Soalan ringkas yang melukakan pasangan

Masalah timbul apabila kehadiran anak dijadikan ukuran sama ada sesebuah perkahwinan itu bahagia, sempurna atau diberkati.

Feature Image (1)

“BILA nak ada anak?”

Hanya lima patah perkataan. Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar pertanyaan biasa ketika bertemu saudara-mara atau rakan lama. Namun bagi pasangan yang sedang berhadapan dengan masalah subfertiliti, soalan semudah ini boleh menyentuh luka yang tidak pernah kita lihat.

Di sebalik senyuman mereka, mungkin tersimpan kisah yang tidak diketahui sesiapa. Mungkin mereka baru menerima keputusan rawatan kesuburan yang tidak berjaya. Mungkin mereka pernah kehilangan kandungan yang begitu dinantikan. Atau mungkin sebahagian besar simpanan telah digunakan untuk rawatan tetapi impian mendukung anak sendiri masih belum menjadi kenyataan.

Sebab itulah kita perlu lebih berhati-hati ketika berbicara tentang zuriat.

Apabila zuriat menjadi ukuran kehidupan

Dalam masyarakat kita, anak sering dikaitkan dengan rezeki dan kebahagiaan rumah tangga. Tidak dinafikan, kehadiran zuriat merupakan anugerah yang besar. Namun masalah timbul apabila kehadiran anak dijadikan ukuran sama ada sesebuah perkahwinan itu bahagia, sempurna atau diberkati.

Hakikatnya, makna rezeki jauh lebih luas. Kesihatan, pasangan yang penyayang, keluarga yang harmoni, pekerjaan, ilmu, ketenangan jiwa, masa dan peluang berbuat kebaikan juga merupakan rezeki yang tidak ternilai. Anak ialah salah satu bentuk rezeki, tetapi bukan satu-satunya ukuran nilai sebuah kehidupan.

Dalam pengalaman penyelidikan saya bersama pasangan subfertiliti, cabaran yang mereka lalui bukan sekadar kesukaran mendapatkan zuriat. Mereka turut berhadapan tekanan emosi yang berulang, ketidakpastian, rasa bersalah, stigma masyarakat dan kebimbangan dinilai sebagai pasangan yang “tidak lengkap”.

Ada isteri yang mula mempersoalkan dirinya sebagai seorang wanita. Ada suami yang memilih untuk berdiam diri kerana bimbang dianggap gagal menjadi seorang ayah. Tidak semua perasaan ini diluahkan. Ramai memilih memendamnya demi menjaga privasi dan maruah keluarga.

Subfertiliti bukan salah sesiapa

Antara perkara terpenting yang perlu difahami ialah masalah mendapatkan zuriat tidak sepatutnya menjadi medan mencari siapa yang bersalah.

Pasangan yang mampu melalui perjalanan ini dengan lebih baik bukan semestinya mereka yang akhirnya memperoleh anak. Sebaliknya, mereka ialah pasangan yang belajar melihat subfertiliti sebagai cabaran bersama.

Mereka tidak bertanya, “Siapa yang bermasalah?” Sebaliknya, mereka bertanya, “Bagaimana kita akan menghadapinya bersama?”

Mereka saling menguatkan apabila keputusan rawatan tidak seperti diharapkan. Mereka belajar melihat suami atau isteri sebagai teman seperjalanan, bukan sekadar bakal ibu atau bapa kepada anak yang diimpikan.

Kekuatan sesebuah perkahwinan bukan hanya diuji ketika kehidupan berjalan seperti dirancang, tetapi juga ketika impian tidak menjadi kenyataan. Pasangan yang mengekalkan keharmonian ialah mereka yang melihat masalah sebagai cabaran bersama dan bukannya kesalahan salah seorang pasangan.

Masyarakat juga sebahagian daripada perjalanan mereka

Keluarga, rakan dan masyarakat mempunyai peranan yang besar.

Kadangkala kita bertanya kerana mengambil berat. Namun niat yang baik tidak semestinya menghasilkan kesan yang baik.

“Bila nak ada anak?” “Dah lama kahwin, masih belum ada?” “Tak cuba rawatan?” “Siapa yang bermasalah?”

Bagi kita, pertanyaan itu mungkin berakhir selepas beberapa saat. Bagi mereka yang mendengarnya, kesannya mungkin kekal jauh lebih lama. Kita tidak perlu mengetahui setiap perkara yang berlaku dalam rumah tangga seseorang untuk menunjukkan bahawa kita mengambil berat.

Kadangkala ucapan mudah seperti, “Semoga dipermudahkan segala urusan,” sudah memadai. Ia memberikan ruang kepada pasangan untuk berkongsi sekiranya mereka mahu, tanpa memaksa mereka membuka sesuatu yang sangat peribadi.

Itulah empati. Empati bukan bermaksud kita mempunyai jawapan kepada semua masalah. Ia bermaksud kita menghormati perjalanan hidup seseorang walaupun kita sendiri tidak pernah melaluinya.

Kebahagiaan mempunyai pelbagai wajah

Sudah tiba masanya kita berhenti mengukur kebahagiaan sebuah keluarga hanya berdasarkan bilangan anak. Ada keluarga yang mempunyai ramai anak tetapi melalui cabaran kehidupan yang lain. Ada pula pasangan yang belum mempunyai zuriat tetapi membina rumah tangga yang dipenuhi kasih sayang, hormat dan ketenangan.

Kebahagiaan mempunyai pelbagai wajah. Pasangan tanpa anak bukanlah pasangan yang kurang sempurna. Mereka hanyalah dua insan yang melalui perjalanan kehidupan yang berbeza.

Ada yang menerima rezeki dalam bentuk zuriat. Ada yang menemukan kekuatan melalui kesabaran. Ada yang dikurniakan pasangan yang tetap menggenggam tangan ketika rawatan demi rawatan tidak memberikan hasil seperti diharapkan. Dan ada yang mencurahkan kasih sayang kepada anak saudara, keluarga, masyarakat atau insan lain di sekeliling mereka.

Akhirnya, nilai sesebuah perkahwinan tidak seharusnya ditentukan oleh berapa ramai anak yang dimiliki. Nilainya turut terletak pada bagaimana dua insan terus memilih untuk bersama, saling menghormati dan saling menguatkan ketika kehidupan tidak berjalan seperti yang pernah mereka rancangkan.

Jadi, apabila bertemu pasangan yang masih belum mempunyai anak, mungkin kita tidak perlu lagi bertanya, “Bila nak ada anak?” Kadangkala, doa yang baik dan ruang untuk mereka menjalani kehidupan dengan tenang adalah jauh lebih bermakna.