Westlife beri persembahan istimewa, janji akan kembali ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2024 – Lebih 5,000 penonton membanjiri Arena of Star, Resorts World Genting di Genting Highlands, Pahang bagi menyaksikan konsert Westlife pada 6 Jun lalu.

Kumpulan pop popular dari Ireland itu memukau peminat dengan menampilkan persembahan bertenaga untuk menjayakan konsert Westlife The Hits Tour 2024 anjuran MMIC Entertainment dengan kerjasama JS Concert.

Mendendangkan 20 lagu popular mereka, Westlife membuka tirai persembahan dengan lagu berjudul World of Our Own.

Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu turut mengimbau memori sewaktu kecil mereka apabila lagu nostalgia kegilaan ramai dinyanyikan seperti Nothings Gonna Change My Love For You, Flying Without Wings, Starlight, We Are The Champions, Uptown Girl, My Love, Beautiful In White, What Makes A Man dan More Than Words.

Persembahan itu mengingatkan kembali peminat dengan kehadiran Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily dan Shane Filan ketika menggamatkan Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur sekitar setahun lalu.

Namun, ada kelainan sedikit dalam persembahan mereka kali ini kerana Shane, Kian dan Nicky hanya beraksi bertiga tanpa kehadiran rakan seperjuangan mereka, Mark.

Bagi peminat yang mungkin tidak tahu, Mark tidak dapat beraksi pada konsert jelajah kali ini berikutan masalah kesihatan yang dialaminya.

Sebelum ini, penyanyi berusia 45 tahun itu pernah mengeluarkan satu kenyataan bahawa dia terpaksa berehat sebentar daripada sebarang aktiviti seni bersama Westlife berikutan perlu menjalani beberapa pembedahan.

Persembahan kali ini akan kekal dalam ingatan peminat apabila Nicky cuba berbahasa Melayu.

“Angkat tangan… Turun,” kata Nicky sewaktu berada di atas pentas.

Bagi memberi respons kepada artis kesayangan mereka, peminat turut mengangkat tangan sambil menyalakan lampu kamera masing-masing sehingga seluruh kawasan konsert dipenuhi cahaya.

“Sebagaimana yang ramai tahu, Mark telah menjalani beberapa pembedahan major dan tentunya memeerlukan masa yang lama untuk pulih sebelum dia kembali beraksi bersama Westlife.

“Dia ada nyatakan kekesalannya dan memohon maaf kerana tidak dapat bersama-sama menjayakan konsert dan bertemu peminat.

“Bagaimanapun, Mark sampaikan salam sayang buat anda semua dan berjanji, selepas pulih,dia akan kembali melengkapkan keempat-empat kami sebagai satu kumpulan,” Nicky ketika berada di atas pentas.

Kata-kata Nicky itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton dan peminat yang secara tidak langsung, menyokong dan memberi semangat buat Mark meskipun cuma dari jauh.

Malah, siapa sangka, Malaysia juga menjadi penanda bahawa mereka telah berupaya melangsaikan 119 konsert dalam tempoh dua tahun ini.

Berkongsi mengenai perkara itu, Shane sempat meluahkan rasa bangga kerana sepanjang tempoh tersebut, mereka berjaya meraih pelbagai pengalaman menarik di semua negara yang dikunjungi.

Sebelum singgah di Genting Highlands, mereka terlebih dahulu menghiburkan peminat di Beijing, Shenzhen, Shanghai, China, disusuli Korea, Vietnam dan kini menuju Indonesia serta Singapura bagi melengkapkan jelajah di Asia Tenggara.

Ini bukanlah kali pertama kumpulan popular itu datang ke Malaysia memandangkan mereka juga menghiburkan peminat di Malaysia pada 1999, 2019 selain menggegarkan pentas Kuala Lumpur pada tahun lepas.

Westlife sebelum ini menerima pelbagai anugerah termasuk World Music Award, Brit Awards, MTV Awards dan menjulang empat kali dipilih menjulang trofi Record of the Year Awards bagi 1999, 2000, 2003 dan 2005.