Teman lelaki suspek bunuh Nur Farah Kartini

KUALA LUMPUR, 16 Julai 2024 – Penjawat awam yang ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah adalah teman lelakinya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek yang berusia 26 tahun itu merupakan seorang penjawat awam.

“Berpandukan siasatan terhadap suspek telah membawa kepada penemuan mayat mangsa di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.

“Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan kami,” katanya.

Hussein juga masih belum mengulas tentang dakwaan bahawa suspek berkenaan merupakan anggota polis.

Terdahulu, suspek telah dibawa ke Mahkamah Kuala Kubu Bharu pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman selama seminggu.

Siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kenyataan malam tadi, Hussein mengesahkan penemuan mayat mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak yang dilaporkan hilang sejak 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang selepas menghantar kereta kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak. – MalaysiaGazette