Mungkinkah kulit udang membantu menyelesaikan masalah plastik?

Kajian Universiti Malaya menunjukkan kulit udang boleh diproses menjadi kitosan dan digabungkan dengan kanji untuk menghasilkan bioplastik yang boleh terurai dalam tanah.

Feature Image (3)

KULIT udang berpotensi menghasilkan bioplastik yang boleh terurai secara semula jadi.

SELEPAS menikmati hidangan udang, kita mungkin tidak berfikir panjang tentang kulit yang ditinggalkan. Ia dikumpulkan bersama sisa makanan lain sebelum berakhir di dalam tong sampah. Bagi kebanyakan kita, di situlah nilai kulit udang berakhir.

Namun bagi penyelidik, apa yang dianggap sebagai sisa mungkin sebenarnya masih mempunyai kegunaan.

Di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya, satu kajian telah meneroka potensi kulit udang untuk menghasilkan bioplastik yang boleh terurai secara semula jadi. Kajian ini bermula dengan satu bahan yang terdapat pada kulit udang, iaitu kitin, yang boleh diproses menjadi kitosan.

Kitosan merupakan sejenis biopolimer semula jadi yang mempunyai pelbagai ciri menarik. Selain boleh terbiodegradasi, bahan ini juga bersifat biokompatibel dan tidak toksik, menjadikannya sesuai diteroka untuk pelbagai kegunaan termasuk pembungkusan makanan, pertanian, bioperubatan dan kejuruteraan alam sekitar.

Potensi ini menjadi lebih menarik apabila dilihat dalam konteks masalah sisa yang kita hadapi hari ini. Malaysia menghasilkan sejumlah besar sisa makanan dan plastik setiap tahun. Industri makanan laut pula turut menghasilkan sisa seperti kulit udang yang kebanyakannya tidak lagi mempunyai kegunaan selepas isi udang diproses atau dimakan.

Bagaimana jika sebahagian daripada sisa ini boleh diberikan kehidupan kedua?

Dalam kajian kami, kulit udang diproses melalui beberapa peringkat rawatan kimia untuk mengekstrak kitosan. Kitosan yang terhasil kemudiannya digabungkan dengan kanji sebelum dibentuk menjadi lapisan bioplastik nipis menggunakan teknik yang dikenali sebagai solution casting.

Namun, menghasilkan bahan yang menyerupai plastik hanyalah sebahagian daripada persoalannya. Jika bahan tersebut mahu dilihat sebagai pilihan yang lebih mesra alam, satu lagi persoalan penting perlu dijawab: apakah yang berlaku selepas ia dibuang?

SISA kulit udang boleh diproses menjadi kitosan dan seterusnya digunakan untuk menghasilkan filem komposit kitosan-kanji yang mampu mengalami degradasi dalam keadaan tanah.

Untuk menilai kebolehuraian bahan tersebut, filem bioplastik yang dihasilkan ditanam di dalam tanah dan diperhatikan selama empat minggu.

Selepas tiga minggu, perubahan fizikal mula dapat dilihat. Saiz filem semakin berkurangan, warnanya berubah dan teksturnya mula mengalami kemerosotan. Menjelang akhir minggu keempat, proses degradasi yang ketara telah berlaku.

Hasil ini menunjukkan bahawa sisa kulit udang boleh diproses menjadi kitosan dan seterusnya digunakan untuk menghasilkan filem komposit kitosan-kanji yang mampu mengalami degradasi dalam keadaan tanah.

Di sinilah kajian ini menjadi lebih daripada sekadar usaha menghasilkan satu lagi jenis bioplastik. Ia memperlihatkan bagaimana dua masalah alam sekitar yang biasanya dibincangkan secara berasingan boleh cuba ditangani dalam satu rantaian yang sama.

Sisa daripada satu aktiviti boleh menjadi bahan mentah kepada aktiviti yang lain. Inilah antara prinsip asas ekonomi kitaran, iaitu mengurangkan kebergantungan kepada model tradisional yang berakhir dengan sesuatu produk dibuang selepas digunakan.

Sudah tentu, perjalanan daripada eksperimen di makmal kepada produk yang boleh digunakan secara meluas masih panjang. Sesuatu bahan yang mahu menggantikan plastik konvensional perlu dinilai bukan sahaja dari segi kebolehuraian, tetapi juga kekuatan, ketahanan, keselamatan, kos pengeluaran serta keupayaan untuk dihasilkan pada skala yang besar.

Justeru, kajian ini belum bermaksud bahawa kulit udang akan menggantikan beg plastik atau pembungkusan yang kita gunakan dalam masa terdekat. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa terdapat potensi pada bahan yang selama ini mungkin terlalu mudah kita anggap sebagai sampah.

Dalam usaha menangani masalah sisa, kita sering bertanya bagaimana mahu mengurangkan apa yang kita buang atau ke mana sisa itu harus dihantar. Ekonomi kitaran mengajak kita bertanya satu soalan yang sedikit berbeza: adakah sesuatu yang kita buang itu benar-benar sudah sampai ke penghujung kegunaannya?

Bagi kulit udang, jawapannya mungkin belum.