4 petua jaga keberkatan masa sepanjang Ramadan
Pahala yang datang bersama dengan solat malam, bersahur serta solat terawih membawa bersama cabaran yang tidak kecil kerana tenaga manusia ini terhad.

RUTIN berpuasa seorang Muslim serta melaksanakan ibadah khusus lain dalam bulan Ramadan ini berjalan seiring dengan pelbagai peranan manusiawi lain sebagai ibu, ayah, isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, majikan dan seumpamanya.
Sudah pasti Ramadan memberi ujiannya tersendiri dari sudut pengurusan masa. Ini kerana ia memberi rutin yang baru kepada seorang Muslim. Pahala yang datang bersama dengan solat malam, bersahur serta solat terawih membawa bersama cabaran yang tidak kecil kerana tenaga manusia ini terhad.
Oleh yang demikian, pengurusan masa yang bijak dapat membantu seorang Muslim untuk merebut peluang keberkatan di sepanjang Ramadan. Berikut disarankan beberapa panduan bagi menjaga keberkatan masa di sepanjang bulan Ramadan:
1. Memperbanyakkan bacaan al-Quran
Pahala membaca al-Quran sangat banyak seperti yang disebut hadith. Ibnu Mas’ud r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak mengatakan alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, laam itu satu huruf, dan miim itu satu huruf.” (Sunan al-Tirmidhi, no. 2910)
Hadith di atas menunjukkan pahala yang besar bagi setiap huruf al-Quran yang dibaca. Ini bermakna jika setiap Muslim tekun membaca al-Quran sepanjang Ramadan, banyak pahala yang dapat diraihnya sempena bulan yang mulia ini.
2. Meninggalkan perbuatan yang tiada kaitan dengan diri sendiri
Seringkali manusia terasa sempit dan tidak cukup masa disebabkan kebocoran dalam pengurusan masanya. Tanggungjawab terasa terlalu banyak sehingga tidak cukup masa. Namun, nafsu manusia sering terpedaya untuk melakukan kelalaian. Kebanyakan kelalaian seorang Muslim itu berpunca daripada kesibukannya untuk mencari-cari cerita atau aib orang lain. Perkara itu lebih baik ditinggalkan kerana itu bukan urusannya. Ini termasuk juga tabiat skrol di media sosial tanpa tujuan sehingga terlalai dengan gosip yang tidak menguntungkan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan apa yang tiada kena mengena dengannya.” (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 2318)
Sekiranya seseorang Muslim membataskan dirinya pada apa yang benar-benar penting dan berkait dengan dirinya, maka aspek masanya akan lebih dapat dijaga dan diberkati.
3. Memberikan keutamaan kepada yang wajib, kemudian yang sunat (nawafil)
Seseorang Muslim wajar memberi perhatian khusus dalam memberikan prioriti semasa beramal. Biarpun Ramadan datang bersama peluang solat tarawih yang tidak ada dalam bulan-bulan lain, ini tidak bermakna segala solat wajib dikorbankan. Perintah wajib adalah ketetapan yang mesti terlebih dulu disempurnakan oleh seseorang Muslim. Selepas kewajipan dilaksanakan, barulah seorang Muslim itu menambah pula dengan amalan sunat yang lain sehingga Allah mencintainya.
Sebuah hadith qudsi menyebutkan yang maksudnya: “Dari Abu Hurairah r.a. dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah SWT berfirman: ‘barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sungguh! Aku telah mengumumkan perang terhadapnya. Dan tidaklah seorang hamba mendekatkan diri dengan beribadah kepadaKu dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Kuwajibkan kepadanya, dan senantiasalah hambaKu (konsisten) mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya; bila Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakannya untuk mendengar, dan penglihatannya yang digunakannya untuk melihat dan tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakannya untuk berjalan; jika dia meminta kepadaKu niscaya Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku niscaya Aku akan melindunginya.” (Sahih al-Bukhari, hadith no. 6502)
Peluang pada bulan Ramadan ini terbentang luas untuk memperelokkan amalan yang wajib serta menambahnya pula dengan amalan sunat yang pelbagai. Solat rawatib iaitu sebelum dan sesudah solat fardu, solat duha, solat tahajjud, serta solat terawih adalah di antara solat-solat sunat yang sangat digalakkan. Kesemua amalan ini akan mengundang cinta Allah kepada hambaNya. Jika seorang hamba itu dicintai Allah, maka Dialah yang menjamin pelakuan, keputusan serta gerak-geri hambaNya itu agar sentiasa dipimpin lagi diberkati.
4. Memperbanyakkan sedekah
Bersedekah adalah di antara amalan yang pahalanya dijanjikan akan berganda dengan banyak sekali. Digambarkan di dalam hadith bahawa sifat pemurah Rasulullah SAW pada bulan Ramadan bagaikan angin yang bertiup.
Allah menyebutkan tentang pahala bersedekah di jalanNya seperti maksud ayat 261 dari Surah al-Baqarah: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”
Dengan banyaknya berinfaq semasa bulan Ramadan, pahala akan bercambah dan kualiti keberkatan masa dapat ditingkatkan. Semoga empat petua di atas dapat diamalkan bersama bagi menambah keberkatan masa di sepanjang Ramadan ini.

