Jangan biarkan masjid sepi pada hari raya
Sekiranya masjid di sesebuah negeri itu mampu memuatkan penduduknya, maka penduduk tersebut tidak perlu keluar ke padang.

USAHA menghidupkan Sunnah Nabi S.A.W., melalui solat di tanah lapang atau Musalla merupakan satu inisiatif yang murni dan perlu dihargai sebagai usaha mendekatkan diri dengan amalan asal Baginda.
Namun begitu, dalam kerangka ilmu Maqasid Syariah, timbul persoalan fundamental sama ada keutamaan (afdaliyyah) lokasi solat itu bersifat statik pada ‘bentuk’ fizikal padang atau ia sebenarnya terikat pada ‘roh’ kesucian dan tujuan asal ibadah tersebut.
Kita perlu meneliti dengan saksama adakah perubahan zaman dan konteks tempatan turut mengubah pertimbangan hukum dalam memilih lokasi terbaik untuk bersujud di hari kemenangan yang agung ini.
Sandaran Autoriti: Pandangan Mazhab Syafi‘i dan Kitab Muktabar
Analisis yang mengutamakan masjid dalam konteks ketersediaan ruang ini mempunyai sandaran yang kukuh dalam tradisi Mazhab Syafi‘i. Imam al-Nawawi dalam kitab agungnya, al-Majmu‘ Sharh al-Muhadhdhab, menjelaskan bahawa sekiranya masjid di sesuatu tempat itu luas dan mampu menampung seluruh jemaah, maka menunaikan solat raya di dalam masjid adalah lebih afdal berbanding keluar ke padang.
Hal ini kerana masjid memiliki kemuliaan khusus sebagai rumah Allah dan lebih terjamin kesuciannya. Malah, Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Umm menegaskan bahawa sekiranya masjid di sesebuah negeri itu mampu memuatkan penduduknya, maka penduduk tersebut tidak perlu keluar ke padang, sebagaimana amalan penduduk Mekah di Masjidil Haram yang tidak pernah meninggalkannya untuk ke padang pasir.
Taghayyur al-Wasf: Perubahan Sifat Padang Dahulu dan Masa kini
Dalam melakukan proses Tahqiq al-Manat (pemerhatian fakta), kita harus bertanya secara jujur adakah ‘padang’ yang kita fahami hari ini mempunyai sifat yang sama dengan ‘musalla’ di zaman Rasulullah. Musalla Nabawi pada zaman dahulu merupakan kawasan khusus yang terpelihara kesuciannya secara urf (adat) dan hanya difungsikan untuk tujuan ibadah serta perhimpunan umat yang terkawal.
Berbeza sekali dengan padang awam moden hari ini yang merupakan ruang pelbagai guna untuk aktiviti sukan, pasar malam, malah tapak konsert hiburan yang terdedah kepada pelbagai pencemaran fizikal serta kehadiran haiwan seperti anjing yang berkeliaran bebas. Apabila sifat sesuatu tempat itu berubah daripada suci dan mulia kepada terdedah dan kotor, maka keutamaan tempat tersebut wajar dinilai semula kerana ia tidak lagi memiliki karakteristik kesucian yang sama seperti di zaman Nabi S.A.W.
Analisis Taharah: Antara Keyakinan Masjid dan Keraguan Padang
Syarat sah solat dalam Mazhab Syafi‘i menuntut kesucian tempat secara yakin, terutamanya apabila melibatkan perhimpunan jemaah yang besar. Isu utama di padang awam moden yang tidak berpagar adalah kesukaran untuk memastikan setiap inci kawasan solat bebas daripada najis, terutamanya najis mughallazah.
Memilih padang dalam situasi yang penuh keraguan (was-was) terhadap status kebersihannya boleh menjejaskan prinsip Ihtiyat (sikap berhati-hati) dalam ibadah yang paling penting setahun sekali ini. Sebaliknya, masjid menawarkan satu tahap keyakinan yang tinggi kerana ia merupakan rumah Allah S.W.T., yang dijaga rapi kesuciannya setiap hari oleh petugas khusus, sekali gus menjamin ketenangan jiwa jemaah untuk bersolat tanpa rasa was-was terhadap status tempat sujud mereka.
Ta‘zim al-Sya‘air: Di Mana Letaknya Kemuliaan Hari Kemenangan?
Prinsip Ta’zim al-Sya’air atau mengagungkan syiar Allah merupakan manifestasi ketaqwaan hati yang sangat dituntut dalam Islam. Hari raya merupakan hadiah kemenangan yang agung, maka sewajarnya dahi kita diletakkan di tempat yang paling mulia sebagai tanda kesyukuran.
Adalah satu tindakan yang kurang selari dengan konsep pengagungan syiar sekiranya kita lebih memilih padang awam yang baru sahaja selesai digunakan untuk aktiviti duniawi yang mungkin tidak terjaga adabnya, berbanding bersujud di dalam masjid yang merupakan Baitullah. Suasana sakinah (ketenangan) di dalam masjid bukan sahaja membantu kekhusyukan, malah ia memancarkan hati nurani terhadap kehebatan syiar Islam yang lebih tertib dan bermaruah sesuai dengan kehormatan ibadah solat hari raya itu sendiri.
Analisis Maqasid Syari’ah: Wasilah dan Maqsad
Dalam disiplin Ilmu Maqasid Syari’ah, kita perlu membedah isu ini melalui kaedah maqasid iaitu “Al-Wasilah Laha Ahkam al-Maqasid” (Wasilah mengambil hukum tujuannya). Solat di padang pada zaman Nabi hanyalah sebuah wasilah (cara) untuk mencapai maqsad (tujuan) iaitu Ijtima’ al-Ummah (perhimpunan umat) dan Izhar ad-Din (menzahirkan agama).
Apabila wasilah tersebut (padang) dalam konteks hari ini terdedah kepada keburukan seperti ketidaksucian tempat dan ketidakselesaan jemaah, manakala masjid pula mampu mencapai maqsad tersebut dengan lebih sempurna, maka hukum keutamaan berpindah kepada masjid berdasarkan kaedah: “Idha ta’arada al-masalih, quddim al-a’la minhuma” (Apabila bertembung dua maslahah, maka didahulukan yang paling tinggi antara keduanya).
Hukum Berputar Bersama Sebab (‘illah)
Hujah yang menyatakan padang adalah sunnah mutlak perlu berhadapan dengan kaedah “Al-Hukm yadur ma’a ‘Illah wujudan wa ‘adaman” (Hukum berputar berdasarkan kewujudan dan ketiadaan illahnya). Illah utama Nabi melaksanakan solat di padang adalah kerana kesempitan Masjid Nabawi.
Apabila ‘illah tersebut sudah hilang (masjid sudah luas), maka tuntutan keluar ke padang tidak lagi menjadi satu keutamaan yang mendesak. Mengutamakan ‘bentuk’ (padang) dengan mengabaikan ‘kualiti’ (kesucian dan khusyuk) adalah satu bentuk “al-Jumud ‘ala al-zawahir” (kekakuan pada zahir) yang bercanggah dengan semangat Maqasid Syariah yang mementingkan kemaslahatan hamba.
Kaedah Menolak Keburukan (Dar’ al-Mafasid)
Dalam pertimbangan lokasi solat, kita tidak boleh lari daripada kaedah fiqh yang masyhur iaitu “Dar’ al-mafasid muqaddam ‘ala jalb al-masalih” (Menolak keburukan didahulukan daripada mengambil manfaat). Manfaat (maslahah) yang dicari di padang adalah mengejar bentuk fizikal sunnah, namun terdapat mafsadah (keburukan) yang nyata seperti risiko ketidaksucian tempat akibat najis haiwan dan gangguan cuaca yang boleh membatalkan khusyuk.
Apabila keburukan ini bertembung dengan manfaat yang bersifat simbolik, maka syarak mengutamakan perlindungan terhadap kualiti ibadah (khusyuk dan suci) yang lebih terjamin di dalam masjid. Ini adalah satu bentuk penjagaan terhadap maqsad al-din (memelihara agama) agar ibadah dilakukan dalam keadaan yang paling sempurna dan bermaruah.
Maslahah Jemaah: Risiko Cuaca dan Hak Keselesaan Warga Emas
Islam sangat mementingkan konsep daf’ al-mashaqqah atau menghilangkan kesukaran dalam urusan ibadat. Di Malaysia yang beriklim khatulistiwa, risiko hujan lebat yang turun secara tiba-tiba adalah satu kemungkinan yang nyata dan boleh menjejaskan kualiti ibadah serta keselamatan jemaah.
Bayangkan keadaan warga emas yang uzur dan kanak-kanak kecil sekiranya terpaksa berhadapan dengan padang yang becak dan licin akibat cuaca yang tidak menentu. Justeru, tindakan meninggalkan kemudahan masjid yang luas, berbumbung dan selesa semata-mata untuk meniru “bentuk fizikal” padang boleh dianggap sebagai mengabaikan maslahah yang lebih besar, sedangkan keselamatan nyawa dan kesempurnaan ibadah seharusnya menjadi keutamaan dalam setiap pertimbangan hukum.
Pantarjihan Maslahah: Bonus Iktikaf dan Evolusi Syiar Ummah
Satu lagi dimensi yang sering terlepas pandang ialah kelebihan pahala iktikaf. Di dalam masjid, jemaah berpeluang meraih bonus pahala melalui niat iktikaf. Pada zaman Nabi s.a.w., berlaku pertembungan antara maslahah marjuhah (pahala iktikaf individu) dan maslahah rajihah (penghimpunan umat dan syiar fizikal kerana masjid sempit).
Nabi mendahulukan maslahah ummah yang bersifat rajihah (dominan). Namun hari ini, apabila masjid mampu menampung kapasiti dan syiar tersebut terpancar melalui teknologi, maka maslahah iktikaf kembali menjadi nilai tambah yang sangat bermakna bagi setiap muslim. Kita mendapat pahala solat raya, pahala syiar berjemaah dan bonus pahala iktikaf secara serentak.
Sebagai kesimpulan, solat di masjid pada hari ini bukanlah satu bentuk pengabaian terhadap sunah tetapi ia adalah adaptasi yang bijaksana terhadap wasilah yang lebih efektif dan mulia. Mengejar “bentuk fizikal” padang dengan mengabaikan aspek kesucian tempat, keselesaan golongan rentan dan kemuliaan rumah Allah adalah satu bentuk kefahaman literal yang sempit. Sunnah yang paling tinggi sebenarnya adalah keupayaan kita untuk mencapai tujuan syariat iaitu melaksanakan ibadah yang sempurna, suci dan tenang dalam keadaan yang paling diredhai-Nya. Wa Allah a’lam.
Nota Penafian: Perbincangan dalam artikel ini bersifat analisis ilmiah berdasarkan perspektif Maqasid Syariah dan realiti semasa. Ia sama sekali tidak bertujuan untuk merendahkan mana-mana pihak atau autoriti agama di Malaysia yang mempunyai sandaran ijtihad tersendiri. Kepelbagaian pandangan dalam isu cabang (furu’) adalah rahmat bagi umat, selagi ia berpaksikan kepada penghormatan sesama Muslim.

