Kenangan raya yang tidak dapat kita cetak semula

Apa yang memenuhi halaman-halaman majalah itu kini terasa hampir tidak dapat digantikan

Feature Image

HARI raya sering mempunyai cara untuk memperlahankan masa. Pada pagi ini, di antara laungan takbir, bau rendang di dapur dan riuh-rendah suasana rumah yang bersiap sedia untuk menyambut tetamu, fikiran saya melayang ke suatu tempat yang tidak dijangka. Kembali ke suatu waktu di mana Hari Raya terasa lebih ringkas.

Saya mendapati diri saya terfikir tentang komik bulanan suatu masa dahulu. Masih ingatkah kalian dengan majalah Ujang dan Apo? Terutamanya edisi “Bumper Raya” istimewa mereka. Majalah ini adalah satu kewajipan untuk kami adik-beradik mentelaah di pagi raya. Peneman setia dan pemenuh masa, ketika para ibu bapa sedang sibuk berbual dan makan bersama saudara-mara di pagi raya.

Dahulu, ia hanyalah majalah komik bulanan. Kita akan melihatnya tergantung atau disusun rapi di hadapan setiap kedai runcit dan gerai surat khabar. Muka depan komik tersebut berwarna dan sering huru-hara, cukup menangkap perhatian, mustahil untuk diabaikan.

Ia sentiasa sampai ke tangan kita. Mungkin dibeli oleh ibu bapa kita untuk membuat kita sibuk semasa perjalanan pulang kampung yang jauh atau dibeli kerana ingin tahu apa isi kandungannya dan kemudian kita akan membacanya. Berulang kali.
Apa yang memenuhi halaman-halaman majalah itu kini terasa hampir tidak dapat digantikan. Ia tidak membawa cerita tentang wira atau dunia fantasi yang asing.

Ia membawa cerita tentang kita. Tentang orang yang kita lihat setiap hari. Kisah tentang dua orang mekanik motor, seorang despatch pejabat, seorang mamak penebar roti canai, budak-budak asrama, orang-orang kampung, pak cik tua, bomoh misteri dan kadangkala watak yang paling rawak seperti katak yang boleh bercakap.

Lukisannya tidak sempurna sama sekali. Watak-watak dilukis dengan lubang hidung yang besar, gigi yang senget, dengan ekspresi yang keterlaluan. Pada masa itu, kita ketawa kerana ia kelihatan lucu tetapi hari ini, saya sedar bahawa lukisan tersebut memperlihatkan sebuah kejujuran. Lukisan mereka tidak cuba untuk menjadi sempurna. Tetapi mereka cuba untuk mencerminkan sesuatu yang nyata. Dalam cerminan realisme itu, ia mempunyai kuasa untuk mengubah dan membentuk jati diri kita.

Tanpa kita sedari, komik-komik itu mengajar kita cara untuk melihat antara satu sama lain. Seorang kanak-kanak yang membesar di bandar dapat memahami rentak kehidupan orang di kampung manakala seseorang dari luar bandar dapat melihat sekilas perjuangan orang bandar. Melalui jenaka dan kekonyolan, komik-komik ini secara senyap membina pemahaman bersama tentang apa ertinya menjadi rakyat Malaysia.

Komik-komik tersebut merupakan sebuah jambatan untuk kita semua. Edisi “Bumper Raya” menjadikannya lebih istimewa. Cerita-cerita berkisar tentang kekacauan balik kampung, pertemuan keluarga yang janggal, persaingan lama yang timbul semula, tentang kuih dan ketupat, dan hierarki sosial halus yang menjadi hidup semasa sanak saudara berhimpun beraya. Ia lucu kerana ianya benar dan kita semua mengalaminya. Kita dapat melihat keluarga dan pengalaman kita sendiri dalam halaman-halaman komik itu. Ia cukup tidak asing lagi, kerana ia adalah kisah kita semua.

Pada hari ini, apabila saya melihat landskap komik tempatan, saya tidak dapat menahan diri daripada merasakan sesuatu telah berubah. Seninya lebih bersih, lebih halus. Pengaruh anime dan manga jelas, garisan tajam, ekspresi yang bergaya, dan penceritaan sinematik. Tiada apa yang salah dengan itu. Dalam banyak cara, ia menunjukkan pertumbuhan, pendedahan, dan peningkatan teknikal industri komik tempatan etapi, ia juga terasa… jauh.

Watak-wataknya adalah fantasi. Mareka boleh berasal dari mana-mana sahaja. Latar tempatnya terasa kurang asas. Humornya tidak selalunya sama kerana ia tidak lagi berasal dari kehidupan seharian Malaysia yang dikongsi bersama. Mungkin dengan cuba menjadikan industri komik kita lebih global, kita mula mencari inspirasi dari luar, dan dengan berbuat demikian, kita perlahan-lahan berhenti melihat dari dalam hati dan mungkin di situlah letaknya kehilangan yang menyepikan.

Ini adalah kerana komik-komik lama itu lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah gambaran budaya kita. Ia merakam Malaysia tanpa ditapis dan sangat berperikemanusiaan. Ia mendokumentasikan kehidupan orang biasa dengan cara yang mudah difahami, lucu dan yang paling penting, berkait rapat dengan kita.

Ia membuatkan kita ketawa pada diri sendiri. Dan dengan berbuat demikian, ia menjadikan kita lebih berempati antara satu sama lain.

Anehnya pada masa itu, kita tidak memanggil komik-komik ini sebagai satu pemeliharaan budaya. Kita tidak mengatakan ia sebagai satu identiti atau pemilikan naratif. Kita hanyalah kanak-kanak yang menyelak halaman komik, mentertawakan lukisan dalam satu situasi yang dibesar-besarkan dan tidak masuk akal tetapi kini, ia adalah amat jelas, bahawa komik-komik ini telah membentuk kita.

Ia mengajar bahawa kehidupan seharian kita patut diceritakan. Bahawa orang-orang di sekeliling kita, walaupun terlihat biasa, mereka tetap menarik, bermakna dan layak mendapat perhatian. Menjadi rakyat Malaysia bukan sekadar tentang detik-detik besar negara tetapi tentang pengalaman-pengalaman kecil yang dikongsi dan menghubungkan kita. Cuma kita terlalu mentah untuk memahami sepenuhnya pada masa itu dan mungkin sebab itulah kenangan ini terasa lebih berat hari ini.

Ini adalah kerana kita tidak menyedari betapa berharga apa yang kita miliki pada ketika kita itu, sehinggalah kita kehilangannya. Ia adalah satu kenangan yang tidak akan dapat kita cetak semula.

Oleh itu, dalam menyambut Hari Raya ini, ketika dikelilingi oleh keluarga, tradisi dan keselesaan keakraban, adalah wajar untuk bertanya kepada diri sendiri, kisah apa yang kita sedang ceritakan sekarang? Dan adakah ia akan membawa kerinduan, kejujuran, dan rasa kekitaan yang sama untuk generasi akan datang?

Selamat Hari Raya.

Semoga kita bukan sahaja meraikan masa kini, tetapi juga mengingati perkara-perkara kecil dari masa lalu yang secara senyap membentuk siapa kita dan merenungkan apa yang kita pilih untuk dipelihara bagi mereka yang akan datang selepas kita.