Surah al-Ghashiyah mengembalikan kompas kehidupan umat

Surah al-Ghashiyah bukan sekadar menceritakan gambaran Hari Kiamat, bahkan menjadi kompas kehidupan bagi manusia.

Feature Image (2)

HAMPIR setiap hari, media di Malaysia menyiarkan pelbagai berita yang mengundang rasa resah. Ada yang menjadi mangsa penipuan sehingga kehilangan simpanan, ada yang bergelut dengan kemurungan akibat tekanan kerja dan ada yang terjerumus dalam konflik rumah tangga, penceraian, rasuah serta pelbagai gejala sosial yang semakin membimbangkan.

Ironinya, segala kepincangan ini berlaku di tengah-tengah kemajuan teknologi dan ekonomi yang pesat. Kehebatan material ternyata belum tentu mampu menghadirkan kebahagiaan, malah ramai masih dihimpit keresahan, kekosongan jiwa dan kehilangan arah tujuan hidup.

Realiti inilah yang mengundang renungan terhadap mesej agung surah al-Ghashiyah. Surah yang ke-88 dalam al-Quran ini mengajak manusia berhenti sejenak daripada kesibukan dunia untuk menilai destinasi sebenar kehidupan. Perkataan al-Ghashiyah bermaksud peristiwa yang menyelubungi, iaitu Hari Kiamat yang pasti meliputi seluruh manusia dengan segala kedahsyatan dan hisabnya.

Menurut Ibn Kathir, pembukaan surah ini merupakan satu bentuk kejutan rohani yang membangkitkan hati manusia daripada kelalaian agar tidak hanyut mengejar kemewahan dan kejayaan dunia semata-mata, sebaliknya sentiasa mengingati bahawa setiap amalan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Surah ini bermula dengan gambaran dua kelompok manusia pada Hari Akhirat. Golongan pertama ialah mereka yang wajahnya tunduk hina, penat dan letih kerana menerima balasan azab. Allah berfirman bahawa mereka bekerja keras tetapi akhirnya dibakar dalam api yang sangat panas.

Menurut al-Tabari, ayat ini bukan sekadar menggambarkan keletihan fizikal, bahkan usaha yang tidak berasaskan iman dan keikhlasan. Inilah peringatan besar kepada masyarakat moden yang terlalu mengejar pencapaian material sehingga mengabaikan hubungan dengan Allah.

Seseorang mungkin berjaya membina empayar perniagaan, memiliki rumah mewah dan kedudukan tinggi tetapi jika semua usaha itu tidak membawa kepada keredaan Allah, maka segala kepenatan tersebut menjadi sia-sia di akhirat.

Sebaliknya, Allah menggambarkan golongan kedua dengan wajah yang berseri-seri kerana berpuas hati terhadap amal mereka. Mereka menikmati syurga yang penuh kenikmatan, bukan sekadar kerana kemewahan yang disediakan tetapi kerana memperoleh keredaan Allah.

Sayyid Qutb dalam Fi Zilal al-Quran menjelaskan bahawa nikmat rohani didahulukan sebelum nikmat fizikal kerana ketenangan jiwa merupakan anugerah yang paling besar. Inilah hakikat kebahagiaan yang sering dicari oleh manusia. Wang, kemasyhuran dan hiburan tidak mampu menggantikan ketenteraman hati yang lahir daripada iman, amal soleh dan keyakinan bahawa setiap pengorbanan dinilai oleh Allah.

Salah satu keistimewaan surah al-Ghashiyah ialah Allah mengajak manusia memerhatikan unta, langit, gunung dan bumi sebagai bukti kebesaran serta kekuasaan Pencipta. Menurut Ibn Kathir, ayat-ayat ini mengajar manusia menggunakan akal untuk mengenali Allah melalui penciptaan alam.

Hakikatnya, tamadun manusia berkembang dengan mengambil inspirasi daripada alam ciptaan Allah. Reka bentuk kereta api berkelajuan tinggi di Jepun, misalnya, diilhamkan daripada paruh burung raja udang untuk mengurangkan bunyi bising.

Teknologi pelekat moden pula tercetus hasil pemerhatian terhadap biji tumbuhan burdock yang mudah melekat pada bulu haiwan sehingga membawa kepada penciptaan sistem pelekat Velcro. Begitu juga struktur bangunan tahan gempa bumi yang mencontohi kelenturan batang buluh, manakala reka bentuk sayap kapal terbang dan dron banyak mengambil ilham daripada cara burung terbang.

Semua inovasi ini membuktikan bahawa manusia sebenarnya hanya menemui dan memanfaatkan hukum alam yang telah dicipta oleh Allah sejak awal penciptaan. Namun, dalam era kecerdasan buatan dan revolusi digital, manusia semakin kagum dengan kemampuan teknologi sehingga ada yang terlupa bahawa segala ilmu, kreativiti dan kebijaksanaan merupakan anugerah Allah SWT.

Tadabbur terhadap alam bukan sekadar aktiviti saintifik atau penyelidikan akademik, bahkan merupakan ibadah yang mengukuhkan tauhid, melahirkan rasa syukur dan menambahkan keyakinan bahawa setiap ciptaan Allah mengandungi hikmah yang tidak pernah habis diterokai.

Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali ‘Imran ayat 191 yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka”.

Surah ini juga mengingatkan para pendakwah, ibu bapa dan pemimpin bahawa tugas mereka hanya menyampaikan peringatan, bukan memaksa hidayah. Allah berfirman kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda hanyalah seorang pemberi peringatan. Prinsip ini amat penting dalam mendepani masyarakat yang berbeza pandangan.

Dakwah hendaklah dilakukan dengan hikmah, kasih sayang dan contoh teladan, bukan dengan kebencian atau penghinaan. Rasulullah SAW bersabda: “Permudahkan dan jangan menyusah, khabarkan kegembiraan dan jangan buat orang lari (menjauh diri)”. Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, menjadi panduan bahawa pendekatan yang berhikmah lebih dekat kepada jiwa manusia.

Menariknya, surah al-Ghashiyah merupakan antara surah yang sangat kerap dibaca oleh Rasulullah SAW ketika mengimamkan solat Jumaat dan solat Hari Raya bersama surah al-A‘la. Pengulangan bacaan ini membuktikan betapa pentingnya mesej surah tersebut dalam membina masyarakat yang sentiasa bermuhasabah, memperbaiki amal dan tidak hanyut dengan kesibukan dunia.

Justeru, umat Islam perlu menjadikannya panduan agar pembangunan negara tidak terbatas pada pertumbuhan ekonomi semata, bahkan turut mengutamakan kekuatan akhlak, integriti, kestabilan institusi keluarga, dan kesejahteraan rohani.

Dalam menghadapi tekanan hidup yang semakin mencabar, surah al-Ghashiyah mengajar bahawa penyelesaian sebenar bukan sekadar berehat daripada kesibukan tetapi melakukan spiritual reset yang mengembalikan hubungan manusia dengan Allah SWT. Setelah menggambarkan dahsyatnya Hari Akhirat, Allah mengajak manusia memerhatikan unta, langit, gunung dan bumi sebagai medan tadabbur yang menyegarkan hati serta memperkukuhkan keimanan.

Ketenangan jiwa juga dipupuk melalui solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk, zikir yang menghidupkan hati serta tadabbur al-Quran yang membuka mata terhadap hikmah dan petunjuk Ilahi. Amalan-amalan ini bukan sekadar ibadah rutin, bahkan merupakan terapi rohani yang diajarkan sendiri oleh Allah untuk merawat hati yang letih, menenangkan fikiran yang berserabut dan mengembalikan manusia kepada tujuan sebenar kehidupan.

Apabila hubungan dengan Allah diperkukuhkan, hati menjadi lebih tenang, jiwa lebih tabah menghadapi ujian dan kehidupan kembali dipandu oleh iman, bukan semata-mata oleh tuntutan dunia.

Tegasnya, surah al-Ghashiyah bukan sekadar menceritakan gambaran Hari Kiamat, bahkan menjadi kompas kehidupan bagi manusia. Ia menghubungkan realiti dunia dengan destinasi akhirat, mengingatkan bahawa setiap usaha mesti dipandu oleh iman dan setiap kejayaan mesti membawa kepada keredaan Allah. Sebanyak mana pun manusia berlari mengejar dunia, akhirnya semua akan kembali kepada Allah untuk dihitung setiap amalan.