Iman dan akhlak jadi benteng maruah bila AI semakin canggih
Daripada perspektif Islam, penyalahgunaan AI bukan sekadar isu jenayah siber tetapi turut berkait dengan nilai amanah.

KEMAJUAN kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) telah mengubah cara manusia menjalani kehidupan seharian. Di sebalik pelbagai manfaat yang ditawarkan, teknologi ini turut membuka ruang kepada penyalahgunaan seperti deepfake dan penipuan cinta (love scam) berasaskan AI yang mampu memanipulasi identiti, memperdaya emosi serta mencemarkan maruah dan kehormatan insan.
Isu ini semakin mendapat perhatian apabila AI dimanfaatkan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menghasilkan kandungan palsu yang sukar dibezakan daripada realiti. Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 100 kes penipuan cinta dilaporkan pada Januari 2026 berbanding 95 kes pada Januari 2025. Jumlah kerugian yang dicatatkan pada Januari 2026 ialah RM3.5 juta, berbanding RM4.9 juta pada Januari 2025, menunjukkan penurunan sebanyak 27 peratus.
Statistik turut menunjukkan bahawa wanita merupakan antara golongan yang lebih terdedah kepada penipuan ini dengan mencatatkan 60 peratus daripada jumlah mangsa, manakala 72 peratus mangsa terdiri daripada individu berumur antara 30 hingga 50 tahun. Keadaan ini menunjukkan bahawa ancaman penipuan digital bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah turut memberi kesan terhadap emosi, kepercayaan dan kehormatan diri.
Love scam berasaskan AI ialah bentuk penipuan yang menggunakan teknologi untuk memanipulasi emosi mangsa dengan mewujudkan hubungan yang kelihatan meyakinkan. Pelaku menggunakan AI untuk menghasilkan gambar, suara, video dan perbualan palsu sehingga identiti yang dicipta kelihatan seperti individu sebenar.
Antara modus operandi yang sering digunakan dalam love scam berasaskan AI ialah pembinaan profil palsu dengan identiti yang meyakinkan, seperti golongan profesional atau individu yang bekerja di luar negara. Pelaku turut menggunakan AI untuk menghasilkan mesej romantik, meniru suara dan wajah melalui teknologi deepfake serta mewujudkan komunikasi yang kelihatan seolah-olah dilakukan oleh individu sebenar.
Pendekatan manipulasi yang digunakan sering disesuaikan mengikut sasaran. Lelaki lazimnya dipengaruhi melalui daya tarikan visual apabila AI digunakan untuk menghasilkan imej atau video wanita yang kelihatan menarik dan realistik, manakala wanita pula sering menjadi sasaran melalui manipulasi emosi dengan mencipta profil lelaki yang kelihatan matang, berjaya dan menunjukkan komitmen masa depan.
Setelah kepercayaan mangsa diperoleh, pelaku mula meminta wang dengan pelbagai alasan seperti kecemasan, kos perubatan, masalah perjalanan atau urusan peribadi. Lebih membimbangkan, AI juga boleh disalahgunakan untuk pemerasan apabila gambar peribadi mangsa dimanipulasi menjadi kandungan palsu yang memalukan sebelum mangsa diugut supaya membayar sejumlah wang bagi menghalang penyebarannya.
Kecanggihan AI menjadikan penipuan ini semakin sukar dikesan kerana teknologi tersebut mampu menghasilkan kandungan yang kelihatan meyakinkan. Hal ini menunjukkan bahawa love scam dalam era AI bukan lagi sekadar penipuan identiti tetapi telah berkembang menjadi bentuk eksploitasi emosi, pemerasan dan pencabulan maruah insan.
Selain itu, teknologi deepfake turut menimbulkan ancaman serius apabila digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu yang boleh menjejaskan reputasi dan kehormatan seseorang. Penyalahgunaan teknologi ini bukan sahaja membawa kerugian material, malah memberi kesan terhadap emosi, psikologi dan maruah mangsa.
Daripada perspektif Islam, penyalahgunaan AI bukan sekadar isu jenayah siber tetapi turut berkait dengan nilai amanah, larangan penipuan (ghish), pembohongan (kadhib), pengkhianatan (khiyānah) serta pemeliharaan kehormatan insan (ḥifẓ al-‘irḍ).
Oleh itu, cabaran teknologi ini tidak memadai ditangani melalui aspek teknologi dan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu dipandu oleh nilai agama, pendidikan akhlak dan kesedaran masyarakat. Islam menggariskan beberapa prinsip penting dalam memelihara maruah manusia di era AI agar teknologi dimanfaatkan sebagai alat kebaikan, bukan medium yang merosakkan kehormatan insan.
Mengamalkan tabayyun
Islam menekankan prinsip tabayyun iaitu menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum menerima atau menyebarkannya. Prinsip ini dijelaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 6 yang memerintahkan orang beriman agar menyemak terlebih dahulu berita yang diterima supaya tidak berlaku kezaliman akibat kejahilan.
Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6).
Dalam era AI, prinsip tabayyun menjadi semakin penting kerana perkara yang dilihat dan didengar tidak lagi boleh diterima secara automatik sebagai benar. Video yang kelihatan realistik, suara yang seakan-akan asli atau gambar yang meyakinkan boleh sahaja merupakan hasil manipulasi teknologi deepfake. Oleh itu, masyarakat perlu mengamalkan sikap berhati-hati dengan menyemak sumber, mengesahkan identiti serta menilai kesahihan sesuatu kandungan sebelum mengambil tindakan.
Memelihara kehormatan (ḥifẓ al-‘irḍ)
Dalam kerangka Maqāṣid al-Syarī‘ah, pemeliharaan kehormatan (ḥifẓ al-‘irḍ) merupakan salah satu prinsip penting dalam menjaga maruah dan kemuliaan manusia. Oleh itu, setiap individu bertanggungjawab memelihara kehormatan diri dengan menjaga privasi, termasuk berhati-hati dalam berkongsi gambar, video dan maklumat peribadi yang berpotensi dimanipulasi atau disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Penyalahgunaan teknologi AI seperti deepfake yang menghasilkan kandungan palsu bagi mencemarkan nama baik seseorang merupakan satu bentuk pencabulan terhadap kehormatan insan yang bertentangan dengan prinsip Islam.
Menjauhi penipuan dan pemalsuan (al-ghishsh wa al-tadlīs)
Islam secara tegas melarang segala bentuk penipuan, pemalsuan dan pengkhianatan terhadap amanah. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada golongan kami.” (Riwayat Muslim, Kitāb al-Īmān, Bāb Qawl al-Nabī ﷺ: Man Ghashshanā Fa Laysa Minnā, Hadis No. 102). Hadis ini menunjukkan bahawa penggunaan AI untuk menghasilkan deepfake, memalsukan identiti, memperdaya emosi atau melakukan pemerasan merupakan perbuatan yang bertentangan dengan prinsip Islam. Setiap penggunaan teknologi tetap tertakluk kepada nilai amanah dan akhlak seorang Muslim.
Memelihara adab pergaulan siber antara lelaki dan wanita
Perkembangan AI menyebabkan semakin banyak komunikasi manusia berlaku melalui alam maya berbanding secara bersemuka. Keadaan ini menuntut umat Islam agar lebih berhati-hati dalam menjaga batas pergaulan, khususnya antara lelaki dan wanita supaya kehormatan diri dan maruah insan terus terpelihara. Hubungan yang terlalu rapat dengan individu yang tidak dikenali di alam maya boleh membuka ruang kepada manipulasi emosi, penipuan dan ugutan. Oleh itu, komunikasi digital hendaklah berlandaskan adab, batasan syarak dan kesedaran bahawa identiti seseorang di alam maya tidak semestinya menggambarkan realiti sebenar.
Mengamalkan sikap wasatiyyah
Islam mengajar umatnya untuk mengamalkan sikap wasatiyyah iaitu pendekatan yang seimbang dan sederhana dalam setiap aspek kehidupan. Dalam konteks penggunaan AI, sikap ini sangat perlu diterapkan dalam diri setiap individu sebagai benteng agar manusia tidak terlalu bergantung kepada teknologi sehingga mengabaikan nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial dan hubungan dengan Allah SWT. Penggunaan AI hendaklah dilakukan secara bijaksana dengan menetapkan batas penggunaan teknologi, mengutamakan ibadah serta memastikan kecanggihan teknologi tidak melalaikan kewajipan sebagai seorang Muslim. Antaranya ialah mewujudkan ruang tanpa teknologi (tech-free zones) ketika bersama keluarga agar komunikasi, kasih sayang dan hubungan sesama manusia terus dipelihara.
Mengamalkan amar makruf nahi mungkar
Islam menggalakkan usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Dalam konteks penyalahgunaan AI, masyarakat tidak seharusnya berdiam diri terhadap penyebaran kandungan palsu, fitnah atau deepfake yang boleh mencemarkan maruah dan kehormatan seseorang. Antara tindakan yang boleh dilakukan ialah melaporkan kandungan yang menyalahi etika dan undang-undang kepada pihak bertanggungjawab, menyekat akaun penyebar, meningkatkan kesedaran masyarakat melalui pendidikan dan media massa, serta memberikan sokongan kepada mangsa tanpa menyalahkan mereka.
Menanamkan sifat takwa
Benteng paling kuat dalam mendepani cabaran AI ialah sifat takwa. Dalam era teknologi yang semakin canggih dan mampu menghasilkan kandungan yang menyerupai realiti, nilai takwa berperanan sebagai panduan dalaman dalam menentukan batas penggunaan teknologi. Individu yang memiliki kesedaran ketuhanan akan memahami bahawa walaupun sesuatu perbuatan dapat disembunyikan daripada pandangan manusia, ia tetap berada dalam pengetahuan dan pengawasan Allah SWT.
Kecanggihan teknologi tanpa panduan iman dan takwa boleh membawa kepada penyalahgunaan, manakala teknologi yang dipandu oleh nilai agama mampu menjadi medium yang memberi manfaat serta membawa kemaslahatan kepada kehidupan manusia.
Kesimpulannya, hala tuju penggunaan AI bergantung kepada nilai yang membimbing manusia. Hanya dengan gabungan kecanggihan teknologi, kebijaksanaan akal serta kekuatan iman dan akhlak, kehormatan insan dapat terus dipelihara dalam era AI yang semakin berkembang.

