Keunikan dokumentari merencanakan pengetahuan, sumber khazanah ilmu

Dokumentari merupakan sebuah rancangan yang sarat dengan fakta dan sisipan bukti yang disesuaikan dengan penceritaan.

Feature Image

RANCANGAN di televisyen sememangnya mempunyai kekuatan dan peminat yang tersendiri. Telefilem dan drama bersiri misalnya, sudah pasti bakal menawarkan naratif penceritaan yang bakal mengundang rasa suka dan air mata dikalangan peminat setia. Akan kedengaran pula hilai tawa apabila menonton rancangan komedi yang sering kali menjadi sumber hiburan keluarga.

Begitu juga keasyikan melayari impian apabila menonton rancangan berbentuk majalah yang menyajikan trend terkini berkaitan gaya hidup, fesyen, kerjaya, dekorasi dan pelbagai lagi topik menarik. Tak ketinggalan juga telatah anak-anak yang akan setia menunggu rancangan kartun yang bakal disiarkan tatkala mengisi waktu lapang. Kesemuanya ini adalah pemandangan biasa yang dapat kita lihat apabila berbicara tentang rancangan televisyen dan peminat setianya.

Namun jika kita menyelinap seketika kepada sebuah format rancangan yang mungkin ramai bersetuju jika dikatakan agak tidak begitu popular dalam kalangan penonton namun mempunyai nilai ilmu yang tinggi untuk dikongsikan kepada masyarakat umum iaitu rancangan dokumentari.

Secara asasnya, rancangan dokumentari merupakan sebuah rancangan yang sarat dengan fakta dan sisipan bukti yang disesuaikan dengan penceritaan dalam mengungkap kesinambungan pemahaman para penonton. Dokumentari merupakan sebuah tanggungjawab dan kewajipan kepada ilmu pengetahuan yang hendak dikongsikan dengan masyarakat melalui sentuhan kreatif audio visual yang sangat dramatik dan penuh makna.

Keunikan persembahan dokumentari bakal memberi sebuah pengalaman meneroka ilmu pengetahuan dengan gaya yang agak berbeza jika kita membandingkan dengan medium yang lain. Hal ini kerana sesebuah garapan karya kreatif akan teruji tentang tahap keberkesanan untuk mendapatkan perhatian penonton sepertimana rancangan telefilem, komedi, kartun dan lain-lain yang dinyatakan diatas.

Kesungguhan dan kejelasan dalam menyampaikan fakta akan disulam dengan ketetapan khusus dalam membentuk naratif penyampaian adalah sebuah kesempurnaan dalam dokumentari. Ini merangkumi teknik penceritaan, gaya bahasa, kepentingan babak, olahan suasana dan garapan emosi yang mampu menjelmakan kesan mendalam kepada bakal penonton.

Sebagai permulaan, kebiasaannya sesebuah dokumentari akan mempunyai fokus yang tertentu dalam membawakan sebuah khazanah ilmu yang khusus untuk ditelusuri. Dalam erti kata lain, dokumentari akan berpandukan tema-tema tertentu dalam persembahannya seperti nukilan sejarah, jejak peristiwa, alam kehidupan, kesenian, budaya warisan dan pelbagai aspek tumpuan yang penting untuk diterokai secara tuntasnya.

Persembahan dokumentari pula mempunyai gaya yang pelbagai untuk disesuaikan dengan tema yang dibawa. Teknik penceritaan atau naratif perlu mempunyai daya kreativiti yang berkesan dalam menyalurkan maklumat beserta dengan adunan emosi bagi mengembangkan jalinan penceritaan.

Yang utama setiap saat adalah penting dalam olahan dokumentari agar dapat menarik minat penonton untuk meneruskan tontonan kerana jika kepadatan maklumat tidak disokong dengan gaya yang bersesuaian bakal menjelmakan rasa bosan dan berupaya mengurangkan tumpuan dikalangan para penonton.

Oleh itu, percaturan dalam membawakan sesuatu topik harus mendasari kepada tarikan dan kelainan yang mampu untuk dijelmakan terutamanya dari sudut alunan emosi penonton. Dengan kata mudah, dokumentari tidak hanya menyampaikan galur fakta bagi sesuatu topik tujahan malah turut meminjamkan aspek sisi manusiawi iaitu salah satunya berkenaan gambaran atau jelmaan perasaan yang bakal dikongsikan dengan penonton.

Gambaran perasaan yang mewakili pendapat dalam menyokong fakta yang disampaikan adalah seperti semangat membara dengan sejarah perjuangan, perasaan sedih meneroka kesempitan hidup, rasa kagum dengan keunikan hidupan liar, senyuman penuh kebanggaan dengan kejayaan tokoh dan bermacam gambaran emosi yang sudah pasti dapat dibentuk ketika menonton.

Penggunaan dialog bagi tujuan penceritaan harus mempunyai hubungan yang kuat dengan topik yang dibawakan oleh sesebuah dokumentari. Kata-kata yang disusun untuk menjadi ayat lengkap harus diteliti agar terbina jalinan antara babak yang disediakan dengan pemahaman penonton. Tidak terhad kepada itu, lontaran suara dan intonasi harus jelas menggambarkan suasana penceritaan serta dapat memaut perasaan dikalangan penonton.

Dokumentari memerlukan sentuhan nada suara dan seni penyampaian yang halus bagi mengimbangkan kepadatan fakta yang tersedia. Maka, bakat penyampaian harus diambil peduli sebelum menerbitkan dokumentari kerana unsur penceritaan lisan merupakan suatu kepentingan dalam membawakan mood yang mampu dipinjamkan ketika menonton sesebuah dokumentari.

Tidak terhad pada itu, terdapat juga babak-babak yang dirasakan tidak mempunyai keperluan sentuhan dialog atau suara naratif bagi menimbulkan impak yang sedikit berbeza. Sebuah dokumentari yang baik harus menciptakan ruang dan peluang kepada penonton untuk turut menyelami serta menghayati setiap situasi dengan penuh sentuhan perasaan. Kadangkala sesebuah penceritaan boleh hadir dengan hanya gambaran secara visual sahaja. Visual harus mengalir tanpa perlu diperjelaskan jika ia mampu menciptakan simbolik yang berkesan dalam jiwa penonton.

Melalui persembahan visual, perasaan sedih misalnya dapat diterjemahkan dengan berkesan walaupun tanpa kehadiran dialog bagi menyokong situasi. Suasana hiba, pilu, keliru dan lain-lain perasaan dapat dijelmakan dengan sentuhan kreativiti seperti teknik pergerakan kamera, alunan lagu, suasana sekeliling dan juga watak yang disandarkan. Sudah tentu ia bukan mudah untuk dipraktikkan kerana perlu ada kesinambungan jalan cerita dalam memenuhi objektif yang hendak dibawakan kepada penonton.

Dokumentari yang berkesan juga dapat dilihat melalui sejauhmana medium ini meninggalkan impak tontonan kepada penonton. Perlu ada sesuatu aspek atau unsur yang mampu menggamit ingatan penonton secara umumnya. Sesuatu yang menyentuh hati dan perasaan yang harus diingat sebagai khazanah ilmu yang didambakan oleh penonton.

Perlu ada detik tertentu yang bakal mengembalikan nostalgia atau ingatan penonton perihal sesebuah dokumentari. Mungkin dengan intonasi dan gaya bahasa si penyampai, alunan lagu atau muzik latar tertentu atau mungkin juga melalui jalinan cerita kepada episod pada musim yang akan datang iaitu topik sambungan yang bakal diperluaskan skopnya.

Justeru, walaupun dokumentari lazimnya dianggap sebagai medium yang agak berat kerana sarat dengan fakta dan juga angka, namun jika diteladani dengan baik maka naskah ini mampu menawarkan kepelbagaian dalam corak penyampaian serta berkesan dalam menarik minat masyarakat untuk menonton terutamanya dikalangan generasi muda.