UM bantu bentuk budaya penjagaan gigi murid SK Sungai Lui

Projek SPARKLE dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Sungai Lui, Jempol bagi membudayakan amalan penjagaan kesihatan pergigian secara berterusan dalam kalangan murid.

Feature Image

KUALA LUMPUR, 10 Mac 2026 – Kesihatan pergigian dalam kalangan kanak-kanak bukan sekadar melibatkan masalah gigi berlubang atau gusi berdarah, malah boleh memberi kesan kepada selera makan, kualiti tidur, keyakinan diri serta tumpuan dalam pembelajaran.

Di kawasan luar bandar seperti Sungai Lui di Negeri Sembilan, usaha membentuk tabiat penjagaan gigi yang konsisten memerlukan sokongan bukan sahaja daripada perkhidmatan kesihatan pergigian, malah kerjasama guru dan ibu bapa.

Sehubungan itu, Projek SPARKLE dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lui, Jempol bagi membudayakan amalan penjagaan kesihatan pergigian secara berterusan dalam kalangan murid. Program ini memberi penekanan kepada penglibatan aktif guru dan ibu bapa dalam menyokong pembentukan tabiat penjagaan gigi yang baik dalam kalangan kanak-kanak.

Program berkenaan menyasarkan murid sekolah bersama ibu bapa mereka yang kebanyakannya menetap di kawasan FELDA serta Kampung Orang Asli Sungai Lui. Pada masa sama, kesemua guru sekolah turut memainkan peranan sebagai penggerak utama pelaksanaan program di peringkat sekolah.

Berbeza daripada program kesihatan pergigian sedia ada, SPARKLE menggunakan pendekatan reka bentuk bersama. Sebelum pelaksanaannya, perancangan program dibuat dengan mengambil kira pandangan, jangkaan dan keperluan murid, guru serta ibu bapa.

Maklum balas daripada komuniti membantu memastikan aktiviti yang dirancang sesuai dengan persekitaran sekolah luar bandar serta rutin harian keluarga di Sungai Lui.

Pendekatan ini memastikan program tersebut bukan sekadar dilaksanakan untuk komuniti, sebaliknya dibangunkan bersama komuniti setempat.

Projek SPARKLE merupakan kerjasama antara Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan serta Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Jempol.

Melalui program ini, murid terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk pemeriksaan kesihatan pergigian, sapuan varnis berfluorida, sesi pendidikan kesihatan pergigian dalam kumpulan kecil serta latihan teknik memberus gigi yang betul.

Aktiviti tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman asas murid mengenai penjagaan gigi serta membentuk rutin penjagaan diri yang baik sejak usia muda.

Selain itu, pemerkasaan guru turut menjadi komponen penting dalam pelaksanaan SPARKLE. Guru-guru yang telah mengikuti latihan dalam perkhidmatan kini menyelia aktiviti memberus gigi selepas waktu rehat setiap hari sebagai sebahagian daripada rutin tetap sekolah.

Penglibatan kesemua 17 orang guru mencerminkan komitmen pihak sekolah dalam memastikan mesej kesihatan pergigian terus diperkukuh dalam persekitaran pembelajaran.

Guru Besar SK Sungai Lui, Nor Mazitah binti Mahussin berkata, penglibatan menyeluruh warga sekolah menjadi kekuatan utama program tersebut.

Menurut beliau, program itu praktikal dan selari dengan rutin harian sekolah serta mudah dilaksanakan tanpa menjejaskan jadual pembelajaran.

“Lebih membanggakan, murid-murid menunjukkan keterujaan serta peningkatan kesedaran dalam menjaga kebersihan gigi. Guru-guru pula komited dan konsisten dalam menyampaikan mesej kesihatan agar amalan ini dapat diterapkan secara berterusan dalam kehidupan seharian murid,” katanya.

Dalam pada itu, ibu bapa turut dilibatkan melalui ceramah kesihatan pergigian pada peringkat awal program. Selain itu, infografik dan nota suara ringkas turut dikongsi melalui aplikasi WhatsApp bagi membantu ibu bapa mengukuhkan amalan penjagaan gigi anak-anak di rumah.

Langkah ini bertujuan memastikan mesej yang disampaikan di sekolah dapat diteruskan secara konsisten dalam persekitaran keluarga.

Sebagai kesinambungan, SPARKLE akan diperluaskan dengan pelaksanaan projek pemakanan sihat yang bersifat interaktif. Inisiatif tersebut dirancang bagi melengkapkan pendidikan kesihatan pergigian dengan menggalakkan murid membuat pilihan makanan yang lebih sihat dalam kehidupan seharian.

Walaupun masih di peringkat awal, penglibatan aktif murid, guru dan ibu bapa menunjukkan potensi besar dalam membina budaya penjagaan kesihatan pergigian yang lebih kukuh dalam komuniti SK Sungai Lui. Apabila usaha dilaksanakan secara bersama dan berterusan, perubahan positif lebih mudah dicapai serta dikekalkan.