Adakah bantuan kita benar-benar penuhi keperluan mereka?

Program pergigian untuk komuniti Orang Asli perlu melangkaui rawatan sekali-sekala dengan pendekatan mampan yang mengambil kira budaya, akses, pemakanan dan keperluan komuniti.

Feature Image (6)

Oleh DR. MOHD AMIRUL FAHMI CHE MOHD FADZILAH

SETIAP tahun, ada sahaja lawatan sukarelawan pergigian ke perkampungan Orang Asli dengan tujuan yang baik untuk membantu komuniti. Dengan membawa kerusi pergigian mudah alih, berus gigi dan ubat gigi berfluorida, kita menjalankan pemeriksaan pergigian, memberikan pendidikan kesihatan mulut serta menyediakan rawatan asas.

Kemudian, kita pulang dengan harapan bahawa usaha tersebut telah membawa perubahan. Namun, pengalaman kita bersama komuniti ini menimbulkan satu persoalan penting, adakah bantuan yang kita berikan benar-benar memenuhi keperluan komuniti Orang Asli?

Sepanjang aktiviti khidmat komuniti, kita sering melihat corak kesihatan mulut yang kelihatan berbeza daripada apa yang lazim ditemui dalam populasi urban. Pemerhatian ini mendorong kita untuk memikirkan bagaimana perubahan gaya hidup, termasuk perubahan corak pemakanan dan peningkatan akses kepada makanan diproses, mungkin mempengaruhi kesihatan mulut dalam kalangan komuniti Orang Asli.

Namun begitu, pemerhatian daripada program khidmat komuniti semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan bahawa perubahan tersebut merupakan punca peningkatan penyakit. Sebaliknya, ia seharusnya menjadi pencetus untuk kita meneliti faktor sosial, budaya dan persekitaran yang lebih luas yang membentuk kesihatan komuniti ini.

Masyarakat Orang Asli telah mendiami Semenanjung sejak turun-temurun dan mempunyai tradisi serta pengetahuan tersendiri berkaitan kesihatan dan kesejahteraan. Dalam kalangan masyarakat Semai, misalnya, pengamal perubatan tradisional yang dikenali sebagai Tok Halaq masih memainkan peranan dalam promosi kesihatan dan proses penyembuhan.

Sesetengah amalan tradisional mungkin melibatkan penggunaan daun, akar dan bahan organik lain dalam penjagaan kebersihan diri, termasuk kebersihan mulut.

Amalan mengunyah sirih pula merupakan budaya dan sosial dalam sesetengah komuniti. Potensi kaitannya dengan prakanser dan kanser mulut perlu diberi perhatian, tetapi promosi kesihatan yang berkesan memerlukan kita memahami mengapa amalan tersebut masih diteruskan, bukan sekadar memberitahu komuniti bahawa ia perlu dihentikan.

Malah, terdapat komuniti Orang Asli yang menyedari risiko amalan tersebut terhadap kesihatan mulut serta hubungan antara kebersihan mulut yang kurang baik dengan penyakit pergigian dan periodontal.

Satu lagi kebimbangan ialah peralihan daripada diet tradisional kepada makanan diproses yang semakin mudah diperoleh. Peralihan pemakanan yang serupa turut dilaporkan dalam kalangan populasi peribumi di beberapa bahagian dunia.

Namun, kesannya adalah kompleks dan tidak wajar dikaitkan dengan satu faktor semata-mata. Kesihatan mulut dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan sosioekonomi, akses kepada makanan, persekitaran, tingkah laku kesihatan dan akses kepada perkhidmatan pergigian.

Data yang ada menunjukkan bahawa beban penyakit kesihatan mulut dalam kalangan Orang Asli masih membimbangkan. Satu kajian pada tahun 2019 dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli berumur 11 hingga 12 tahun di Cameron Highlands melaporkan bahawa 61.6% mengalami karies gigi dan 96 peratus menunjukkan tanda-tanda gingivitis.

Menariknya, ramai daripada mereka melaporkan memberus gigi dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida. Jika sebahagian daripada mereka sudah mengamalkan rutin memberus gigi yang baik, mengapa beban penyakit masih tinggi? Ini menunjukkan bahawa pendidikan kebersihan mulut semata-mata mungkin tidak mencukupi untuk menangani masalah yang lebih kompleks.

Di sinilah kita perlu menilai semula bagaimana program khidmat pergigian kepada komuniti dilaksanakan. Program yang dijalankan secara sekali-sekala sememangnya mempunyai nilai, ia dapat mengenal pasti penyakit, melegakan kesakitan, menyediakan rawatan dan menghubungkan komuniti yang kurang mendapat akses dengan profesional kesihatan. Namun, intervensi yang bersifat episodik tanpa kesinambungan rawatan atau usaha membina keupayaan komuniti mungkin mempunyai impak jangka panjang yang terhad.

Komuniti Orang Asli masih berhadapan dengan halangan seperti jarak geografi, kekangan masa dan akses yang terhad kepada perkhidmatan pergigian. Apabila akses kepada penjagaan profesional tidak mudah, sesetengah individu mungkin memilih untuk merawat sendiri atau mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan tradisional.

Oleh itu, mungkin persoalan yang perlu kita tanyakan bukan sekadar: “Berapa banyak rawatan yang boleh kita berikan dalam lawatan seterusnya?” Tetapi “Apakah yang dapat terus kekal selepas kita pulang?”

Pendekatan yang lebih mampan boleh dimulakan dengan mengiktiraf pengetahuan dan sumber yang telah sedia ada dalam komuniti. Pengamal perubatan tradisional, Tok Batin, keluarga dan anggota komuniti yang dipercayai boleh dilibatkan sebagai rakan kerjasama dalam promosi kesihatan mulut.

Perkhidmatan pergigian bergerak pula boleh dirancang dengan lawatan susulan yang lebih berkala, manakala pendidikan pemakanan perlu mengambil kira amalan tradisional serta realiti akses kepada makanan yang dihadapi oleh komuniti.

Yang paling penting, sesuatu intervensi perlu dibangunkan bersama-sama dengan komuniti Orang Asli, bukan sekadar dibangunkan untuk mereka. Kita perlu bertanya tentang perkara yang mereka anggap penting, memahami halangan daripada perspektif mereka sendiri dan merancang program berdasarkan keutamaan serta realiti kehidupan mereka.

Akhirnya, matlamat kita bukan sekadar membawa lebih banyak perkhidmatan ke dalam komuniti Orang Asli, tetapi untuk membina bersama mereka suatu sistem kesihatan mulut yang lebih baik dan mampan, sistem yang meningkatkan akses kepada penjagaan berasaskan bukti, sambil menghormati pengetahuan budaya, keutamaan komuniti dan hak mereka untuk menentukan keperluan serta hala tuju sendiri.

Kerana kejayaan sesuatu program khidmat masyarakat mungkin bukan diukur daripada berapa ramai pesakit yang kita rawat pada hari tersebut, tetapi daripada apa yang masih mampu diteruskan oleh komuniti selepas kita tiada lagi di situ.

* Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.