Anchor Butter, Bella Astillah kumpul RM13,000 untuk Amal

Kuih Raya edisi eksklusif Anchor Butter X Bella Astillah habis terjual dalam 5 minit.

Feature Image (4)

(Dari kiri ke kanan: Pengurus Rumah Bakti Dato’ Harun, Zainun Sahlan; Setiausaha Kehormat Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (Rumah Bakti Dato’ Harun), Mohd Zahar Abdul Samad dan Bella Astillah.

KUALA LUMPUR, 18 Mac 2026 – Sempena sambutan Hari Raya yang bakal menjelang, Anchor Butter telah bekerjasama dengan selebriti terkenal tanah air, Bella Astillah dalam satu inisiatif khas jualan kuih raya secara langsung di platform TikTok.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila kesemua kotak kuih raya edisi eksklusif Anchor x Bella Astillah yang ditawarkan habis terjual dalam tempoh kurang daripada lima minit, sekali gus menjana jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM13,000 dalam satu sesi siaran langsung sahaja.

Bersempena bulan Ramadan dan Syawal yang menekankan nilai kesyukuran serta keprihatinan terhadap sesama insan, keseluruhan hasil jualan ini akan disalurkan kepada Rumah Bakti Dato’ Harun di Ampang, sebuah rumah kebajikan yang menyediakan perlindungan, penjagaan dan pendidikan kepada kanak-kanak yang memerlukan.

Melalui inisiatif ini, setiap pembelian bukan sekadar memberi peluang menikmati kuih Raya yang dihasilkan menggunakan mentega Anchor yang terkenal dengan aroma yang kaya dan menyelerakan, malah turut menyumbang kepada usaha membawa kegembiraan Aidilfitri kepada anak-anak di Rumah Bakti Dato’ Harun.

Sepanjang sesi interaktif tersebut, Bella Astillah berinteraksi secara langsung dengan para peminat sambil memperkenalkan dan mempromosikan kuih raya yang dihasilkan menggunakan mentega tulen Anchor. Penonton juga berpeluang membuat pembelian kotak kuih raya edisi terhad secara masa nyata.

(Bella Astillah bersama sebahagian daripada anak-anak Rumah Bakti Dato’ Harun di Ampang, Selangor ketika mengadakan lawatan khas bagi menyampaikan sumbangan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan Raya oleh Anchor Butter.)

Inisiatif ini menjadikan sesi berkenaan bukan sekadar platform jualan, malah satu wadah yang menyatukan kemeriahan perayaan, keterlibatan digital dan sumbangan kebajikan dalam satu pengalaman yang lebih bermakna.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Anchor Butter dalam menyokong masyarakat di samping mendekati isi rumah Malaysia melalui pendekatan yang tulen dan relevan. Dengan memanfaatkan keupayaan TikTok Live serta trend perdagangan sosial, kempen ini membuktikan bahawa jenama dan personaliti boleh berganding bahu untuk menghasilkan impak positif yang melangkaui matlamat komersial semata-mata.

Pengarah Pemasaran Anchor Butter, Lim Siew Poh berkata: “Hari Raya merupakan waktu untuk bermuhasabah, mensyukuri nikmat dan berkongsi rezeki. Kami amat menghargai sokongan luar biasa yang ditunjukkan sepanjang sesi TikTok Live tersebut. Kerjasama bersama Bella Astillah memberi ruang untuk kami meraikan musim perayaan ini sambil menyumbang kepada satu tujuan yang bermakna demi membantu golongan yang memerlukan.”

Bella Astillah turut berkongsi: “Pengalaman berinteraksi dengan peminat secara langsung, lebih-lebih lagi dalam suasana menjelang Hari Raya, amat istimewa bagi saya. Mengetahui bahawa setiap pembelian menyumbang terus kepada Rumah Bakti Dato’ Harun menjadikan sesi ini lebih bermakna. Saya berterima kasih kepada semua yang bersama-sama menyokong inisiatif ini.”

Anchor Butter kekal komited dalam merangka inisiatif yang berteraskan nilai dan tujuan, menyatukan keluarga melalui penyediaan juadah di rumah, di samping menyalurkan sokongan bermakna kepada masyarakat.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti Dairylicious Malaysia di Facebook, TikTok dan Instagram.