MyResQ hidupkan masjid, selamatkan nyawa

Kejadian OHCA lazimnya berlaku di luar fasiliti kesihatan termasuk di rumah dan tempat awam seperti masjid.

Feature Image (2)

Oleh: DR. MOHD. AFIQ MOHD. NOR dan DR. MOHD. HAFYZUDDIN MD. YUSUF

KUALA LUMPUR, 3 Mei 2026 – Inisiatif komuniti seperti MyResQ dilihat mampu memperkasa peranan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah, malah sebagai pusat kesiapsiagaan yang berpotensi menyelamatkan nyawa, khususnya dalam situasi kecemasan seperti serangan jantung di luar hospital.

Pakar perubatan kecemasan berkata kejadian Out-of-Hospital Cardiac Arrest (OHCA) lazimnya berlaku di luar fasiliti kesihatan termasuk di rumah dan tempat awam seperti masjid, sekali gus menjadikan orang awam sebagai individu pertama yang berada di lokasi kejadian.

Dalam situasi berkenaan, setiap minit tanpa bantuan awal seperti cardiopulmonary resuscitation (CPR) boleh mengurangkan peluang mangsa untuk terus hidup, selain meningkatkan risiko kerosakan otak kekal.

Dalam kebanyakan kes, orang ramai cenderung menunggu ketibaan ambulans atau individu yang lebih berpengetahuan, sedangkan tindakan awal oleh individu terdekat amat penting dan boleh menjadi penentu antara hidup dan mati.

Kesedaran mengenai kepentingan bantuan awal semakin meningkat dalam kalangan masyarakat, termasuk melalui kisah seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang berjaya menyelamatkan rakannya menggunakan teknik CPR yang dipelajari, sekali gus membuktikan kemahiran tersebut boleh dikuasai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira usia.

Dalam pada itu, program komuniti seperti Selangor BerIktikaf ‘26 di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam menjadi contoh bagaimana institusi masjid boleh memainkan peranan lebih luas dalam memperkasa masyarakat.

Program berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pertubuhan IKRAM Malaysia Shah Alam, IKRAM Health Malaysia serta Inisiatif MyResQ Universiti Malaya dengan sokongan Yayasan Inovasi Malaysia.

Melalui program itu, peserta didedahkan kepada kemahiran asas seperti mengenal pasti mangsa tidak sedarkan diri, melakukan CPR dengan teknik tekanan dada yang betul serta penggunaan Automated External Defibrillator (AED).

Pakar turut menegaskan bahawa dalam situasi kecemasan, keutamaan harus diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa, termasuk jika ia berlaku ketika solat sedang berlangsung.

Dalam Islam, menyelamatkan nyawa adalah keutamaan. Justeru, solat boleh ditangguhkan atau dibatalkan bagi memberi bantuan kepada mangsa dalam keadaan kecemasan.

Bagaimanapun, cabaran utama yang dikenal pasti adalah kecenderungan orang ramai untuk tidak bertindak dalam situasi kecemasan, atau dikenali sebagai fenomena bystander effect.

Sehubungan dengan itu, penggunaan teknologi seperti aplikasi MyResQ dilihat dapat membantu mengatasi jurang berkenaan dengan menghubungkan mangsa kepada individu terlatih yang berada berhampiran secara masa nyata.

Aplikasi itu membolehkan notifikasi dihantar kepada responden berdekatan, selain mengintegrasikan panggilan kecemasan dengan talian 999 serta membantu mengenal pasti lokasi AED terdekat dan menyediakan modul pembelajaran CPR secara digital.

Pendekatan berasaskan komuniti dan teknologi ini penting memandangkan tempoh respon ambulans yang mungkin mengambil masa beberapa minit, sedangkan intervensi awal perlu dimulakan dengan segera.

Mereka berpandangan sekiranya setiap masjid dilengkapi dengan sukarelawan terlatih, kemudahan AED serta jemaah yang mempunyai pengetahuan asas kecemasan, institusi itu mampu berfungsi sebagai pusat perlindungan dan keselamatan komuniti.

* Kedua-dua penulis merupakan Perunding Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).