microLEAP perkukuh skim SARANA dalam pembiayaan perolehan kerajaan

Skim pembiayaan yang direka khusus untuk menyokong kontraktor tempatan dan PKS yang melaksanakan projek Kerajaan Persekutuan melalui sistem e-Perolehan.

Feature Image (5)

KUALA LUMPUR, 7 Februari 2026 – Prestasi kukuh microLEAP sepanjang tahun 2025 terus mengukuhkan peranannya dalam memperkasakan pelaksanaan skim SARANA, seiring peningkatan keyakinan perniagaan dan pelabur terhadap pembiayaan rakan setara (P2P) yang dikawal selia di Malaysia.

Sepanjang tahun lalu, platform tersebut telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM295 juta menerusi 341 Nota Pelaburan, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan sejak penubuhan mencecah RM545 juta.

Dalam tempoh sama, kadar gagal bayar kekal rendah pada 0.30 peratus iaitu yang terendah pernah direkodkan. Jumlah pembiayaan yang disalurkan turut mencatat pertumbuhan melebihi 135 peratus berbanding tahun 2024, sekali gus mencerminkan penyertaan pelabur yang berterusan serta peningkatan kualiti portfolio.

Pencapaian ini meletakkan microLEAP sebagai penanda aras kepada kematangan dan penerimaan pembiayaan P2P di Malaysia. Selaras dengan penekanan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia terhadap peranan platform P2P dalam menyokong perniagaan tempatan, rekod prestasi microLEAP membuktikan bahawa penilaian kredit yang berdisiplin, pemantauan aktif dan pelaksanaan program yang tersusun mampu menjana hasil ekonomi yang mampan.

Dalam konteks ini, SARANA bukan sekadar skim pembiayaan, malah menjadi bukti bagaimana pembiayaan P2P boleh diintegrasikan secara bertanggungjawab dalam ekosistem perolehan nasional dan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Berasaskan perkembangan tersebut, microLEAP terus memperkukuh kesedaran terhadap SARANA iaitu skim pembiayaan yang direka khusus untuk menyokong kontraktor tempatan dan PKS yang melaksanakan projek Kerajaan Persekutuan melalui sistem e-Perolehan.

Walaupun kontrak kerajaan menjamin kesinambungan projek, cabaran aliran tunai masih menjadi isu utama, khususnya semasa fasa mobilisasi, perolehan dan pembayaran kepada subkontraktor.

Secara tradisi, kebanyakan kontraktor bergantung kepada kemudahan perbankan dan pembiayaan faktoring bagi menampung keperluan modal kerja. Namun, pendekatan tersebut sering melibatkan proses yang panjang, dokumentasi yang rumit serta kos pembiayaan yang lebih tinggi, terutama bagi pembiayaan jangka pendek.

SARANA menangani jurang ini dengan mengintegrasikan pembiayaan P2P yang dikawal selia ke dalam ekosistem pembiayaan perolehan kerajaan melalui e-Perolehan. Inisiatif ini memperluas akses pembiayaan kepada kontraktor serta menyediakan saluran modal kerja yang lebih pantas, digital dan selari dengan keperluan pelaksanaan projek.

Melalui SARANA di microLEAP, kontraktor yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM1.5 juta dengan tempoh sehingga 12 bulan. Pembiayaan ini merangkumi keperluan prainvois, pascainvois dan berasaskan kontrak, dengan kadar keuntungan serendah 1.25 peratus sebulan.

Kekuatan utama SARANA terletak pada strukturnya yang berasaskan kontrak kerajaan yang disahkan, terma pembayaran yang jelas serta dokumentasi piawai seperti Notis Serahan Hak dan Surat Ikatan Serahan Hak (Deed of Assignment). Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan akses pembiayaan kepada kontraktor yang sah, malah meningkatkan keyakinan pelabur.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata peringkat pelaksanaan projek merupakan fasa paling mencabar bagi kebanyakan kontraktor kerajaan.

“Memenangi kontrak hanyalah permulaan. Cabaran sebenar bermula apabila perniagaan perlu menggerakkan sumber, mengurus aliran tunai dan memenuhi garis masa yang ketat sementara menunggu kitaran pembayaran,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa SARANA direka bagi menangani cabaran tersebut dengan menyediakan pembiayaan yang lebih pantas, praktikal dan selari dengan realiti pelaksanaan projek.

“Prestasi kami membuktikan bahawa pembiayaan P2P yang distrukturkan secara bertanggungjawab dan ditadbir dengan disiplin mampu menyokong perniagaan pada skala lebih besar, sambil mengekalkan kualiti portfolio serta keyakinan pelabur,” katanya.

Permohonan pembiayaan SARANA kini dibuka kepada kontraktor yang layak menerusi portal khas microLEAP di sarana.microleapasia.com/login.