Daripada “Sheikh Google” kepada “Sheikh AI”: Cabaran autoriti keagamaan dalam era digital
Adakah keupayaan menjana teks yang canggih ini berupaya mengangkat mesin sebagai autoriti agama?

PADA zaman dahulu, masyarakat mendapatkan ilmu agama melalui rantaian sanad yang jelas daripada guru, institusi pengajian, kitab-kitab muktabar dan barisan ulama yang diiktiraf keilmuannya. Kemunculan internet kemudiannya merombak tradisi ini apabila carian siber menjadi rujukan pantas lalu melahirkan fenomena “Sheikh Google”.
Kini, dengan ledakan kecerdasan buatan generatif, masyarakat berhadapan dengan satu cabaran yang jauh lebih rumit. Ini kerana teknologi kecerdasan buatan pada masa ini mampu menghasilkan jawapan yang sangat tersusun, menggunakan laras bahasa ilmiah serta menyertakan rujukan yang kelihatan sangat meyakinkan.
Namun, persoalan yang perlu ditanya adalah adakah keupayaan menjana teks yang canggih ini berupaya mengangkat mesin sebagai autoriti agama.
Maklumat Tidak Sama Dengan Autoriti Ilmu
Seseorang pengguna AI kini mampu memperoleh rantaian teks hadis, khilaf atau perbezaan pandangan ulama dan resolusi fatwa antarabangsa hanya dalam hitungan beberapa saat. Namun, kemampuan mengumpul dan mengeluarkan semula maklumat tidak bermaksud seseorang itu mampu menilai, mentarjih dan mengaplikasikannya ke dalam realiti.
Teguran tentang hal ini sebenarnya telah lama disuarakan oleh barisan ulama salaf. Imam Malik bin Anas pernah menegaskan hakikat ini dengan menyatakan bahawa ilmu itu bukanlah diukur dengan banyaknya riwayat dan maklumat, akan tetapi ilmu itu adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati manusia.
Proses istinbat atau mengeluarkan hukum menuntut penguasaan mendalam dalam sains al-Quran dan Sunnah, bahasa Arab, kaedah Usul Fiqh, Kaedah Fiqh dan Maqasid al-Syariah. Hakikatnya lambakan data yang diproses oleh AI hanyalah sekadar bahan mentah, manakala proses menterjemah bahan mentah tersebut menjadi pedoman hukum sentiasa menuntut kemahiran manusiawi seorang faqih.
AI Sebagai Mekanisme, Bukan Pengganti Fuqaha
Dari sudut falsafah sains komputer, kecerdasan buatan beroperasi semata-mata berasaskan sintaksis iaitu struktur bahasa dan corak logik matematik, bukannya berasaskan semantik atau pemahaman makna hakiki. Mesin sekadar meramalkan perkataan seterusnya berdasarkan kiraan kebarangkalian tanpa mempunyai sebarang kesedaran atau roh.
Keadaan ini amat berbeza dengan kelayakan seorang mufti dalam Islam yang dinyatakan oleh oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Adab al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti, syarat untuk berfatwa melibatkan kelayakan rohani yang tinggi iaitu sifat takwa, keadilan moral dan kecerdasan mata hati.
Mesin tidak mempunyai hati untuk memohon hidayah atau petunjuk daripada Allah SWT sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan fatwa, malah ia sangat terdedah kepada bias algoritma (maklumat) yang disuapkan oleh pengatur caranya.
Ketiadaan Basirah dalam Kecerdasan Buatan
Kelemahan paling mendasar pada AI bukanlah terletak pada tahap kelajuan capaian datanya, tetapi pada ketidakmampuannya untuk menjiwai roh dan tujuan di sebalik teks agama yang diproses. Ia beroperasi secara literal, mampu mengenali teks berunsur suruhan dan larangan, tetapi buta secara mutlak terhadap hikmah ketuhanan di sebalik teks tersebut.
Pelopor utama ilmu Maqasid al-Syariah iaitu Imam al-Haramayn al-Juwayni di dalam kitabnya Al-Burhan fi Usul al-Fiqh telah meletakkan syarat yang amat ketat dalam memahami nas. Beliau menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mampu menanggapi atau memahami dengan halus kedudukan maqasid di sebalik suruhan dan larangan, maka dia sebenarnya tidak mempunyai basirah terhadap asas pembinaan syariah. Sifat basirah inilah yang memisahkan antara kehebatan seorang mujtahid manusia dengan sebuah mesin canggih.
Gagasan ini kemudiannya disempurnakan lagi oleh murid beliau, Imam al-Ghazali di dalam kitab Al-Mustasfa, yang menyusun kerangka Maqasid al-Syariah kepada lima teras utama iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Namun, sekadar menghafal dan mengetahui teori pemeliharaan lima asas ini tidak memadai. Cabaran sebenar yang sering mengelirukan mesin dan kelompok rasionalis adalah apabila berlakunya pertembungan yang rumit antara maslahah (kebaikan) dan mafsadah (kerosakan). Bagi mengemudi pertembungan yang kompleks ini, tokoh besar Mazhab Syafie iaitu al-‘Izz Ibn ‘Abd al-Salam, telah meletakkan kerangka pentarjihan yang sangat halus di dalam kitab agungnya Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam.
Beliau menggariskan bahawa apabila maslahah dan mafsadah saling bertembung, proses menilainya memerlukan pertimbangan yang amat teliti mengenai tahap keutamaan. Sebagai contoh, seorang ulama perlu tahu bilakah masa yang sesuai untuk menanggung kerosakan yang kecil demi menolak kerosakan yang lebih besar, atau mengorbankan kepentingan khusus individu demi memelihara kepentingan umum masyarakat di Malaysia. Menimbang tara tahap bahaya atau kadar kemaslahatan ini mustahil dilakukan oleh AI kerana mesin tidak mempunyai akal budi, pengalaman sosiologi dan kepekaan nurani kehidupan manusiawi.
Cabaran Metodologi: Daripada Teks Kepada Realiti
Isu berkaitan hukum semasa bukan hanya berkisar pada persoalan apa yang dikatakan oleh ulama terdahulu, tetapi bagaimana sesuatu pandangan tersebut boleh diaplikasikan secara tepat pada realiti semasa. Di sinilah tradisi Usul Fiqh meletakkan metodologi ketat yang gagal ditiru oleh AI. Proses ini bermula dengan langkah takhrij al-manat, justeru seorang mujtahid perlu mengekstrak sebab atau illah hukum secara langsung daripada nas syarak.
Selepas itu, ia mesti diikuti dengan proses tahqiq al-manat, yang memerlukan penelitian mendalam bagi mengenal pasti sama ada illah tersebut benar-benar wujud dalam realiti dan uruf semasa masyarakat. Dalam hal ini, Imam al-Shatibi dengan tegas menyatakan bahawa keperluan tahqiq al-manat tidak akan sesekali terputus sehingga hari kiamat memandangkan realiti kehidupan manusia sentiasa berubah.
Metodologi ini kemudiannya disempurnakan dengan langkah i‘tibar al-ma’alat, iaitu ahli fatwa wajib mempertimbangkan kesan akhir sesuatu ketetapan hukum sama ada ia kelak akan membawa kepada kebaikan masyarakat atau membuka pintu kerosakan yang baharu.
Contoh Praktikal Aplikasi Pentarjihan: Isu Penasaban Anak Luar Nikah
Bagi memahami persoalan ini, kita boleh meneliti satu kes sosiologi kritikal di negara ini iaitu hukum membinkan anak luar nikah kepada bapa biologinya. Jika persoalan ini dikemukakan kepada AI, perisian tersebut hanya akan membentangkan perselisihan pandangan secara objektif tanpa nilai tarjih. Ia akan memaparkan pandangan Jumhur Ulama yang mengharamkan penasaban ini atas prinsip memelihara keturunan serta sebagai isyarat hukuman yang keras ke atas jenayah zina.
Pada masa yang sama, AI juga akan menyajikan pandangan Ibn Taymiyyah yang mengharuskan penasaban jika si bapa biologi benar-benar bertaubat, dengan bersandarkan kepada kepentingan khusus iaitu bagi memelihara aib anak yang tidak bersalah.
Bagi AI , tugasnya telah pun selesai apabila ia menyajikan perbezaan pandangan ini. Pengguna awam yang membaca hasil carian ini mungkin akan segera menyokong pandangan Ibn Taymiyyah kerana ia selari dengan sentimen logik simpati dan hak asasi moden bahawa anak yang tidak berdosa tidak selayaknya dihina.
Namun begitu, bagi seorang faqih yang dipandu oleh basirah, tugasan beliau baru sahaja bermula. Mengambil kira statistik kelahiran anak tidak sah taraf yang mencatatkan angka yang amat luar biasa setiap hari di negara ini, maka tindakan mengangkat pandangan Ibn Taymiyyah yang merujuk kepada kes terpencil lalu, menjadikannya sebagai undang-undang awam secara pukul rata akan mengundang malapetaka sosial yang amat besar.
Realitinya ketika pengekalan larangan keras penasaban, kadar perlakuan zina masih berada pada tahap yang menggerunkan. Jika undang-undang ini dilonggarkan semata-mata atas dasar simpati terhadap anak, ia akan membuka ruang yang luas kepada normalisasi maksiat. Pasangan yang bersekedudukan mungkin akan meremehkan dosa zina dengan anggapan yang mudah bahawa mereka kelak boleh sekadar bertaubat untuk memastikan anak mereka sah bernasab.
Oleh itu, keengganan pihak Jumhur Ulama untuk membenarkan penasaban ini sebenarnya merupakan manifestasi langsung daripada aplikasi kaedah menutup pintu kerosakan atau sadd al-dhara’i’ demi kelangsungan pemeliharaan keturunan dan agama seperti yang dianjurkan oleh Imam al-Ghazali. Jika prinsip logik tentang simpati kepada orang yang tidak bersalah diguna pakai secara membuta tuli, keseluruhan sistem keadilan jenayah juga akan turut runtuh.
Sebagai analogi, seorang pembunuh bersiri tidak akan boleh dikenakan hukuman sama sekali atas alasan hukuman tersebut akan merampas hak kebahagiaan anak-anak penjenayah tersebut yang kelak akan dipandang hina oleh masyarakat. Persoalannya, adakah logik simpati ini boleh dibiarkan sehingga menafikan hukuman wajib ke atas penjenayah.
Di sinilah terletaknya kekuatan paksi pemikiran seorang faqih yang merenung jauh ke hadapan berbanding simpati buta sebuah mesin komputer. Malah, jika Ibn Taymiyyah sendiri hidup pada zaman siber yang menyaksikan kelumpuhan akhlak yang parah ini, beliau sendiri akan menarik kembali pandangannya dan akan menyokong pandangan jumhur. Kemampuan istimewa untuk membuat unjuran masa depan dan melakukan tarjih silang zaman sebegini adalah sesuatu yang mustahil untuk diprogramkan ke dalam mana-mana sistem AI.
Krisis Autoriti dan Etika Pengambilan Ilmu
Kehadiran platform media sosial hari ini memburukkan lagi krisis epistemologi apabila kuasa algoritma diangkat sebagai metrik untuk mengukur tahap autoriti seseorang penceramah. Masyarakat mula gagal membezakan antara pendakwah biasa yang bijak berkata-kata dengan seorang ahli fatwa yang berkelayakan. Apabila pengguna awam berasa selesa mendapatkan jawapan agama yang serba pantas daripada enjin AI, mereka mula merasakan bahawa diri mereka telah melakukan kajian ilmu yang mendalam, lalu dengan angkuh bertindak memutuskan rantaian sanad perguruan.
Perkara ini bertepatan dengan amaran agung daripada tokoh Tabi’in iaitu Imam Muhammad bin Sirin yang pernah berpesan bahawa ilmu ini adalah agama, maka setiap individu wajib meneliti dengan berhati-hati daripada siapakah mereka mengambil fahaman agama mereka. Perbuatan menjadikan algoritma buatan manusia sebagai rujukan mutlak tanpa melalui proses pengesahan daripada ahli ilmu yang diiktiraf adalah satu perbuatan yang secara terang-terangan menyalahi adab dan disiplin menuntut ilmu dalam tradisi Islam.
Kesimpulan
Kemunculan teknologi AI tidak wajar dilabel sebagai seteru kepada kelestarian keilmuan Islam, malah ia merupakan instrumen inovatif yang wajar dieksploitasi sepenuhnya bagi mempercepatkan kerja-kerja carian teks dan pemetaan khilafiah hukum. Walau bagaimanapun, secanggih mana pun teknologi tersebut beroperasi, ia sama sekali tidak layak dan tidak berhak merampas takhta metodologi istinbat dan roh basirah daripada dada para ulama.
Persoalan utama bukan lagi semata-mata demi pencarian jawapan, tetapi berpusat kepada siapakah sosok manusia yang memiliki kelayakan hakiki untuk memahami, menilai dan mengaplikasikan ketetapan jawapan tersebut ke dalam urat nadi realiti kehidupan semasa. Umat Islam masa kini perlu bertindak bijak mendepani arus cabaran ini.
Kepantasan teknologi diraikan sebaiknya, manakala kata putus hukum kekal dipandu utuh oleh barisan fuqaha yang bukan sahaja menguasai lautan warisan kitab turath, malah hidup menjiwai denyut nadi ummah sejagat. Wa Allah a’lam.

