Ancaman senyap buli halus di tempat kerja
Tidak semua bentuk buli hadir dengan suara yang tinggi atau tindakan yang jelas.

DI tempat kerja, tidak semua bentuk buli hadir dengan suara yang tinggi atau tindakan yang jelas. Sebahagiannya berlaku secara perlahan, tersusun dan kelihatan “professional” namun meninggalkan kesan emosi yang mendalam.
Fenomena ini dikenali sebagai buli tersembunyi atau covert workplace bullying. Keadaan ini sering disalah anggap sebagai “tekanan kerja biasa”. Hakikatnya, situasi ini merupakan manipulasi emosi yang boleh menjejaskan kesihatan mental secara serius, walaupun tidak kelihatan di permukaan.
Buli jenis ini sukar dikesan kerana jarang berlaku secara terang-terangan. Tingkah laku muncul dalam bentuk halus seperti memberi tugasan di luar skop secara berulang, sindiran sinis atau sengaja menonjolkan diri dalam komunikasi rasmi untuk membina persepsi tertentu atau untuk memastikan pihak atasan melihat dirinya sebagai individu yang paling banyak bekerja.
Dalam sesetengah keadaan, pelaku cuba kelihatan cekap dengan merendahkan orang lain. Lebih membimbangkan, tindakan berlaku di hadapan pihak atasan sehingga mangsa dilihat tidak kompeten walhal sedang menanggung beban kerja yang tidak adil dan tidak seimbang.
Dari sudut psikologi, corak ini berkait dengan gaslighting dan permainan kuasa (power play). Persepsi dikawal iaitu pelaku dilihat paling berusaha, mangsa pula tampak lemah. Lama-kelamaan, mangsa mula meragui diri sendiri dan mempersoalkan nilai serta keupayaan yang dimiliki. Situasi ini bukan sekadar tekanan kerja. Keadaan tersebut merupakan manipulasi emosi yang menghakis keyakinan secara beransur-ansur dan menjejaskan rasa harga diri.
Kesan yang terhasil tidak boleh dipandang ringan. Situasi seperti ini boleh membawa kepada keletihan emosi (emotional exhaustion), keresahan berpanjangan dan akhirnya burnout. Pada masa sama, ramai mula merasakan kerja tidak lagi bermakna serta gagal mencapai tahap kepuasan bekerja yang sepatutnya.
Apabila seseorang berada dalam persekitaran yang tidak selamat secara emosi, otak kekal dalam keadaan berjaga-jaga (hypervigilance). Fokus mula merosot, prestasi terjejas dan muncul perasaan “tidak cukup baik” walaupun usaha telah diberikan sepenuhnya. Reaksi tersebut adalah tindak balas semula jadi terhadap tekanan berterusan, bukan kelemahan diri.
Lebih membimbangkan, terdapat budaya kerja yang secara tidak sedar membenarkan tingkah laku ini berterusan tanpa dipersoalkan. Ungkapan seperti “tolong sikit” atau “kita satu pasukan” digunakan untuk melangkaui batas profesional. Hakikatnya, kerja berpasukan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil kesempatan. Setiap individu mempunyai skop kerja yang jelas dan pelanggaran sempadan secara berulang merupakan satu bentuk ketidakadilan yang perlu dihentikan.
Dalam menghadapi situasi sebegini, langkah pertama adalah mengakui perasaan sendiri. Perasaan tertekan, marah atau tidak selesa merupakan reaksi yang sah apabila sempadan dilanggar. Seterusnya, keupayaan menyatakan pendirian secara jelas dan profesional (assertiveness) menjadi kunci. Pendekatan ini bukan agresif tetapi tegas dalam menetapkan had dan keutamaan kerja. Contohnya: “Buat masa ini saya perlu fokus pada tugasan utama terlebih dahulu. Jika terdapat keutamaan lain, mungkin kita boleh susun semula bersama.”
Selain itu, menyimpan rekod komunikasi dan tugasan merupakan langkah perlindungan penting. Dokumentasi membantu sekiranya situasi memerlukan campur tangan pihak pengurusan atau sumber manusia. Dalam banyak keadaan, mangsa kehilangan suara bukan kerana lemah, tetapi kerana kekurangan bukti, sedangkan pelaku berjaya membina persepsi yang memihak kepada diri sendiri.
Namun, tidak semua situasi perlu dihadapi secara konfrontasi. Adakalanya, pendekatan lebih berhati-hati diperlukan seperti mendapatkan sokongan emosi, berbincang dengan individu dipercayai atau mempertimbangkan perubahan persekitaran kerja demi kesejahteraan diri. Melindungi kesihatan mental bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk keberanian.
Akhirnya, kesedaran tentang buli tersembunyi perlu diperkasakan dalam setiap organisasi. Walaupun tidak meninggalkan kesan fizikal, impaknya terhadap harga diri dan kestabilan emosi sangat besar serta memberi kesan jangka panjang kepada individu. Tempat kerja seharusnya menjadi ruang untuk berkembang, bukan medan untuk menjatuhkan satu sama lain secara senyap.
Kejayaan tidak wajar dibina dengan menjatuhkan orang lain, sebaliknya melalui usaha bersama yang adil dan beretika. Tidak semua orang perlu disukai itu lumrah. Namun, jika tidak mampu untuk menyukai, sekurang-kurangnya hormatilah sebagai sesama manusia. Profesionalisme bukan sekadar tentang prestasi tetapi tentang keupayaan menjaga maruah orang lain dalam setiap tindakan.

