UM bantu cipta laluan kejayaan pelajar STPM SMK Telok Datok
Projek kesukarelawanan Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire, sebuah inisiatif di bawah kluster pendidikan.
KUALA LUMPUR, 2 Januari 2026 – Universiti Malaya (UM) menerusi Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) terus komited memperkasa pendidikan komuniti melalui pelaksanaan projek kesukarelawanan Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire, sebuah inisiatif di bawah kluster pendidikan yang dilaksanakan dalam bentuk siri jelajah sekolah di seluruh negara.
Program ini bertujuan menyemai minat serta memberi galakan awal kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi melalui pendedahan menyeluruh berkaitan hala tuju akademik dan kerjaya. Fasa pertama program tersebut telah berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok, Banting, Selangor dengan penyertaan seramai 298 pelajar laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Penganjuran program ini digerakkan oleh 35 orang sekretariat dengan sokongan 13 sukarelawan mahasiswa Universiti Malaya, sekali gus mencerminkan iltizam berterusan warga mahasiswa UM dalam menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat melalui program pendidikan berimpak tinggi.
Fokus utama program adalah membantu pelajar STPM merancang masa depan secara lebih tersusun melalui pengisian yang dirangka hasil kerjasama erat antara pihak penganjur dan sekolah.

Antara pengisian utama ialah taklimat berkaitan permohonan kemasukan ke universiti awam menerusi UPU serta sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa Universiti Malaya. Program ini turut dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Langat, Dr. Saiful Adli Suhadak.
Taklimat UPU disampaikan oleh Pegawai Kanan Kerajaan (Unit Pusat Data), Dr. Rosli Mohd Aris yang menggunakan pendekatan interaktif dengan mengajak pelajar menyenaraikan universiti dan kursus pilihan masing-masing.
Melalui aktiviti tersebut, jelas kelihatan kepelbagaian tahap kejelasan hala tuju pelajar, sama ada yang telah mempunyai perancangan jelas mahupun yang masih mencari arah sebenar.
Sehubungan itu, Dr. Rosli menekankan kepentingan memahami syarat khusus setiap kursus dan tidak hanya tertumpu kepada nama universiti semata-mata.

Beliau turut memperkenalkan portal rasmi UPUOnline sebagai rujukan utama dan membimbing pelajar menyemak kelayakan melalui modul e-Panduan bagi memastikan pemilihan kursus selari dengan pencapaian akademik.
Beliau juga menjelaskan aspek teknikal pemilihan program pengajian, termasuk kepentingan skor merit memandangkan lebih 1,000 program ditawarkan kepada lepasan STPM, selain mengingatkan pelajar tentang persaingan sengit bagi kursus kritikal seperti Perubatan, Pergigian dan Perakaunan.
Pada masa sama, pelajar diingatkan supaya memastikan pematuhan terhadap syarat am kemasukan termasuk kelulusan Bahasa Melayu, Sejarah serta keperluan MUET.
Sesi taklimat itu diakhiri dengan perkongsian strategi meningkatkan peluang berjaya, antaranya mengisi kesemua 12 pilihan program secara strategik dan mengelakkan kesilapan teknikal seperti kegagalan menyimpan permohonan atau terlepas tempoh setuju terima tawaran.
Program diteruskan dengan sesi LDK yang merangkumi aktiviti interaktif seperti Kahoot, Career Poly dan Shark Tank. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji pengetahuan pelajar berkaitan dunia kerjaya, malah merangsang pemikiran kreatif, kemahiran komunikasi serta semangat kerja berpasukan melalui perbincangan idea dan penyelesaian masalah.
Majlis penutup disempurnakan oleh Dr. Saiful Adli Suhadak yang memuji inisiatif SEKRUM dalam membimbing pelajar merancang masa depan akademik dan kerjaya.

Beliau menegaskan sokongan berterusan Pejabat Pendidikan Daerah terhadap program seumpama ini kerana ia memberi pendedahan jelas kepada pelajar tentang peluang melanjutkan pengajian ke universiti awam.
Inisiatif tersebut turut mendapat sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Telok Datok yang melihat penglibatan mahasiswa UM sebagai sumber inspirasi kepada pelajar.
Secara keseluruhannya, penganjuran Hayya ‘Alal Falah: Aspire to Inspire Fasa 1 membuktikan keberkesanan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti dalam memacu kecemerlangan pendidikan. Diharapkan program ini mampu menyuntik keyakinan dan semangat kepada 298 pelajar terlibat untuk melangkah lebih yakin ke menara gading demi membina masa depan yang lebih cerah.
