Kesepakatan umat dalam menilai konflik Iran-AS/Israel

Islam tidak mengajar umatnya merestui pencerobohan, pembunuhan orang awam, penghancuran negara sehingga melampaui batas kemanusiaan.

Feature Image (5)

KETIKA umat Islam sedang menyambut Ramadan al-Mubarak, dunia dikejutkan dengan ketegangan yang sangat serius apabila konflik Iran dengan Amerika Syarikat-Israel meningkat kepada serangan langsung antara negara. Keadaan ini bukan lagi sekadar perang melalui proksi atau tekanan diplomatik semata, bahkan telah berkembang menjadi konfrontasi terbuka yang menggegarkan rantau Asia Barat dan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dunia.

Laporan semasa menunjukkan bahawa serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran telah mencetuskan tindak balas ketenteraan Iran ke atas Israel dan beberapa sasaran lain di rantau tersebut yang menggugat laluan perdagangan antarabangsa sama ada melalui darat atau laut. Perkembangan ini menjadi lebih besar kesannya apabila Pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei dilaporkan terbunuh dalam siri serangan tersebut.

Kematian beliau bukan sekadar kehilangan seorang tokoh politik utama Iran, bahkan membuka ruang kepada ketidaktentuan baharu dalam struktur kuasa negara itu dan menambah kemungkinan berlakunya tindak balas yang lebih keras daripada pihak Iran sendiri. Dalam konteks geopolitik, peristiwa seperti ini hampir pasti membawa implikasi besar kepada kestabilan serantau, keselamatan awam, ekonomi dunia dan sentimen umat Islam di pelbagai tempat.

Dari sudut Islam, pendirian asas yang mesti dipegang ialah penolakan terhadap kezaliman dan keganasan. Islam tidak mengajar umatnya merestui pencerobohan, pembunuhan orang awam, penghancuran negara sehingga melampaui batas kemanusiaan. Dalam masa yang sama, Islam juga tidak membenarkan seseorang Muslim menilai sesuatu konflik hanya berdasarkan sentimen politik, kebencian mazhab atau rasa marah yang tidak dipimpin oleh ilmu pengetahuan.

Prinsip yang perlu menjadi asas ialah keadilan. Jika berlaku pencerobohan, maka wajib dikecam. Jika berlaku keganasan terhadap orang awam, maka juga wajib dikecam. Jika ada penindasan kuasa besar terhadap negara lain, maka mesti dilihat dengan neraca moral dan syarak bukan dengan ukuran kepentingan geopolitik semata-mata.

Di sinilah pentingnya kita bersikap jernih ketika menilai Iran. Iran dipimpin dalam kerangka Syiah, sedangkan Malaysia secara rasmi berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pihak berautoriti agama di Malaysia telah lama menegaskan bahawa umat Islam di negara ini hendaklah berpegang dengan ajaran Islam berasaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah, syariah dan akhlak, manakala penyebaran ajaran selainnya dilarang. Maka dari sudut pegangan agama dan dasar negara, kita tidak wajar mengaburkan perbezaan antara Sunni dan Syiah seolah-olah ia perkara kecil.

Namun begitu, perbezaan mazhab tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan kezaliman terhadap mana-mana pihak. Ini titik penting yang mesti difahami dengan matang. Menolak ajaran Syiah sebagai pegangan yang tidak selaras dengan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia tidak bererti kita menghalalkan pengeboman, pembunuhan atau penghancuran sesebuah negara. Islam tidak mengajar kita supaya menutup mata terhadap keganasan hanya kerana mangsa atau pihak yang diserang datang daripada mazhab yang berbeza.

Prinsip moral Islam lebih tinggi daripada sentimen sektarian. Kita boleh tegas dalam soal akidah, tetapi dalam masa yang sama adil dalam menilai kezaliman dan penderitaan manusia. Dalam perbahasan awam, satu lagi kecenderungan yang perlu ditegur ialah sikap terlalu cepat mengaitkan peperangan semasa ini dengan hadith-hadith akhir zaman secara pasti. Setiap kali berlaku konflik besar di Timur Tengah, akan muncul suara yang terus mendakwa bahawa inilah peperangan besar yang disebut dalam hadith, inilah permulaan tanda tertentu atau inilah petunjuk yang hampir muktamad kepada kemunculan tokoh akhir zaman. Cara berfikir seperti ini tidak menepati disiplin ilmu hadith dan boleh menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat awam.

Dalam metodologi ilmu hadith, seseorang tidak boleh memadankan peristiwa semasa dengan hadith tertentu secara yakin dan muktamad hanya berdasarkan persamaan umum. Sesuatu riwayat perlu terlebih dahulu dinilai dari sudut kesahihan sanad dan kefahaman matan. Selepas itu, semua riwayat yang berkaitan mesti dihimpunkan, syarah para ulama muktabar perlu dirujuk dan konteks pemakaian makna perlu diteliti dengan cermat. Selagi perkara ini tidak dipenuhi, maka pendirian yang selamat ialah berhenti daripada membuat dakwaan yang pasti.

Hadith berkaitan fitnah akhir zaman dan huru-hara tidak sepatutnya dibaca sebagai bahan untuk meneka peta politik masa depan. Ia bukan teks ramalan untuk memuaskan rasa ingin tahu manusia terhadap apa yang akan berlaku minggu hadapan atau tahun hadapan. Fungsi utama hadith seperti ini ialah sebagai peringatan daripada Nabi SAW agar umat Islam sentiasa bersedia dari sudut iman, ilmu dan akhlak apabila berdepan zaman yang penuh kekeliruan. Apabila dunia menjadi kacau, tujuan hadith bukan supaya kita menjadi tukang teka tetapi supaya kita menjadi hamba Allah yang lebih berwaspada, lebih tenang, dan lebih dekat kepada petunjuk wahyu.

Sebab itu, apabila melihat konflik Iran dengan Amerika Syarikat-Israel, soalan yang lebih penting bukanlah hadith mana yang boleh dipadankan secara segera. Soalan yang lebih penting ialah apakah tanggungjawab kita sebagai umat Islam ketika dunia sedang bergolak. Jawapannya termasuk menjaga lidah daripada menyebarkan khabar yang belum pasti, menolak berita sensasi yang tidak bersumber, mengelakkan budaya fitnah dan caci maki serta memelihara perpaduan umat daripada dimusnahkan oleh emosi dan propaganda. Dalam suasana tegang, orang yang paling bermanfaat bukan yang paling lantang membuat ramalan tetapi yang paling jujur memandu masyarakat kepada ilmu dan kebijaksanaan.

Bagi umat Islam di Malaysia, ada beberapa sikap yang sangat perlu dipelihara. Pertama, jangan cemas secara berlebihan sehingga setiap perkembangan luar negara terus dilihat dengan panik dan ketakutan yang melampau. Kedua, jangan terperangkap dalam logik mudah bahawa sesiapa yang menentang Amerika Syarikat-Israel semestinya benar dalam semua perkara dan juga sebaliknya. Penilaian Islam sentiasa berasaskan keadilan, bukan pemujaan politik. Ketiga, jangan pula kerana kita menolak ajaran Syiah, lalu kita menjadi longgar terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas Iran atau rakyatnya.

Kebenaran tidak dibina atas sikap memilih-milih dalam mengecam keganasan. Keempat, masyarakat awam hendaklah merujuk kepada para ilmuwan dan autoriti agama dalam memahami teks hadith, khususnya hadith berkaitan fitnah, peperangan dan akhir zaman. Umat memerlukan panduan daripada mereka yang memahami manhaj ulama, bukan sekadar mereka yang pandai membina naratif yang menarik perhatian.

Akhirnya, konflik ini mengajar kita bahawa dunia Islam hari ini memerlukan ketenangan yang dipimpin oleh ilmu. Kita mesti tegas mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas beragama di Malaysia. Dalam masa yang sama, kita juga mesti konsisten mengecam kezaliman, pencerobohan dan keganasan walau ke atas siapa pun ia berlaku. Itulah keseimbangan dan keadilan Islam. Teguh pada akidah, adil dalam penilaian, berhemah dalam bicara, dan berdisiplin dalam memahami hadith. Dalam zaman yang sarat dengan kekeliruan, itulah jalan yang paling selamat untuk umat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan boleh dihubungi di norazamithnin@um.edu.my