Luka pasangan yang tidak kelihatan

Kegagalan rawatan kesuburan, keputusan ujian kehamilan yang negatif atau kehilangan kandungan boleh meninggalkan kesan emosi yang mendalam.

Feature Image

“KEPUTUSAN ujian kali ini masih negatif.”
“Rawatan ini tidak berjaya.”
“Kita cuba lagi bulan depan.”

Bagi sesetengah orang, ayat-ayat ini mungkin kedengaran seperti sebahagian daripada proses rawatan biasa. Namun bagi pasangan yang telah bertahun-tahun menantikan cahaya mata, setiap keputusan negatif membawa makna yang jauh lebih besar. Ada harapan yang dibina berbulan-bulan, kemudian musnah dalam beberapa minit.

Ada pasangan yang kembali bekerja seperti biasa keesokan harinya, tersenyum apabila bertemu rakan dan menjawab pertanyaan keluarga seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Namun di sebalik senyuman itu, mereka mungkin sedang berkabung terhadap sesuatu yang tidak pernah sempat mereka miliki.

Inilah kesedihan yang tidak kelihatan. Kita biasanya memahami kesedihan apabila seseorang kehilangan insan tersayang. Ada ucapan takziah, kunjungan keluarga dan ruang untuk menangis serta berkabung. Tetapi bagaimana pula dengan kehilangan terhadap sesuatu yang sangat diharapkan tetapi belum sempat menjadi kenyataan?

Bagi pasangan yang menghadapi subfertiliti, kegagalan rawatan kesuburan, keputusan ujian kehamilan yang negatif atau kehilangan kandungan boleh meninggalkan kesan emosi yang mendalam. Dalam psikologi, terdapat konsep yang dikenali sebagai disenfranchised grief atau kesedihan yang tidak diiktiraf.

Ia merujuk kepada pengalaman kehilangan yang tidak semestinya mendapat pengiktirafan atau sokongan sosial sebagaimana bentuk kehilangan lain.

Pasangan mungkin mendengar kata-kata seperti, “Bersabarlah”, “Jangan terlalu fikir” atau “Belum ada rezeki lagi”.

Kata-kata itu biasanya diucapkan dengan niat yang baik. Namun apabila seseorang sedang melalui kekecewaan yang berulang, ungkapan sedemikian kadangkala membuatkan mereka merasakan kesedihan sendiri tidak cukup penting untuk difahami.

Kitaran berharap dan kecewa

Perjalanan mendapatkan zuriat bukan sekadar persoalan menjalani rawatan. Ia boleh menjadi satu kitaran emosi: berharap, menunggu, bimbang dan akhirnya menerima keputusan yang mungkin mengecewakan. Kemudian kitaran itu bermula semula.

Tekanan psikologi juga boleh menjadi lebih kuat ketika menunggu keputusan ujian kehamilan, menerima keputusan rawatan yang tidak berjaya atau berhadapan kehilangan kehamilan. Pada ketika inilah sokongan pasangan, keluarga, kaunselor dan profesional kesihatan mental menjadi sangat penting.

Bagi sesetengah individu, pengalaman berulang ini boleh dirasakan sebagai sesuatu yang traumatik, walaupun tidak semua individu akan memenuhi kriteria diagnosis trauma secara klinikal. Sebab itu kita perlu berhati-hati menggunakan perkataan “trauma”. Kesedihan yang mendalam tidak semestinya bermaksud seseorang mengalami gangguan psikologi. Namun perasaan tersebut tetap nyata dan tidak seharusnya diperkecilkan.

Subfertiliti juga boleh mempengaruhi cara seseorang melihat dirinya. Ada wanita yang mula mempersoalkan nilai dirinya kerana belum menjadi ibu. Ada lelaki yang memilih memendam perasaan kerana takut dianggap gagal menjadi seorang bapa.

Ada pula yang akhirnya takut untuk berharap. Setiap kali rawatan bermula, mereka cuba meyakinkan diri bahawa kali ini mungkin berjaya. Tetapi pengalaman kecewa sebelumnya menyebabkan mereka takut untuk terlalu gembira.

Sebahagian pasangan akhirnya berhenti berkongsi perasaan kerana merasakan orang lain tidak akan benar-benar memahami pengalaman mereka. Di sinilah hubungan antara suami dan isteri menjadi sangat penting. Pasangan tidak semestinya mengalami atau menunjukkan kesedihan dengan cara yang sama. Seorang mungkin mahu bercakap, sementara seorang lagi memilih berdiam diri.

Perbezaan cara menghadapi tekanan tidak bermaksud seseorang kurang bersedih atau kurang mengambil berat. Yang diperlukan ialah ruang untuk mendengar tanpa menyalahkan.

Di sebalik pengalaman yang sukar, terdapat juga ruang untuk membina kekuatan. Pasangan boleh menyesuaikan diri secara lebih positif apabila mempunyai hubungan yang saling menyokong, mendapat bantuan psikologi yang sesuai dan dikelilingi rangkaian sosial yang memahami keadaan mereka. Keupayaan untuk bangkit dan terus menjalani kehidupan meskipun berhadapan cabaran besar merupakan sebahagian daripada pembentukan resiliensi.

Mendapatkan bantuan juga bukan tanda seseorang lemah. Jika kesedihan atau tekanan mula mengganggu kehidupan seharian, hubungan perkahwinan, pekerjaan atau kesejahteraan emosi, mendapatkan sokongan daripada kaunselor atau profesional kesihatan mental merupakan langkah yang wajar.

Masyarakat juga boleh membantu

Kita mungkin tidak mampu mengubah keputusan rawatan kesuburan seseorang. Kita juga tidak mampu menjanjikan bahawa rawatan seterusnya akan berjaya tetapi kita boleh melakukan sesuatu yang sangat sederhana dengan mengiktiraf perasaan mereka.

Dengar tanpa menghakimi. Elakkan bertanya terlalu banyak mengenai rawatan jika mereka tidak mahu berkongsi. Jangan membandingkan perjalanan mereka dengan orang lain. Kadangkala ayat paling membantu bukanlah nasihat panjang, tetapi sekadar: “Saya mungkin tidak memahami sepenuhnya apa yang awak lalui, tetapi saya sedia mendengar.”

Pasangan yang menghadapi subfertiliti tidak memerlukan simpati berlebihan. Mereka memerlukan ruang yang selamat untuk menjadi manusia untuk berharap, kecewa, bersedih dan kemudian membina semula kekuatan mengikut kemampuan sendiri.

Tidak semua luka dapat dilihat oleh mata. Ada luka yang hadir daripada kehilangan sesuatu yang pernah dimiliki. Ada juga luka daripada impian yang begitu lama dinantikan tetapi belum menjadi kenyataan. Kedua-duanya berhak diberikan ruang untuk sembuh. Kerana kadangkala, langkah pertama membantu seseorang bukanlah memberikan nasihat atau mencari penyelesaian.

Cukuplah dengan mengakui bahawa kesedihan mereka itu nyata.