Pan-gon letak jawatan, tinggalkan Harimau Malaya

KELANA JAYA, 16 Julai 2024 – Skuad bola sepak kebangsaan menerima tamparan hebat selepas Kim Pan-gon mengumumkan untuk tidak lagi bersama pasukan Harimau Malaya.

Peletakan jawatan itu diumumkan Pan-gon dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

“Kepada penyokong bola sepak Malaysia, hari ini saya ada mesej sedih untuk diberitahu. Hari ini saya memutuskan untuk meletakkan jawatan.

“Ia atas alasan komitmen peribadi. Saya minta maaf,” katanya.

Pengendali dari Korea Selatan itu dilantik membimbing Harimau Malaya pada Januari 2022 dan telah membawa banyak kemajuan positif untuk skuad negara sepanjang tempoh tersebut.

Beliau membantu skuad negara untuk layak secara merit ke Piala Asia di Qatar pada Januari lalu selain peningkatan ranking ketara dalam tempoh dua tahun ini.

Bagaimanapun, perjuangan Pan-gon untuk membawa Malaysia mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia tidak kesampaian apabila mengakhiri kempen Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun lalu di kedudukan ketiga.

Namun, beliau pada ketika itu berkata, mahu terus membimbing Harimau Malaya sehingga kempen Piala Asia 2027.