Hari ini kita jaga mereka, esok siapa jaga kita?
Peningkatan jumlah warga emas di Malaysia menuntut keluarga, komuniti dan negara memperkukuh sokongan penjagaan, hubungan antara generasi serta kesejahteraan warga tua.

“MAK, maaf… minggu ini saya tak dapat balik. Kerja banyak.”
Ayat ini mungkin kedengaran biasa. Hampir setiap keluarga pernah melaluinya. Anak bukan tidak sayang, tetapi tuntutan kehidupan semakin besar. Kerja, rumah, hutang, anak-anak sendiri dan pelbagai komitmen menyebabkan masa untuk ibu bapa semakin mengecil.
Namun, di sebalik ayat “tak dapat balik” itu mungkin ada seorang ibu yang menunggu. Ada seorang ayah yang hanya mahu melihat wajah anaknya. Mereka mungkin tidak meminta wang, hadiah atau kemewahan. Kadangkala mereka cuma mahu ditemani makan, dibawa ke klinik atau mendengar suara anak bertanya, “Mak dah makan?” Persoalannya, apabila Malaysia semakin menua, siapa yang akan menjaga mereka?
Perubahan demografi Malaysia bukan lagi sesuatu yang jauh. Data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan jumlah penduduk berumur 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 4.2 juta orang atau 12.3 peratus daripada keseluruhan penduduk pada 2026.
Dalam kumpulan umur 65 tahun ke atas pula, terdapat kira-kira 2.9 juta orang. Ini bukan sekadar angka statistik. Di sebalik 4.2 juta itu ada ibu, ayah, datuk, nenek, jiran dan suatu hari nanti mungkin diri kita sendiri.
Malaysia juga mempunyai dasar yang mengiktiraf warga emas sebagai golongan yang perlu dihormati, dilindungi dan diberikan ruang untuk terus menyumbang. Dasar Warga Emas Negara menekankan aspek kemandirian, maruah, perlindungan, pembelajaran sepanjang hayat dan penglibatan antara generasi tetapi dasar sahaja tidak mencukupi. Persoalan sebenar ialah bagaimana masyarakat dan keluarga bersedia menghadapi perubahan ini.
Dahulu, sebuah rumah mungkin dihuni oleh ibu bapa, anak-anak dan cucu. Hari ini, semakin ramai anak bekerja jauh, tinggal di bandar berbeza atau membina keluarga sendiri. Maka muncul generasi yang sering disebut sebagai sandwich generation, mereka perlu menjaga anak yang masih membesar pada masa sama membantu ibu bapa yang semakin tua.
Keadaan ini memerlukan kita mengubah cara berfikir. Menjaga warga emas bukan semata-mata tugas seorang anak. Ia adalah tanggungjawab bersama antara keluarga, masyarakat, komuniti, institusi agama dan negara.
Apabila ibu bapa semakin tua, keperluan mereka sebenarnya sering menjadi lebih sederhana. Mereka mungkin tidak lagi memerlukan banyak perkara tetapi mereka memerlukan perhatian. Telefonlah mereka. Tanyakan kesihatan mereka. Dudukkan mereka di meja makan. Bawa mereka berjalan. Dengar cerita yang mungkin sudah kita dengar berkali-kali. Kadangkala kita terlalu sibuk mencari cara untuk “memberikan” sesuatu kepada ibu bapa sehingga terlupa bahawa perkara paling bernilai ialah kehadiran.
Al-Quran mengajar kita sebelum kita menjadi tua
Islam tidak melihat penjagaan ibu bapa sebagai sekadar tanggungjawab sosial. Ia adalah tuntutan agama. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’, ayat 23 agar manusia berbuat baik kepada ibu bapa, khususnya apabila mereka mencapai usia lanjut.
Allah melarang anak mengucapkan perkataan yang menyakiti mereka walaupun sekadar “uff” dan memerintahkan supaya mereka dilayan dengan kata-kata yang mulia. Kemudian dalam ayat berikutnya, Allah mengajar kita berdoa: “Wahai Tuhanku, rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku ketika kecil.”
Ironinya, ketika kita kecil, ibu bapa sanggup menghabiskan masa menjaga kita. Mereka berjaga malam ketika kita sakit, menghantar kita ke sekolah dan memenuhi keperluan kita tanpa banyak soal. Apabila mereka tua, tiba giliran kita pula. Persoalannya bukan lagi siapa yang patut menjaga siapa. Tetapi sejauh mana kita mahu membalas kasih sayang yang pernah diberikan.
Rasulullah SAW juga menekankan penghormatan kepada golongan yang lebih berusia. Dalam hadis riwayat al-Tirmizi, Baginda SAW bersabda bahawa bukan daripada kalangan Baginda mereka yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang lebih tua.
Pesanan ini sangat relevan dalam masyarakat moden. Kemajuan teknologi tidak sepatutnya menjadikan kita semakin jauh daripada orang tua. Sebaliknya, teknologi sepatutnya membantu kita mendekatkan hubungan. Satu panggilan video mungkin mengambil masa lima minit tetapi bagi ibu yang tinggal sendirian, lima minit itu mungkin menjadi perkara paling bermakna dalam harinya.
Dalam konteks psikologi, proses penuaan boleh membawa perubahan besar kepada identiti seseorang. Mereka mungkin bersara daripada pekerjaan yang selama puluhan tahun memberikan makna kepada kehidupan. Anak-anak pula mula meninggalkan rumah.
Rakan-rakan sebaya semakin berkurangan. Keupayaan fizikal turut berubah. Jika perubahan ini tidak disokong, seseorang boleh berasa kehilangan peranan dan tujuan hidup. Sebab itu penjagaan warga emas perlu bergerak daripada konsep “merawat penyakit” kepada “membina kehidupan yang bermakna.”
Dalam perspektif psikospiritual Islam, manusia bukan sekadar tubuh dan minda. Jiwa juga perlu dipelihara. Zikir, doa, membaca al-Quran, solat berjemaah, pengajian agama, hubungan dengan masjid dan sokongan komuniti boleh menjadi sumber kekuatan dalaman. Bagi sesetengah warga emas, berada di masjid bukan sekadar untuk beribadah. Ia menjadi ruang bertemu manusia, berkongsi cerita dan merasakan bahawa mereka masih sebahagian daripada masyarakat.
Dalam masa yang sama, kita tidak boleh melupakan anak-anak yang menjaga ibu bapa. Penjaga juga boleh mengalami tekanan, keletihan dan caregiver burden. Ada yang perlu bekerja pada siang hari, menjaga anak pada petang hari dan mengurus ibu bapa yang sakit pada waktu malam.
Sebab itu sistem penjagaan warga emas perlu melibatkan sokongan kepada penjaga. Keluarga tidak boleh dibiarkan bersendirian. Komuniti perlu membantu. Masjid perlu memainkan peranan. Sistem kesihatan perlu menyediakan sokongan. Kerajaan pula perlu terus memperkukuh dasar dan perkhidmatan mesra warga emas.
Bersedia untuk tua sebelum tua mengetuk pintu
Persoalan tentang penuaan sebenarnya bukan hanya tentang ibu dan ayah kita. Ia tentang kita. Hari ini kita mungkin masih kuat berjalan, bekerja dan memandu. Tetapi masa tidak pernah berhenti. Suatu hari nanti tangan kita mungkin menggigil.
Langkah kita mungkin perlahan. Anak-anak kita mungkin sibuk dengan kehidupan mereka sendiri. Ketika itu, apakah yang kita harapkan? Kita berharap masih ada seseorang yang bertanya, “Ayah dah makan?” Masih ada yang datang menjenguk. Masih ada yang memegang tangan kita. Masih ada masyarakat yang melihat kita sebagai manusia yang mempunyai maruah, bukan sekadar pesakit atau beban.
Maka persediaan menuju negara menua bukan hanya membina lebih banyak pusat jagaan atau hospital. Kita perlu membina budaya menghormati usia. Kita perlu mendidik anak-anak supaya menghormati ibu bapa. Kita perlu membina komuniti yang tidak membiarkan warga emas bersendirian. Kita perlu menyediakan sistem kesihatan yang melihat manusia secara holistik.
Paling penting, kita perlu mengembalikan nilai rahmah dalam hubungan antara generasi. Kerana akhirnya, persoalannya bukan sekadar: “Siapa akan menjaga warga emas Malaysia?” Persoalan yang lebih dekat dengan hati kita ialah:
“Apabila tiba giliran kita menjadi tua, adakah masih ada seseorang yang akan menjaga kita?”

