UPSI lancar laman web rasmi baharu perkasa transformasi digital

Pembaharuan itu dirangka dengan mengambil kira keperluan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar, staf, rakan strategik antarabangsa serta komuniti global.

Feature Image (5)

Paparan utama laman web rasmi UPSI yang baharu.

Oleh: BAZLI RAZAK DAN MOHD FAUZI HARUN
Foto: FISOL AHMAD

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan laman web rasmi baharu sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi digital universiti dalam usaha mempertingkatkan penyampaian maklumat dan pengalaman pengguna.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjong Malum pada 22 April 2026.

Dr. Md Amin berkata, projek pembangunan laman web tersebut diterajui oleh Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) dengan kerjasama Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, yang memberi tumpuan kepada pembangunan platform digital lebih komprehensif dan responsif.

Paparan utama laman web rasmi UPSI yang baharu.

Md Amin berkata pelancaran laman web baharu itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh ekosistem digital selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

“Laman web ini bukan sekadar medium penyampaian maklumat, malah menjadi wajah digital universiti yang mencerminkan identiti, kecemerlangan serta keupayaan UPSI dalam mendepani era transformasi digital,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata pembaharuan tersebut dirangka dengan mengambil kira keperluan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar, staf, rakan strategik antarabangsa serta komuniti global.

“Pendekatan yang lebih mesra pengguna, akses maklumat yang pantas dan tepat serta susun atur kandungan yang lebih strategik akan membantu meningkatkan kecekapan komunikasi digital universiti.

Sesi tanyangan video pelancaran laman web rasmi UPSI baharu pada majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Menurut beliau, usaha itu juga selari dengan Aspirasi Bitara UPSI dalam memperkukuh keterlihatan di peringkat antarabangsa selain memperluas penglibatan strategik dengan pelbagai pihak.

“Dengan adanya ciri-ciri seperti chatbox interaktif dan paparan maklumat yang lebih tersusun, laman web ini berupaya memberikan pengalaman yang lebih dinamik serta memenuhi jangkaan pengguna masa kini,” ujar beliau.

Laman web baharu itu menampilkan beberapa penambahbaikan ketara termasuk penggunaan fungsi chatbox interaktif bagi memudahkan pertanyaan secara masa nyata, susun atur kandungan yang lebih berfokus serta penyampaian maklumat penting yang lebih jelas dan mudah dicapai.

Dr. Md Amin (empat dari kiri) ketika menyempurnakan sesi simbolik penyerahan baju korporat kepada kakitangan UPSI baharu pada majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Selain itu, laman berkenaan turut mengetengahkan kemudahan utama yang terdapat di UPSI seperti perpustakaan, fasiliti pembelajaran, pusat penyelidikan, kemudahan sukan dan kehidupan kampus, sekali gus memberikan gambaran menyeluruh tentang pengalaman pembelajaran dan persekitaran universiti kepada pengguna.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan sesi simbolik penyerahan baju korporat kepada kakitangan UPSI sebagai usaha memperkukuh identiti korporat serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti.