata. Aspek nilai, sikap, komunikasi, pemikiran dan keupayaan mengurus diri turut memainkan peranan penting dalam membentuk individu yang mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Atas kesedaran tersebut, komponen Mata Pelajaran Umum (MPU) diperkenalkan dalam sistem pendidikan tinggi sebagai salah satu usaha membentuk pelajar secara holistik. Kursus dalam komponen ini merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan jati diri, pemahaman sejarah dan negara, agama dan moral, kokurikulum serta elemen pembentukan insan yang lain.

Walaupun MPU tidak berfokus kepada pengetahuan teknikal bidang pengkhususan, peranannya tetap signifikan dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi juga matang dalam membuat pertimbangan dan berinteraksi dengan dunia sekeliling.

Hakikatnya, banyak perkara penting dalam kehidupan tidak diamalkan bukan kerana seseorang tidak tahu tentangnya, tetapi kerana pengetahuan tersebut belum benar-benar difahami dan diterjemahkan dalam bentuk tindakan.

Seseorang mungkin mengetahui kepentingan nilai integriti, komunikasi berkesan atau pengurusan diri, namun pengetahuan tersebut tidak semestinya bermakna seseorang mampu mengamalkannya dalam setiap situasi. Di sinilah peranan kursus MPU, iaitu sebagai ruang untuk pelajar menyedari, menghayati dan menilai semula perkara yang mungkin dianggap remeh atau biasa dalam kehidupan seharian.

Sebagai contoh, komunikasi merupakan aktiviti yang kita lakukan setiap hari bersama ahli keluarga, rakan-rakan, majikan dan masyarakat. Namun, tidak semua menyedari bahawa pendekatan komunikasi perlu disesuaikan mengikut situasi dan pihak yang berinteraksi.

Berapa ramai majikan merungut tentang gaya interaksi pekerja mereka? Berapa ramai guru dan pensyarah mengeluh apabila menerima mesej daripada pelajar tanpa pengenalan diri atau bahasa yang sesuai? Justeru, walaupun komunikasi merupakan perkara lazim, perbincangan mengenainya dalam kursus MPU tetap relevan bagi membentuk kesedaran dan membimbing pelajar berinteraksi dengan lebih profesional.

Walau bagaimanapun, melaksanakan pengajaran kursus MPU bukanlah sesuatu yang mudah. Berbeza dengan kursus disiplin ilmu yang memperkenalkan konsep atau teori khusus, kursus MPU khususnya yang berkaitan dengan pembangunan insan sering membincangkan perkara yang pernah dilihat, didengar atau dialami oleh pelajar.

Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa kursus tersebut tidak membawa perkara baharu kerana topik yang dibincangkan dianggap sebagai pengetahuan umum.

Apabila pelajar merasakan mereka sudah mengetahui sesuatu topik, pembelajaran secara formal dianggap tidak lagi diperlukan. Akibatnya, kursus MPU dilihat kurang penting, tidak relevan dengan bidang pengajian, malah lebih membimbangkan apabila kehadiran ke kuliah atau tugasan MPU dianggap sekadar membuang masa.

Pelajar sukar menghayati kepentingan kursus ini kerana perubahan dalam aspek pembangunan insan tidak berlaku secara serta-merta, melainkan memerlukan masa yang panjang sebelum mereka menyedari impaknya terhadap pembentukan nilai dan keperibadian diri.

Oleh itu, setiap tajuk yang dibincangkan perlu sentiasa dikaitkan dengan kehidupan seharian pelajar agar ia berfungsi sebagai panduan hidup, bukannya sekadar penyampaian konsep teori semata-mata. Sebagai contoh, perbincangan tentang kemahiran berkomunikasi tidak tertakluk kepada pertuturan lisan sahaja, tetapi juga merangkumi bahasa badan. Pensyarah boleh memberikan situasi apabila seseorang pensyarah menghentikan pengajaran dan berdiam diri apabila pelajar berbual.

Tindakan tersebut sebenarnya merupakan satu bentuk komunikasi melalui bahasa badan yang perlu difahami oleh pelajar agar mereka segera peka dan memberikan tumpuan. Tanpa bimbingan secara langsung melalui kursus MPU, tidak mustahil terdapat pelajar yang tidak memahami isyarat tersebut dan terus berbuat bising tanpa menyedari kesannya terhadap orang lain.

Kepentingan kursus MPU bukan hanya terhad kepada kehidupan kampus hari ini, tetapi turut berkait dengan keperluan pelajar pada masa hadapan. Penekanan perlu diberikan bahawa apabila menempuhi alam pekerjaan kelak, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan. Seawal sesi temu duga, majikan sudah mula menilai kemahiran insaniah calon seperti penampilan diri, gaya komunikasi serta tahap keyakinan dalam menyampaikan idea.

Kemahiran-kemahiran ini sukar dibentuk secara langsung menerusi silibus teknikal semata-mata. Justeru, kursus MPU berfungsi sebagai medan persediaan awal untuk menggilap nilai dan keperibadian tersebut sebelum pelajar melangkah ke alam kerjaya yang penuh cabaran.

Bagi meruntuhkan tembok persepsi bahawa kursus MPU ini membosankan dan membuang masa, pendekatan pengajaran perlu diberi nafas baharu. Penyampaian secara satu hala hanya akan mengukuhkan anggapan bahawa MPU sekadar sesi ceramah atau nasihat biasa yang mudah dilupakan.

Justeru, penggunaan aktiviti yang pelbagai seperti perbincangan kumpulan, pembentangan, kajian kes, mahupun permainan dan aktiviti kreatif seperti melukis bertindak sebagai jurus awal untuk menarik minat, mewujudkan suasana seronok dan menggalakkan kehadiran konsisten pelajar.

Namun, aktiviti seronok ini hanyalah ‘pintu masuk’. Ia bukan sekadar untuk hiburan atau mengisi masa, sebaliknya dirancang dengan tujuan yang jelas bagi memberi ruang kepada pelajar mengalami sendiri sesuatu situasi, berkongsi pengalaman dan membuat refleksi tentang pemikiran serta tindakan mereka. Tanpa refleksi, aktiviti hanyalah sekadar permainan; tetapi dengan refleksi, ia menjadi pengalaman pembelajaran yang bermakna dan kekal dalam ingatan.

Kejayaan sesebuah institusi pengajian tinggi tidak sekadar diukur menerusi kebolehpasaran graduan dalam bidang teknikal, tetapi juga melalui kebolehan melahirkan insan yang seimbang dari segi akademik dan keperibadian.

Kursus Mata Pelajaran Umum bukan sekadar pelengkap kurikulum, sebaliknya merupakan wadah utama pembentukan nilai dan jati diri graduan. Justeru, sudah tiba masanya para pensyarah MPU memperkasakan pendekatan pengajaran berasaskan pengalaman, manakala pelajar pula perlu memanfaatkan ruang ini sepenuhnya untuk mempersiapkan diri berdepan dengan realiti dunia sebenar.

Kejayaan kursus MPU tidak terletak pada helaian kertas soalan peperiksaan, tetapi pada kesediaan pelajar untuk membuka minda terhadap perkara yang disangka telah diketahui tetapi hakikatnya belum benar-benar dihayati. Malah, kejayaan terbesar kursus MPU adalah sejauh mana nilai yang dipelajari mampu memandu tindakan graduan apabila melangkah keluar dari menara gading.