FIPC 2026: Platform mahasiswa meneroka realiti industri kewangan global
FIPC 2026 menyasarkan penyertaan mahasiswa Sarjana Muda dalam bidang Kewangan, Perakaunan dan Ekonomi dari universiti awam serta swasta di seluruh negara.
KUALA LUMPUR, 9 Mac 2026 – Persatuan Kewangan Universiti Malaya (UMFA) kini kembali dengan penganjuran Financial Industry Profession Challenge (FIPC) 2026, sebuah pertandingan kajian kes berprestij yang dirancang khusus untuk mempersiapkan generasi muda Malaysia bagi berdepan dengan industri kewangan yang dinamik pada hari ini.
Penganjuran FIPC 2026 berteraskan tema P.R.I.M.E., yang merangkumi lima tunggak utama, iaitu Professionalism, Resilience, Innovation, Momentum dan Ethics.
Program ini bakal berlangsung secara hibrid bermula dengan sesi maya pada 24 April 2026, diikuti dengan kemuncak acara secara fizikal pada 30 April, 2 dan 3 Mei 2026 bertempat di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.
FIPC 2026 menyasarkan penyertaan mahasiswa Sarjana Muda dalam bidang Kewangan, Perakaunan dan Ekonomi dari universiti awam serta swasta di seluruh negara.
Dengan simulasi persekitaran kerja yang sebenar, peserta berpeluang mengasah kemahiran melalui cabaran kritikal seperti Venture Capital Dealroom, Digital Banking Playbook, ESG Trade-Offs dan pelbagai cabaran lain.

Selain itu, pengisian program turut merangkumi bengkel penilaian, sesi bimbingan (mentoring) dan majlis makan malam jaringan profesional (networking dinner).
Mengimbas kejayaan FIPC 2025, program tersebut telah menyaksikan penyertaan meriah daripada 27 buah universiti, dengan 20 kumpulan terbaik berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.
Kejayaan tahun lalu turut diperkukuh melalui kolaborasi strategik bersama rakan industri terkemuka seperti MainStreet Advisers Sdn. Bhd., Nihon M&A Center Inc, WYNCORP Advisory Sdn. Bhd., dan ZICO Evolve Capital.
Jurucakap penganjur menyatakan bahawa penglibatan rakan strategik ini amat penting dalam memberi pendedahan awal kepada para mahasiswa mengenai alam pekerjaan profesional sebelum mereka melangkah ke alam latihan industri atau kerjaya sebenar.
“FIPC 2025 merupakan satu pencapaian besar di mana ia menjadi platform penyatuan individu kompeten dan berpotensi tinggi untuk belajar terus daripada pakar industri. Bagi tahun 2026, kami menyasarkan impak yang lebih luar biasa,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, UMFA menjemput semua mahasiswa dari bidang kewangan untuk memanfaatkan peluang ini sebagai batu loncatan dalam membina kerjaya cemerlang pada masa hadapan. FIPC 2026 bukan sekadar sebuah pertandingan, ia merupakan jambatan yang menghubungkan teori di dewan kuliah dengan realiti industri yang kompleks.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh mengunjungi akaun media sosial @fipc2026 di Instagram, Facebook, TikTok dan LinkedIn.
Ayuh sertai kami di FIPC 2026 dan mulakan langkah anda untuk menjadi peneraju industri kewangan pada masa hadapan!
