SMK Ismail Petra johan Pertandingan Akhir Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2024

KUALA LUMPUR, 21 Mei 2024 – Nik Nadzif Dhamir Nazhin Jazli dari SMK Ismail Petra muncul sebagai Johan Pertandingan Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2024, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM800, piala dan cenderamata barang tajaan.

Gelaran Naib Juara dianugerahkan kepada Alyaa Izzaty Rozis dari MRSM Arau dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM600, piala, sijil dan cenderamata barang tajaan manakala tempat ketiga dimenangi Faseeh Fardha Firdaus dari Sekolah Tun Fatimah dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM400, piala, sijil pencapaian dan cenderamata barang tajaan.

Tempat keempat pula dimenangi Nurain Najwa Zolkifly dari SM Sains Banting dan tempat kelima milik Balqiyatus Sholeha Imam Sopingi dari SMK Serdang.

Pemenang saguhati dari tempat keempat hingga kelapan masing-masing membawa pulang wang tunai RM150, sijil dan cenderamata barangan tajaan manakala saguhati tempat kesembilan hingga ke-15 membawa pulang wang tunai RM100, sijil dan cenderamata barangan tajaan.

Pertandingan Akhir Pidato Piala Tuanku Kurshiah 2024 (PPTK’24) berlangsung di Dewan Gemilang Kurshiah, Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM) pada 12 Mei 2024.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, UM iaitu Prof. Madya Dr. Roshidah Hassan.

Majlis perasmian penutup PPTK’24 turut dihadiri Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka, Huznah Sa’it; Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM merangkap Ketua Juri Pertandingan Akhir Pidato Piala Tuanku Kurshiah, Dr. Rohaidah Haron serta barisan felo Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah.

Pidato Piala Tuanku Kurshiah bermula sejarah penganjurannya pada tahun 2015 dan memasuki edisi ke-10 pada tahun ini.

Tujuan penganjuran PPTK’24 adalah untuk meningkatkan kemahiran berfikir dalam kalangan peserta yang terdiri dari pelajar sekolah menengah seluruh negara dalam lingkungan umur 15 hingga 17 tahun agar mampu mengutarakan idea yang bernas dengan tema “Mengutuhkan Nusa Bangsa Berpaksikan Bahasa Melayu”.

Memasuki edisi ke-10 penganjuran PPTK, program ini terus mendapat sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penaja utama PPTK’24.

Dalam ucapan Ketua Juri Pertandingan Akhir PPTK’24, pidato spontan Dr. Rohaidah menarik dan mencabar membuatkan barisan panel juri kagum dengan kebolehan peserta yang masih muda menghuraikan tajuk dengan
sebaik mungkin.

Pada Pertandingan Akhir PPTK’24, seramai 15 orang finalis telah berentap untuk merangkul gelaran juara.

Pihak Jawatankuasa Pertandingan turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung untuk memastikan kejayaan pertandingan ini berlangsung.

Pihak Jawatankuasa turut mengucapkan terima kasih kepada penaja-penaja iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Y.S.P Industries (M) Sdn. Bhd, Goodmorning Global Sdn. Bhd, BookDoc, Book Cafe dan New Era Enterprises Sdn. Bhd.