Apabila usia menjadi tembok pemisah generasi
Ageisme mencetuskan jurang generasi melalui stereotaip usia. Masyarakat perlu saling menghormati, memahami perbezaan dan menilai individu berdasarkan kemampuan.

“GEN Z sekarang manja, cepat koyak, tidak tahan tekanan!” “Orang tua pula kolot, rasa diri lebih baik dan susah menerima perubahan!”
Ungkapan sebegini mungkin dianggap gurauan atau perbezaan pandangan biasa. Namun, apabila sesuatu kelompok terus dinilai berdasarkan usia, kita perlu bertanya adakah masyarakat sedang membina hubungan antara generasi atau mewujudkan tembok pemisah? Fenomena ini dikenali sebagai ageisme (ageism).
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ageisme merangkumi stereotaip, prasangka dan diskriminasi terhadap seseorang berdasarkan umur. Ia boleh berlaku pada peringkat institusi melalui dasar atau amalan yang mengehadkan peluang, pada peringkat interpersonal melalui penghinaan dan layanan tidak adil, serta terhadap diri sendiri apabila seseorang menerima tanggapan negatif tentang usianya.
Ageisme sering dikaitkan dengan warga emas yang dianggap tidak produktif, sukar menguasai teknologi atau menjadi tanggungan masyarakat. Namun, golongan muda juga mengalaminya apabila dilabel tidak matang, manja atau belum layak memikul tanggungjawab.
Dalam dunia pekerjaan, misalnya, pekerja muda mungkin diketepikan daripada peluang kepimpinan kerana dianggap kurang pengalaman, manakala pekerja lebih berusia pula dianggap tidak relevan hanya kerana faktor umur. Keadaan ini menunjukkan bahawa usia bukan ukuran mutlak kemampuan, kebijaksanaan dan sumbangan seseorang. Penilaian sewajarnya dibuat berdasarkan keupayaan dan kompetensi individu, bukan stereotaip kelompok umur.
Jurang generasi dan budaya label-melabel
Setiap generasi membesar dalam persekitaran sosial, ekonomi, budaya dan teknologi yang berbeza. Generasi terdahulu mungkin lebih mengutamakan kestabilan pekerjaan dan kepatuhan kepada hierarki, manakala sebahagian generasi muda menekankan fleksibiliti, keseimbangan kehidupan dan kebebasan bersuara. Perbezaan ini mencerminkan perubahan zaman, bukannya bukti bahawa satu generasi lebih baik daripada generasi lain. Masalah timbul apabila perbezaan disertai prasangka.
Golongan lebih berusia mungkin menganggap anak muda tidak menghargai pengorbanan, sementara golongan muda melihat generasi terdahulu sebagai terlalu mengongkong. Label seperti “Gen Z manja”, “milenial mengejar keselesaan” atau “orang tua kolot” mengukuhkan tanggapan umum tanpa memahami keunikan individu.
Dari sudut psikologi sosial, pengkategorian sosial membantu manusia memahami persekitaran, tetapi boleh mencetuskan stereotaip apabila kesimpulan dibuat terhadap seluruh kelompok. Tidak semua perbezaan pendapat antara generasi ialah ageisme. Namun, apabila seseorang dihina, dilayan tidak adil atau dinafikan peluang semata-mata kerana usia, perbezaan itu telah menjadi diskriminasi.
Martabat insan melangkaui usia
Dalam Islam, usia bukan ukuran mutlak kemuliaan, kebijaksanaan atau kemampuan seseorang. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 70 menegaskan bahawa manusia telah dimuliakan. Prinsip ini bermakna seseorang tidak boleh direndahkan atau dinafikan peluang hanya kerana tergolong dalam kelompok usia tertentu.
Surah al-Hujurat, ayat 11 melarang perbuatan memperolok-olokkan orang lain, manakala ayat 13 mengingatkan manusia bahawa kepelbagaian diciptakan supaya mereka saling mengenali. Prinsip ta‘aruf menuntut masyarakat memahami perbezaan pengalaman dan pemikiran, bukannya menjadikannya asas untuk berprasangka.
Rasulullah SAW turut menegaskan kepentingan mengasihi golongan muda dan menghormati golongan tua (Riwayat al-Tirmizi, no. 1919). Islam juga tidak menjadikan penghormatan berdasarkan usia sebagai alasan untuk mengekalkan dominasi sesuatu generasi. Menghormati orang lebih tua tidak bermaksud pandangan mereka tidak boleh dinilai secara kritis, sebagaimana usia muda bukan alasan untuk menafikan potensi seseorang.
Sirah dan sejarah Islam turut memperlihatkan bahawa usia muda bukan penghalang untuk memikul tanggungjawab besar. Rasulullah SAW melantik Usamah bin Zaid yang masih muda sebagai panglima angkatan tentera ke Syam, manakala Saidina Abu Bakar al-Siddiq meneruskan misi tersebut selepas kewafatan Baginda.
Begitu juga Sultan Muhammad al-Fatih yang menaiki takhta kerajaan Uthmaniyyah pada usia sekitar 12 tahun dan menakluki Constantinople ketika berusia 21 tahun. Kedua-dua kisah ini menunjukkan bahawa kepimpinan tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira ilmu, persediaan, keupayaan dan kompetensi seseorang individu.
Membina masyarakat mesra generasi
Menangani ageisme memerlukan perubahan dalam semua keadaan termasuk keluarga, tempat kerja, institusi pendidikan dan masyarakat. Budaya melabel perlu digantikan dengan budaya saling memahami, manakala peluang dan tanggungjawab hendaklah diberikan berdasarkan kemampuan, bukan tanggapan umum terhadap usia semata-mata. Ruang komunikasi antara generasi juga perlu diperluas agar pengalaman golongan lebih berusia dan idea golongan muda dapat dimanfaatkan bersama.
Salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah mentor silang generasi (cross-generational mentoring), iaitu pembelajaran dua hala antara golongan muda dengan golongan lebih berusia. Golongan senior berkongsi pengalaman dan kebijaksanaan, manakala golongan muda menyumbang pengetahuan teknologi, kreativiti serta perspektif baharu. Pendekatan ini bukan sahaja berpotensi merapatkan jurang generasi, malah menyemai perasaan saling menghargai.
WHO turut mencadangkan pendidikan, pengukuhan dasar dan undang-undang serta intervensi antara generasi sebagai strategi menangani ageisme. Hakikatnya, masyarakat yang matang bukanlah masyarakat yang mempunyai generasi dengan pemikiran seragam, tetapi masyarakat yang mampu mengurus perbezaan dengan hikmah dan rasa hormat. Pengalaman generasi terdahulu boleh menjadi panduan, manakala idea generasi muda membuka ruang pembaharuan.
Sudah tiba masanya masyarakat berhenti melabel, mencari kekurangan dan memisahkan generasi berdasarkan usia, sebaliknya membina hubungan yang membolehkan setiap generasi saling belajar, melengkapi dan menyumbang. Usia mungkin membezakan pengalaman, tetapi tidak seharusnya menjadi alasan untuk membezakan martabat manusia. Inilah keseimbangan yang diajarkan Islam: yang muda dikasihi, yang tua dihormati. Kerana masyarakat yang harmoni bukan dibina dengan meninggikan satu generasi dan merendahkan generasi yang lain.

