Transformasi sebagai nadi daya tahan usahawan mikro
MyMikro26 anjuran AKPK menekankan digitalisasi, disiplin kewangan dan perubahan tingkah laku sebagai asas ketahanan serta kejayaan jangka panjang usahawan mikro.
Oleh: DALILAH AZIZ dan ROSHNI A. GEORGE
SERING kali, wacana mengenai ketahanan perniagaan tenggelam dalam lautan retorik dan kata-kata pikat seperti ‘pendigitalan’, ‘inovasi’ dan ‘pertumbuhan’.
Namun, hakikatnya, transformasi ekonomi bagi usahawan mikro jarang sekali bermula dengan langkah yang drastik. Sebaliknya, ia berakar umbi pada kelaziman harian yang sering kali menuntut pengorbanan zon selesa, menjejaki aliran tunai, memperkemas sistem simpanan rekod dan memperhalus tingkah laku selari dengan perubahan pasaran.
Realiti ini jelas dihidupkan dalam Wacana Usahawan Mikro Malaysia 2026 (MyMikro26) anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) baru-baru ini. Berlainan daripada seminar konvensional yang sarat dengan pembentangan, wacana tahun ini mempertaruhkan satu pementasan teater muzikal bertajuk ‘Jejak Yang Tidak Terpadam’ untuk menggambarkan pergelutan usahawan dalam memodenkan sebuah perniagaan tradisional.
Naratifnya bertumpu pada ‘Bakeri Warisan Ena’, di mana pemiliknya terikat emosi pada sebuah log fizikal sebagai lambang kepercayaan dan kesinambungan turun-temurun. Babak di kedai roti kecil ini mengundang nostalgia; deretan pastri segar menanti pelanggan setia, diadun dengan resipi turun-temurun.
“Ini warisan yang ku jaga, amanah dari insan tercinta,” nyanyi Ena bersama suaminya, merakamkan kehangatan perniagaan warisan tersebut. Segalanya berjalan mengikut ritma tradisi. Sebuah buku log am diangkat darjatnya melepasi apa jua ciptaan digital; di situlah berlabuhnya rekod wang masuk, wang keluar, dan hutang-piutang.
Namun, kepincangan bermula apabila pembekalnya bertanya tentang hutang yang tertunggak. Walaupun perniagaan sepertinya berjalan lancar, Ena buntu, entah mengapa tiada wang tunai yang mencukupi untuk melangsaikan hutang perniagaan.
Klimaks menyusul dalam bentuk tragedi apabila berlakunya kebakaran memusnahkan bakeri Ena. Dalam esakan, Ena mengutip sisa-sisa rekodnya, diselubungi kebimbangan bahawa api bukan sekadar memusnahkan bangunannya, tetapi juga kenangan dan warisan perniagaannya. Metafora ini menyuntik keinsafan. Kehilangan buku log itu seumpama terpadamnya kewujudan perniagaan itu sendiri; apa yang dihutang, dimiliki, dan diwarisi.
Apabila kelaziman mengundang rebah
Naskah muzikal ini, bersama-sama dengan sesi perkongsian usahawan, menzahirkan tema ‘Digitalisasi Mikro, Transformasi Ekonomi’ dengan penuh falsafah, selari dengan cogan kata utama wacana: “Bukan hanya rajin bekerja, tapi bijak mengurus.”
Pada awalnya, Ena menolak keperluan digitalisasi sehinggalah musibah meragut rekod fizikalnya. Ironisnya, kelangsungan perniagaan Ena terselamat kerana maklumat tersebut telah didigitalkan ke dalam MyBijakNiaga, sebuah alat pengurusan kewangan digital ciptaan AKPK. Apa yang disalah erti oleh Ena sebagai tindakan suaminya membuang masa menatap telefon rupanya menjadi talian hayat yang menyelamatkan perniagaan mereka.
Secara tersirat, muzikal ini merakamkan pertembungan di antara nilai sentimental dan tuntutan teknologi. Ena berpaut pada buku log lamanya kerana ia mewakili kesinambungan tradisi, bukan sekadar helaian nombor. Peralihan digital sering dilihat janggal dan tidak perlu, sehinggalah pendekatan lama tidak lagi mampu berfungsi.
Berubah atau rebah
Namun demikian, literasi kewangan untuk perniagaan mikro bukanlah sekadar membeli perisian baharu; ia menuntut juga anjakan tingkah laku. Bingkisan kisah daripada barisan usahawan di MyMikro26 menghidupkan realiti ini. Seorang usahawan berkongsi jerih perih berdepan ‘perangkap aliran tunai’ apabila bayaran pelanggan tersangkut dan gaji pekerja juga saling tertangguh.

Mengambil maklum bahawa hasil jualan bukanlah wang tunai di tangan, usahawan tersebut memupuk daya tahan secara perlahan-lahan dengan membina rizab dan mengekang nafsu berbelanja pada fasa keuntungan awal. Tindakan ini mungkin tidak kelihatan seperti satu transformasi yang megah, namun tabiat inilah paksi kepada ketahanan sesebuah perniagaan.
Mengurus tenaga kerja di pelbagai lokasi juga bermula dengan langkah kecil; sekadar kemas kini WhatsApp dengan gambar kerja dan kod QR untuk aduan pelanggan. Bukan teknologinya yang luar biasa, tetapi perubahan tingkah lakunyalah yang memberi kesan mendalam. Perubahan tingkah laku asas sedemikian mesti mendahului penggunaan teknologi yang lebih canggih, sebelum sebarang bentuk automasi peringkat lanjut dapat dilaksanakan secara berkesan.
Usahawan lain turut berkongsi cabaran dalam usaha mendigitalkan perniagaan keluarga yang telah berdekad lamanya bertahan. Di sebalik tirai siber, beliau menyedari hukum alam perniagaan kekal relevan: kos pengiklanan dan margin produk mencorakkan keuntungan, dan setiap pelaburan mesti disokong oleh pulangan yang wajar.
Evolusi dari ejen stokis fizikal kepada platform digital seperti Shopee dan TikTok juga menuntut kelenturan. Kemahiran berniaga atau beraksi di pentas fizikal tidak semestinya sama lancar di layar digital, lantas menuntut langkah praktikal seperti latihan khusus untuk menguasai seni jualan penstriman langsung.
Daya tahan melangkaui retorik
Pada babak penutup, Bakeri Warisan Ena kembali beroperasi, namun dengan ritma yang berbeza. Warisan resipi keluarga kekal terpelihara, tetapi kaedah menyantuni pelanggan telah berevolusi. Ena masih bertungkus-lumus berniaga; perbezaannya, kali ini instrumen telefon pintar mengambil tempat sebagai watak utama. Tatkala penstriman langsung bermula, Ena memeriksa audio, menjawab soalan pelanggan, dan menerima pesanan menerusi alam maya. Tiada transformasi berskala mega yang ditonjolkan; hanya adaptasi mikro.
Di sinilah kiranya terungkai intipati wacana tahun ini. Ketahanan sesebuah perniagaan tidak ditempa semalaman, melainkan dibina bersandarkan kelaziman yang didisiplinkan saban hari: mencatat rekod tanpa culas, menjiwai nafas aliran tunai, menerjemah makna di sebalik angka kepada urus niaga yang menguntungkan, dan melenturkan rutin seiring peredaran zaman.
Logik ini jugalah barangkali mendasari platform digital seperti MyBijakNiaga; diwujudkan bukan sekadar untuk mendigitalkan helaian fizikal, tetapi untuk mentransformasi data kepada maklumat digital yang dapat memacu urus niaga mikro. Namun begitu, secanggih mana pun teknologi, ia tetap menuntut komitmen sang pengusaha, untuk kekal konsisten dan siap siaga menyerasikan tingkah laku dengan arus perubahan.
MyMikro26 telah mendefinisikan semula pendekatan literasi kewangan dengan memberikan nafas baru kepada seminar tradisional dan menggantikannya dengan penceritaan, unsur jenaka, serta pengalaman hidup.
Mesej pemerkasaan kewangan bagi usahawan mikro, yang merupakan matlamat utama AKPK, juga telah diangkat ke suatu dimensi yang lebih berjiwa rakyat; digarap indah di atas pentas menerusi pementasan muzikal yang menjadikan senaskah buku log, amarah api, dan sebuah telefon pintar sebagai metafora kebangkitan sang usahawan.
* Kedua-dua penulis merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

