UM kongsi rezeki bersama 70 keluarga asnaf di Ampang

Inisiatif itu bertujuan berkongsi rezeki dan meringankan beban golongan memerlukan sepanjang Ramadan, selain membantu mereka membuat persediaan menyambut Syawal.

Feature Image (1)

AMPANG, 22 Mac 2026 — Universiti Malaya (UM) melalui Jabatan Pergigian Restoratif, Fakulti Pergigian menganjurkan program kebajikan “Healing Hearts” dengan menyampaikan sumbangan kepada 70 keluarga asnaf di Kampung Dato’ Mufti Suib di sini, bersempena bulan Ramadan.

Program itu melibatkan pengagihan pek makanan ruji termasuk minyak masak, beras, bihun, tepung gandum, gula, garam, sardin, susu pekat, teh dan mi segera kepada penerima yang terdiri daripada keluarga asnaf serta anak-anak yatim.

Menurut kenyataan pihak penganjur, inisiatif berkenaan bertujuan berkongsi rezeki dan meringankan beban golongan memerlukan sepanjang Ramadan, selain membantu mereka membuat persediaan menyambut Syawal dengan lebih selesa.

“Melalui sumbangan ini, diharapkan ia dapat memberi sedikit kelegaan kepada penerima serta menceriakan sambutan Aidilfitri mereka,” menurut kenyataan itu.

Program berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai pihak yang tampil menyumbang dengan penuh keprihatinan dan keikhlasan.

Selain itu, pensyarah Jabatan Pergigian Restoratif bersama staf sokongan turut turun padang menyampaikan bantuan secara langsung menerusi sesi ziarah rumah ke rumah dengan kerjasama ahli jawatankuasa Surau Al-Hakimin.

Pihak jabatan merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak terlibat yang menjayakan program tersebut, sambil menyifatkan setiap sumbangan amat bermakna kepada penerima.

Menurut kenyataan itu lagi, program seumpama ini mencerminkan semangat Ramadan yang menekankan nilai kasih sayang, keprihatinan dan perkongsian rezeki dalam kalangan masyarakat.

Penganjur berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai sukarelawan bagi memperluas manfaat kepada komuniti setempat.